Laluan Larapinta, Wilayah Utara

Laluan Larapinta, Wilayah Utara

225km / 20 hari / perjalanan kaki waktu siang dan berbilang hari

Lakukan treking sepanjang tulang belakang Banjaran MacDonnell Barat untuk ke tempat menarik seperti Simpsons Gap, Ellery Creek Big Hole, Ormiston Gorge dan Glen Helen Gorge. Urutan perjalanan waktu siang yang amat terkenal ini mengunjur lebih daripada 223km dari Stesen Telegraf Alice Springs lama ke Mount Sonder dan Mount Razorback. Berdiri di atas tubir purba dan tinjau lanskap luas dengan citra warna hartal kuning tanah. Kunjungi tapak suci kaum Orang Asli Arrernte. Mendaki turun gaung terlindung, berenang dalam lopak air yang dingin dan tidur berbumbungkan bintang-bintang di langit. Berkhemah di pedalaman adalah antara keseronokan di laluan ini, di samping kepelbagaian habitat gurun, mergastua dan haiwan peribumi serta hampir 600 spesies flora yang sukar ditemui. Rancang perjalanan anda dalam 12 peringkat, dari tahap mudah hinggalah amat mencabar dan pastikan anda mempunyai akses pemanduan pacuan empat roda. Atau beri diri anda tiga minggu dan cabar diri anda untuk menyempurnakan perjalanan di atas laluan ini dari hujung ke hujung.

Euro Ridge, NT
Euro Ridge, NT

Peringkat 1: Stesen Telegraf Alice Springs ke Simpsons Gap

Rasakan bentuk muka bumi yang berbeza di atas Laluan yang sangat indah pemandangannya ini dan berjarak 24km. Anda tidak perlu menjadi pelumba Olimpik, namun terdapat beberapa tempat yang curam dan pendakian yang agak mencabar. Bermula di Stesen Telegraf Alice Springs, di mana bangunan batu di sini pernah menjadi petempatan orang Eropah pertama di sini. Nikmati pemandangan seluruh Alice Springs dan Banjaran MacDonnell dari Rabung Euro, celup tangan anda dalam Scorpion Pool dan Fairy Spring dan daki Pelana Hat Hill. Berehat seketika di tebing berpasir anak sungai Wallaby Gap yang terlindung oleh dinding batu merah. Berkhemah di sini atau di hab pelancong di Simpsons Gap, di mana anda mungkin dapat melihat walabi batu berkaki hitam menjelang senja. Anda boleh menyingkatkan perjalanan dengan memulakan atau mengakhiri perjalanan anda di Jambatan Geoff Moss. Sebaliknya, lakukan perjalanan pergi balik sejauh 17km di antara Jambatan Geoff Moss ke Wallaby Gap.

Simpsons Gap, Laluan Larapinta
Simpsons Gap

Peringkat 2: Simpsons Gap ke Jay Creek

Berjalan sejauh 25km pada waktu siang atau berhenti separuh jalan di Mulga Camp, lebih kurang tiga jam setelah anda melalui kawasan pedalaman yang aman damai di Bond Gap. Berjalan melewati tebing anak sungai dan pepohon gum ke lopak air yang dalam di Spring Gap, kemudian susuri laluan air ke kawasan berkelah di Jay Creek. Lihat salah satu koloni posum ekor berus Australia Tengah dan singkapan batu batan berusia lebih 2 bilion tahun. Bermalam dalam khemah di Hamilton Downs Youth Camp. Nikmati citra warna yang indah ketika matahari terbenam, kemudian terpegun dengan Milky Way yang begitu jelas.

Standley Chasm, Laluan Larapinta
Standley Chasm

Peringkat 3: Jay Creek ke Standley Chasm

Berliku-liku sepanjang 13.6km melalui bentuk rupa bumi yang curam dan lasak, peringkat ini memerlukan tahap kecergasan yang tinggi dan perancangan yang teliti. Terdapat juga laluan yang lebih rendah jika anda seorang yang lebih suka bersiar-siar dan bukan seorang yang lasak. Berjalan kembali ke Jay Creek dan seterusnya ke kolam Fish Hole yang disirami cahaya mentari, yang turut menjadi tapak suci kaum Orang Asli. Teruskan melalui belukar Arcacia ke Persimpangan Tangentyere, kemudian, sama ada ambil jalan lasak atau jalan yang lebih ringan ke Millers Flat. Berkhemah semalam di Standley Chasm, tempat batu batan merah menjulang ke langit berlatarkan langit nan biru, keputihan pepohon gum hantu dan kehijauan sikadis. Tembok jurang dan batu gondol bercahaya di bawah sinaran matahari tengah hari yang kuat.

