Pemanduan Pinggir Pantai Sydney ke Melbourne

Pemanduan Pinggir Pantai Sydney ke Melbourne

Sydney - Nowra - Batemans Bay - Eden  - Bairnsdale - Wilsons Promontory - Phillip Island - Melbourne
Perjalanan 7 hari dengan kenderaan

Berenang dari pantai yang memutih di Teluk Jervis, nikmati tiram segar di Pambula dan perhatikan ikan paus di Eden. Berikan helang laut makan di Mallacoota dan alami sistem eko yang berharga di Taman Negara Croajingolong. Naiki bot di Gippsland Lake yang tenang dan luas terbentang. Kemudian, berjalan-jalan di sepanjang Pantai Ninety Mile yang terbentang luas dan ke hujung paling selatan tanah besar Australia di Taman Negara Wilsons Promontory. Di Phillip Island, anda akan menemui anjing laut berbulu yang jinak dan deretan penguin kecil pada waktu senja setiap hari. Pemanduan hebat ini membawa anda ke bandar tepi laut yang lengang, taman negara dipenuhi dengan hidupan liar dan pantai terpencil yang panjang di mana mungkin anda sahaja yang berada di pantai.

Sea Cliff Bridge, NSW
Sea Cliff Bridge, NSW

Hari 1 – Sydney ke Nowra

Pandu ke selatan keluar dari Sydney dan melalui Taman Negara Royal untuk memulakan perjalanan Grand Pacific Drive yang menyusuri cenuram. Singgah untuk berenang, meluncur ombak atau berkelah di Stanwell Tops, di mana anda juga boleh menikmati pemandangan pantai yang menakjubkan dari atas cenuram. Pandu merentasi Jambatan Sea Cliff yang dramatik, setinggi 665 meter dari paras laut, dan menuju ke bandar Wollongong yang berpemandangan indah. Berhenti sebentar di sini untuk menikmati secawan kopi, di Shellharbour yang terletak di Illawarra Lake atau di Kiama, di mana terletaknya Blowhole yang terkenal dengan pancutan air setinggi 60 meter. Teruskan perjalanan melalui bukit-bukau yang cantik dan subur menuju Gerringong dan Gerroa, yang terletak tinggi di cenuram, menghadap Pantai Seven Mile. Memandu sepanjangnya ke Shoalhaven Heads, tempat berenang, meluncur ombak dan memancing di pantai yang popular, atau teruskan ke kawasan pedalaman untuk makan tengah hari di pub di pekan bersejarah Berry yang cantik. Lakukan pemanduan singkat yang berlatarkan pemandangan indah ke kedai antik, galeri dan tanah ragut Kangaroo Valley yang hijau. Atau membelok ke arah pantai dan berhenti di Ladang Coolangatta untuk menikmati wain yang memenangi anugerah. Selesaikan lawatan hari pertama anda di Nowra, yang terdapat kedai antik dan kafe yang cantik dan kunjungi pub desa untuk menghabiskan sisa-sisa malam.

Jervis Bay, NSW
Jervis Bay, NSW

Hari 2 – Nowra ke Bateman’s Bay

Teruskan perjalanan ke Huskisson di Jervis Bay, di mana anda boleh belayar di sebelah kumpulan dolfin atau membenamkan kaki anda ke dalam pasir Pantai Hyams yang merupakan pasir yang paling putih di dunia. Berenang, meredah belukar atau melihat burung di pantai dan hutan Taman Negara Booderee. Anda boleh berkelah di Hammerhead Point berdekatan Currarong dan Red Point berdekatan Callala. Atau menyelam dari Green Patch, di mana rosella merah lembayung memampangkan warna yang terang. Sewa kayak laut dan berdayung di sekitar Honeymoon Bay dan berenang di luar Pantai Murrays, di mana perairannya terlindung oleh Bowen Island. Apabila anda sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan, memandu ke selatan dan berhenti di Ulladulla untuk menikmati ikan dan kentang goreng di pelabuhan. Ketahui tentang sejarah Orang Asli setempat di laluan ‘One Track For All’ di sepanjang tanjung tinggi utara atau berenang di Pantai Pebbly dengan kanggaru yang menghuninya. Susuri pinggir pantai Taman Negara Murramarang yang berceranggah serta tasik dan pantai South Durass. Tamatkan hari anda di pekan percutian Batemans Bay yang meriah, di mana anda boleh belayar di Clyde River dan menjamu selera dengan tiram segar.

Batemans Bay, NSW
Batemans Bay, NSW

Hari 3 – Bateman’s Bay ke Eden

Berhenti di Mogo, di mana anda boleh meninjau barang di kedai butik dan mengalami kehidupan perkampungan perlombongan emas abad ke-19. Kemudian, lawati kampong Central Tilba yang disenaraikan sebagai Khazanah Negara dan lihat pengusaha kraf tradisional menghasilkan kraf mereka. Berhenti di Pusat Budaya Umbarra, di mana anda boleh menyertai sesi melempar bumerang atau buat lawatan dengan kenderaan pacuan empat roda ke tapak keramat Gulaga (Mt Dromedary) dan Wallaga Lake. Teruskan perjalanan di sepanjang jalan pantai ke Taman Negara Mimosa Rocks, di mana anda boleh berenang dan bersnorkel dalam lagun, meluncur ombak dari pantai lautan dan meniti garis pantai yang bercerancang. Teruskan ke pedalaman untuk merasai keju Bega atau menjamu selera dengan tiram Pambula yang terkenal. Berhenti sekejap di pekan melihat paus Eden, di mana anda boleh menyaksikan paus balin dan paus kelasa yang unggul membuat penghijrahan tahunan antara bulan Mei dan November. Redah belukar di celah-celah bunga-bunga liar, pantai dan eukalip di Taman Negara Ben Boyd sebelum melepaskan lelah di waktu malam.

