Six Foot Track, New South Wales

Six Foot Track, New South Wales

45km / 3 hari / perjalanan singkat

Izinkan diri anda terpegun dengan pemandangan Blue Mountains dan sejarahnya yang berusia 200 tahun di atas laluan kuda asal tahun 1884 dari Katoomba ke Gua Jenolan. Sesuai untuk pejalan kaki dengan tahap kecergasan sederhana, laluan 45km ini boleh dipecahkan menjadi beberapa perjalanan waktu siang sahaja atau sempurnakan dengan selesa dalam tempoh tiga hari. Atlet sebenar boleh mendaftar untuk Maraton Six Foot yang sukar dan ikonik, namun terbaik untuk menghayati pemandangan indah ini adalah melalui berjalan kaki. Bersiar-siar melalui tanah belukar yang harum, melewati cenuram, gua dan air terjun. Lihat kanggaru, walaroo, echidna, wombat, rama-rama dan kebanyakan daripada 150 spesies yang hidup di sepanjang laluan ini. Berkhemah di sepanjang jalan di tiga tapak perkhemahan, dua dengan kemudahan asas, atau pasangkan khemah di tengah-tengah tanah belukar yang aman damai. Masa terbaik untuk berjalan adalah pada musim bunga dan luruh, apabila anda boleh mengelakkan bahang musim panas dan kedinginan malam musim dingin.

Katoomba Falls, NSW
Katoomba Falls, NSW

Hari 1: Katoomba ke Megalong Valley

Bermula di Pohon Peneroka atau Explorer’s Tree yang tersenarai sebagai warisan, di mana pengembara Gregory Blaxland, William Wentworth dan William Lawson telah mengukir singkatan nama mereka pada tahun 1813. Laluannya berliku-liku melewati pepohon pudina dan ash gunung besar sebelum menurun agak mendadak melalui tembok cenuram Nellie's Glen yang curam. Dinamakan bersempena puteri seorang ahli perniagaan awal di Katoomba, hutan hujan yang dingin dan lembap ini menjadi habitat pepohon seperti coachwood, black wattle, cedar wattle, king fern yang bermaksur paku pakis raja dan banyak pepohon renek dan jenis paku pakis yang sukar ditemui. Berjalan melewati Air Terjun Bonnie Doon yang nyaman dan melalui hutan hujan dan pepohon gam biru Sydney di Megalong yang amat mempesonakan – sebuah nama Orang Asli yang dikatakan bermaksud ‘lembah di bawah cenuram’. Kaum Orang Asli yang bertutur dalam bahasa Gundungurra dan Gandangara hidup seperti nomad di antara Megalong dan lembah-lembah lain di sepanjang laluan yang dinamakan Dreaming Pathways. Lihat corroboree Gundungurra terakhir dan gelanggang kriket tempat pasukan Orang Asli bermain dengan peneroka Megalong pada tahun 1890an. Terdapat papan tanda yang menunjukkan perkampungan perlombongan syal yang ditinggalkan, di mana sehingga 40 keluarga peneroka pernah tinggal antara tahun 1885 hingga 1904.

Megalong Valley, NSW
Megalong Valley, NSW

Hari 2: Megalong Valley ke Cox’s River

Teruskan berjalan merentasi bukit-bukau nan hijau di Megalong Valley, melewati pepohon scribbly gum yang sangat unik. Tanda-tanda aneh pada batangnya disebabkan oleh larva serangga yang makan di bawah kulit kayu ini. Laluan ini berliku-liku di sepanjang tebing Cox’s River yang berpasir – tempat yang hebat untuk menyegarkan diri setelah seharian di bawah cahaya matahari musim panas. Selepas itu anda boleh berkelah di bawah teduh pohon oak sungai dan gum merah hutan, sambil mendengar siulan burung bell, burung kakak tua dan burung lyre. Anda pasti perlu berehat sebelum cuba melintasi Jambatan Ayun Bowtells. Dibina oleh para jurutera dari pangkalan tentara Holsworthy pada tahun 1992, ia hanya boleh dilintasi oleh seorang sahaja pada satu masa, jadi menitilah dengan berhati-hati. Di hujung yang satu lagi anda boleh merebahkan diri di tapak perkhemahan khusus atau di rumah penginapan di tepi sungai.

Jenolan Caves, NSW
Jenolan Caves, NSW

Hari 3: Cox’s River ke Jenolan Caves

Bersedia untuk pendakian Pelana Mini Mini yang mencabar untuk tiba di tempat tertinggi di Banjaran Black. Ambil peluang untuk menghela nafas panjang dan hayati pemandangan yang sangat indah sebelum melakukan perjalanan yang mendatar sepanjang garis permatang. Anda akan melepasi Little River, anak sungai Cox’s River, dan kemudian tapak perkhemahan Alum Creek. Bersiar-siar hampir dengan Jalan Jenolan, melalui pepohon gum kelabu, stringybark dan pepohon yang mungkin telah memberi nama kepada Banjaran Black, iaitu pepohon blackwood. Penurunan terakhir anda membawa anda ke Jenolan Caves yang kelihatan seperti jalan berselirat – antara sistem gua bawah tanah yang terbesar di dunia. Lawati gua Lucas dan Imperial dan berasa kagum dengan hiasan kristal yang halus di Orient Cave. Rentas sungai-sungai bawah tanah dan lewati formasi pra-sejarah. Izinkan diri anda dihantui perasaan seram dalam lawatan menyeramkan atau tonton konsert gua bulanan dengan akustik semula jadi dan ambien alam pari-pari. Setelah dua malam tidur dalam suasana lasak, anda boleh menganugerahi diri anda dengan menginap semalam di hotel yang tersergam indah atau perkhidmatan menginap dan sarapan yang selesa.

Six Foot Track

Six Foot Track

Masa terbaik untuk berjalan :
Musim luruh (Mac ke Mei) dan Musim Bunga (September ke November)

Bandar raya utama terdekat :
Sydney

Ketahui lebih lanjut :
Untuk bersedia untuk perjalanan ini, lawati Jabatan Tanah New South Wales

 

Idea Australia selanjutnya