Birthday Waterhole, Laluan Larapinta
Birthday Waterhole

Peringkat 4: Standley Chasm ke Birthday Waterhole

Anda pastinya perlu berada dalam keadaan yang cukup cergas untuk mengungguli peringkat ini yang sejauh 17.7km dan dilakukan semalaman. Berjalan mengelilingi Standley Chasm sambil meneliti dan mengkaji sikad, paku pakis dan gum sungai, sebelum gerombolan para pelancong melanda tempat ini pada waktu tengah hari. Berjalan sepanjang rabung kuartzit Banjaran Chewings yang tinggi ke puncak Brinkley Bluff untuk menikmati pemandangan menakjubkan dari semua arah. Anda perlu benar-benar berhati-hati untuk berpijak kerana perjalanan turun ke Stuart’s Pass, cabang sebelah hilir Hugh River, penuh dengan liku-liku tajam. Lewati Mintbush Spring dan ikuti lembah sungai ke Birthday Waterhole, kolam sungai separa kekal yang dipinggiri oleh pepohon River Red Gums.

Razorback Ridge, Laluan Larapinta
Razorback Ridge

Peringkat 5: Birthday Waterhole ke Hugh Gorge

Uji paru-paru dan kaki anda dalam perjalanan semalaman 16km yang mencabar ini. Ia perjalanan mudah sepanjang pelana sempit ke Spencer Gorge yang sangat indah pemandangannya, namun jangan tertipu dengan keindahan sementara ini. Dari sini anda perlu mendaki tongkol batu ke Windy Saddle, di mana pemandangannya menjemput anda untuk merehatkan kaki anda yang letih dan berhenti makan tengah hari. Berjalan sepanjang tulang belakang Razorback Ridge yang berbatu batan sebelum berjalan turun ke Linear Valley yang gersang dan kelihatan begitu asing. Ketandusan di sini hanya berubah sedikit di Rocky Saddle, di mana beberapa pepohon gum tumbuh di atas rabung. Berjalan melewati spinifeks di sepanjang tebing berpasir laluan air purba Hugh Gorge, di mana anda boleh berenang dalam lopak air yang dalam dan memasang khemah di bawah teduh.

Ellery Creek, Laluan Larapinta
Ellery Creek

Peringkat 6: Hugh Gorge ke Ellery Creek

Di penghujung perjalanan semalaman peringkat ini sejauh 31.2km, anda dan but kembara anda akan menjadi seolah-olah pasangan yang telah lama berkahwin. Stamina adalah sesuatu yang wajib dimiliki. Rentas hutan yang jarang dan spinifeks Alice Valley, sambil meninjau spesies burung painted firetail dan burung ren yang berbeza. Kembara melalui belukar ke Rocky Gully yang curam, di mana anda boleh berhenti rehat makan tengah hari atau memasang khemah untuk bermalam. Berjalan di atas rabung kuarzit yang tinggi di Banjaran Chewings ke Ellery Creek Big Hole yang cantik. Lubang air besar yang dipinggiri damar dan anak sungai berpasir dikelilingi oleh cenuram merah yang tinggi. Di samping popular sebagai tempat berkelah dan berenang, ia juga adalah tapak geologi penting antarabangsa. Lihat beberapa pembentukan menarik dalam perjalanan Dolomite sejauh tiga kilometer. Kemudian berehat dan saksikan pokok damar melantunkan bayangnya pada waktu senja.

Laluan Larapinta
Laluan Larapinta

Peringkat 7: Ellery Creek ke Gaung Serpentine

Pendakian ini adalah sama lasak dengan elemen di sekitarnya, tapi anda boleh mengatasi peringkat 13.8km ini dalam masa sehari untuk mengalami rasa pencapaian yang sebenar. Batu pandangan bulan yang mencorakkan denai menawarkan pelajaran sejarah yang menjangkau berbilion tahun yang lampau. Lihat pemandangan klasik padang pasir Australia Tengah dan unggas asal yang banyak, termasuk burung Spinifex yang sukar ditangkap. Tiba di Gaung Serpentine, di mana anda boleh berkhemah berhampiran air yang jernih di bawah tempat redup yang cukup banyak. Sejukkan diri dengan bersiar-siar di sepanjang denai pejalan kaki bertiang penunjuk yang dibarisi oleh pohon damar. Pergi ke peninjau untuk pemandangan dari langit gaung sempit, yang berliku dan lubang air yang separa kekal.

Laluan Larapinta
Laluan Larapinta

Peringkat 8: Gaung Serpentine ke Empangan Serpentine Chalet

Perjalanan sejauh 13.4 km yang mencabar ini memberi ganjaran atas penggunaan tenaga anda dengan memberikan pemandangan garis permatang kuarzit yang tinggi yang menawan hati, begitu kudus untuk Banjaran MacDonnell Barat. Lakukan pendakian curam ke Counts Point, di mana anda boleh melihat merentasi Alice Valley di sepanjang baris permatang dan melihat Haasts Bluff, Mt Sonder dan Mt Zeil – puncak tertinggi di Wilayah Utara. Dari sini, ianya adalah perjalanan menurun yang berpusing ke empangan Serpentine Chalet melewati tangki air dan pulau belukar dan pohon rendang. Peringkat ini memerlukan tempat turun dan mengambil penumpang di kedua-dua hujung. Sementara Empangan Serpentine Chalet hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan kelegaan yang tinggi, anda boleh berjalan jauh sedikit melewati kesan runtuhan ke kawasan pacuan dua roda. Sebagai alternatif, ikuti laluan berjalan Arrernte sejauh 6.3km ke Ochre Pits, juga boleh menaiki pacuan dua roda untuk sampai ke sana.