Pantai Tanjung Conran, VIC
Pantai Tanjung Conran, VIC

Hari 4 – Eden ke Bairnsdale

Teruskan melintasi sempadan Victoria ke pekan pinggir pantai Mallacoota yang cantik, di serokan tasik Mallacoota yang berkilau dan tenang. Arahkan bot atau kayuh kanu memudiki sungai-sungai Genoa atau Wallagaraugh ke Gipsy Point, di mana anda boleh berkelah dengan kanggaru dan memberi makan helang laut. Lihat satu daripada koloni terbesar penguin yang diketahui di dunia di Gabo Island. Jelajahi eko-sistem yang begitu tinggi nilainya sehingga dilindungi oleh Rizab Biosfera Dunia di Taman Negara Croajingolong. Atau, teruskan perjalanan ke selatan menuju Taman Pinggir Pantai Tanjung Conran untuk berkelah makan tengah hari. Anda boleh berkhemah di sini, antara kawasan semak heath, pantai lautan yang ganas dan hutan jarang banksia. Atau, teruskan perjalanan ke arah Metung di Lakes Entrance, di mana anda boleh belayar atau menyusuri Gippsland Lakes, jalan air kawasan pedalaman yang terbesar di Australia. Menginap di sini atau di Bairnsdale, di persimpangan Tasik Gippsland dan kawasan alp.

Wilsons Promontory, VIC
Wilsons Promontory, VIC

Hari 5 – Bairnsdale ke Wilsons Promontory

Memandu sepanjang Lebuh Raya Princess dan berhenti di Yarram untuk menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Negara Tanjung Tinggi Wilsons. Tempah kabin penginapan atau dirikan khemah untuk bermalam di Tidal River di Norman Bay dan susuri satu daripada denai di taman negara tersebut. Ikuti Laluan Semula Jadi Lilly Pilly Gully melalui kawasan semak heath, hutan eukalip dan hutan hujan atau susuri Pantai Squeaky untuk melihat pasirnya yang putih bersih. Mendaki ke puncak Mt Oberon untuk menyaksikan satu daripada panorama tercantik di Victoria atau mengembara berjalan kaki ke satu daripada 11 tapak perkhemahan di pedalaman. Bersnorkel atau menyelam berdekatan cenuram granit, ikan yang berwarna terang dan rumpai laut yang berwarna-warni di Taman Negara Marin Tanjung Tinggi Wilsons. Bermalam di Tidal River atau di pekan Foster yang berdekatan.

Phillip Island, VIC
Phillip Island, VIC

Hari 6 – Wilsons Promontory ke Phillip Island

Berhenti untuk menikmati kopi di Fish Creek, perbandaran kecil yang aneh, yang dibarisi galeri, kedai buku dan kafe, atau tunggu sehingga anda tiba di pekan pinggir laut Inverloch yang popular untuk menikmati makan tengah hari. Memandu melewati San Remo, tempat memancing dan perlindungan burung undan, dan melintasi jambatan ke Phillip Island. Lihat koala dan burung air dalam hutan di Rhyll dan saksikan penguin berjalan pulang terkedek-kedek pada waktu senja di Pantai Summerland. Untuk menyaksikan kehidupan liar yang berbeza, kunjungi Litar Lumba Grand Prix Phillip Island, tempat Grand Prix Motorsikal dan V8 Supercar 500 Australia diadakan. Belayar melewati koloni anjing laut yang terbesar di Australia untuk menyaksikan anjing laut berbulu di Seal Rocks dan lihat beribu-ribu shearwater (sejenis burung) berekor pendek di cenerung Cape Woolami yang berceranggah. Bermalam di Cowes atau tanjung terlindung Rhyll.

Melbourne, VIC
Melbourne, VIC

Hari 7 – Phillip Island ke Melbourne

Ambil kesempatan untuk memeluk koala di pusat pemuliharaan di Cowes sebelum meneruskan perjalanan menyaksikan keindahan sekitar Western Port Bay dan Semenanjung Mornington. Jelajahi pantai, tempat penghasilan wain dan padang golf Flinders, kemudian merentasi semenanjung ke Sorrento, di mana anda boleh berenang di sisi dolfin. Meniti cenuram melewati rumah agam jutaan dollar di Portsea dan petik beri anda sendiri dan lawati tempat penghasilan wain dan galeri di Red Hill. Berhenti di pekan pantai kosmopolitan Mornington, sebelum menghala balik ke Melbourne melalui jalan yang berselirat, bar yang banyak, restoran yang eksklusif dan butik di luar laluan.

Pemanduan Pinggir Pantai Sydney ke Melbourne

Pemanduan Pinggir Pantai Sydney ke Melbourne

 

Idea Australia selanjutnya