Jalan Red Centre, Wilayah Utara

Jalan Red Centre, Wilayah Utara

Alice Springs – Taman Negara Banjaran MacDonnell Barat – Taman Negara Gaung Finke – Ngarai Kings – Taman Negara Uluru-Kata Tjuta – Alice Springs

Perjalanan 5 hari dengan kenderaan

Berenang di Gaung Glen Helen dan lihat walabi batu di Simpsons Gap, kedua-duanya terdapat di Banjaran MacDonnell Barat. Dengar legenda Dreamtime yang berkisar tentang kawah komet Gosse Bluff. Daki ke lereng Ngarai Kings dan berenang dalam kolam tropika Garden of Eden. Buat perjalanan menaiki unta pada subuh hari ke sekitar Uluru dan bersiar-siar antara kubah coklat kemerah-merahan yang curam berdekatan Kata Tjuta. Redah pasir gurun yang merah, spinifeks dan hutan mulga. Ketahui tentang sejarah Orang Asli kawasan tersebut dari puak Arrernte yang tinggal di sini 20,000 tahun lamanya. Hayati sendiri seni Orang Asli Australia dan sejarah peneroka Alice Springs. Jangan lepaskan peluang untuk mengalami pengembaraan di pusat purba Australia yang pasti tidak dapat dilupakan.

Gaung Glen Helen, NT
Gaung Glen Helen, NT

Hari 1 – Alice Springs ke Gaung Glen Helen atau Taman Negara Gaung Finke

Luangkan sehari untuk menerokai tumbuh-tumbuhan, haiwan, lopak air yang tenang dan gaung terlindung Taman Negara Banjaran MacDonnell Barat. Lihat walabi batu di rabung yang curam dan kawasan sekitarnya serta Ghost Gum yang besar di Simpson Gap. Buat perjalanan singkat sambil menikmati keindahan alam ke Standley Chasm dan lihat dindingnya yang curam merah bersinar dipanah cahaya matahari. Nikmati pemandangan memukau Gaung Serpentine yang sempit dan berliku-liku dari stesen peninjau di puncak cenuram. Berendam untuk menyejukkan diri di tempat berenang di Ellery Creek Big Hole, Gaung Ormiston, Gaung Redbank dan Gaung Glen Helen yang cantik sekali, tempat hebat untuk mendirikan khemah untuk menyaksikan matahari terbenam.

Ataupun, anda boleh berhenti di Taman Negara Gaung Finke, di mana anda mengendalikan kenderaan pacuan empat roda di sebelah cenuram batu pasir yang mencuar tinggi dan Finke River yang ganas, satu daripada jalan air yang tertua di dunia. Lihat gumuk pasir merah menyala dan kematu garam. Lihat banjaran gunung berubah dari warna keungu-unguan kepada warna kuning tanah yang memijar di bawah panahan cahaya matahari terik. Jelajahi oasis gurun Palm Valley, satu-satunya tempat di dunia yang anda boleh dapati Red Cabbage Palm.

Taman Negara Finke Gorge, NT
Taman Negara Finke Gorge, NT

Hari 2 – Gaung Glen Helen ke Ngarai Kings

Dalam perjalanan anda ke sebelah barat Ngarai Kings, berhenti untuk melihat keajaiban Tnorala (Gosse Bluff), sebuah kawah komet selebar 20 kilometer dan berusia 140 juta tahun. Kawasan tersebut amat istimewa bagi puak Orang Asli Arrernte Barat, yang mempercayai bahawa ia terbentuk apabila wanita menjatuhkan bayi semasa menari merentasi Milky Way. Teruskan perjalanan sepanjang Jalan Mereenie Loop ke Ngarai Kings dalam Taman Negara Watarrka, di mana anda boleh mendirikan khemah atau bermalam di resort atau rumah penginapan hutan.

Kings Canyon, NT
Kings Canyon, NT

Hari 3 – Ngarai Kings ke Uluru

Dakilah menuju ke lingkungan Ngarai Kings untuk menikmati pemandangan cenuram batu pasir curam yang luas terbentang, rekahan yang dipenuhi pokok palma, dasar lembah dan gurun. Lihatlah tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui dari zaman kelembapan dahulu kala. Berenang dalam kolam tropika Garden of Eden dan terokai kubah batu yang telah diluluhawa. Lihat matahari terbenam di Carmichael Crag, lalui Kathleen Springs Walk ke lopak berair yang cantik atau kembara malam di Giles Track. Teruskan perjalanan di sepanjang Jalan Red Centre ke Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, dan saksikan perubahan warna Uluru sewaktu matahari terbenam.

Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, NT
Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, NT

Hari 4 – Taman Negara Uluru-Kata Tjuta

Saksikan matahari terbit di Uluru pada waktu subuh, kemudian nikmati kehebatan sarapan teh bukit dan roti bir dibakar segar. Berjalan-jalan di sekitar Uluru di Mala atau Mutitjulu Walk dengan jurupandu Anangu dan pelajari tentang cara nenek moyang Dreamtime menempa arca batu pasir yang besar ini. Selepas itu lawatilah kubah bulat, curam dan berwarna coklat kemerah-merahan berdekatan Kata Tjuta di Lembah Winds Walk. Pada waktu petang, nikmati jamuan bush tucker klasik dan wain Australia di bawah langit gurun yang ditaburi bintang. Di Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, terdapat berbagai-bagai tempat penginapan dari tapak perkhemahan hingga ke resort yang mewah.

Uluru, NT
Uluru, NT

Hari 5 – Kembali ke Alice Springs

Ia adalah perjalanan balik sejauh 445 kilometer ke Alice Springs. Oleh itu, berhenti sebentar dan segarkan diri di kemudahan komersial yang terdapat di sepanjang lebuh raya dan stesen peninjau Mount Connor yang berpemandangan tasik garam yang terbentang luas. Berhenti di Hutan Simpan Pemuliharaan Henbury Meteorites untuk melihat 12 kawah yang terbentuk apabila tahi bintang menimpa permukaan bumi 4,700 tahun yang lampau. Sebelum anda sampai di Alice, anda boleh melencong dari lebuh raya untuk melihat cenerung dan batu pasir yang berpemandangan indah serta cenuram Rainbow Valley, iaitu sebahagian daripada Banjaran James. Jaluran pelbagai warna yang diberi nama sempena sifatnya kelihatan cantik sekali terutamanya semasa matahari bersinar pada waktu pagi dan lewat petang.

Jalan Red Centre

Jalan Red Centre

 

Idea Australia selanjutnya