Gaung Ormiston, Laluan Larapinta
Gaung Ormiston

Peringkat 9: Empangan Serpentine Chalet ke Gaung Ormiston

Isikan air anda dan bersedia untuk berjalan 28.6km melalui bahagian tengah banjaran yang berceranggah. Berjalan ke Ochre Pits dan kagumi lapisan batu yang lembut, berwarna terang yang telah dilombong oleh Orang Asli Arrente Barat untuk hiasan upacara selama beribu-ribu tahun. Singgah sebentar di Genting Inarlanga sebelum memulakan perjalanan lima jam melalui Banjaran Heavitree ke dalam Gaung Waterfall yang berbatu dan berwarna seperti matahari terbenam. Meskipun namanya sedemikian, inilah satu-satunya tapak perkhemahan tanpa sumber air yang boleh diharapkan. Teruskan sehingga melewati Base of Hill ke tembok Gaung Ormiston yang mencuar tinggi, di mana anda boleh berkhemah untuk bermalam.

Finke River, Laluan Larapinta
Finke River

Peringkat 10: Gaung Ormiston ke Finke River

Jika betis anda berasa sakit hanya dengan membaca tentang peringkat denai yang lebih sukar, peringkat 9.9km ini menawarkan kelegaan yang relatif. Berjalan merentasi bukit batu kapur dan di sepanjang Finke River yang kebanyakannya berpasir ke Gaung Glen Helen, di mana sungai membahagikan Banjaran MacDonnell Barat. Lopak air kekal di sini adalah tempat perlindungan bagi sembilan spesies ikan Finke dan burung air yang berhijrah. Sesudah itu, nikmati minuman sejuk atau aiskrim yang memang sewajarnya anda dapat di Tempat Peranginan Glen Helen.

Gaung Redbank, Laluan Larapinta
Gaung Redbank

Peringkat 11: Finke River ke Gaung Redbank

Bahagian separuh pertama peringkat bermalam sejauh 25.2km yang sukar ini, berliku-liku merentasi bukit rendah yang dipenuhi spinifeks dalam limpahan bayang dramatik Mt Sonder. Menyeberangi Davenport River dan mendaki bukit ke Peninjau Mt Sonder. Dari sini anda mencelah-celah turun melalui Rocky Bar Gap yang tenang serta redup dan sepanjang lereng selatan Mt Sonder. Perhatikan batu hitam berbonjol yang berusia berjuta tahun apabila lanskap ini masih berupa tropika. Lihat sekumpulan unggas ketika anda merentasi tumbuhan mulga dan mallee yang agak tebal sebelum keluar dari kawasan hutan jarang.

Mt Sonder, Laluan Larapinta
Mt Sonder

Peringkat 12: Gaung Redbank ke Mt Sonder dan berpatah balik

Anda akan nikmati kemegahan puncak gunung klasik pada perjalanan pulang 15.8 km ini ke puncak Mt Sonder. Pada ketinggian 1,380 meter, ia menjadi ikon Banjaran McDonnell Barat. Pendakian adalah perlahan, mantap dan teruk. Tapi pemandangan panorama, terbentang indah banjaran, dataran, lembah dan tasik garam menjadikan semuanya berbaloi. Malah pada hari yang terang, anda boleh melihat hingga ke kawah Tnorala (Gosse Bluff). Pada bulan September dan Oktober anda akan lihat Mountain Hakea yang dipenuhi dengan bunga-bungaan liar berwarna merah muda terang. Terapkan pemandangan padang pasir terbentang luas dalam ingatan dan kamera anda ketika berjalan pulang ke Gaung Redbank. Dari sini, anda boleh dijemput dengan kenderaan pacuan empat roda untuk perjalanan yang terenjut-enjut pulang ke Alice Springs.

Larapinta Trail

Larapinta Trail

Masa terbaik untuk berjalan :
Di antara April dan September apabila cuaca sejuk. Elakkan kepanasan musim bunga yang membakar dari Disember ke Januari.

Bandar raya utama terdekat :
Alice Springs

Ketahui lebih lanjut :
Untuk bersedia untuk perjalanan ini, lawati Wilayah Utara Sumber Asli, Alam Sekitar, Kesenian dan laman web Sukan

 

Idea Australia selanjutnya