Tiga minggu dari Brisbane

Tiga minggu dari Brisbane

Brisbane merupakan pintu masuk yang baik sekali untuk pergi ke pinggir laut yang indah di Australia timur.  Memandu ke utara Pacific Coast dan berhenti untuk menikmati keindahan tempat peranginan di Noosa atau untuk memandu kenderaan pacuan empat roda atas laluan berpasir di Fraser Island yang tersenarai dalam Warisan Dunia.  Belayar melepasi pulau yang dilitupi hutan menghijau di Whitsundays yang mempesonakan.  Berhenti di Gladstone, Mackay, Rockhampton dan Cairns yang merupakan antara pintu masuk ke Great Barrier Reef yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan kaya dengan keindahan yang berwarna-warni.   Berjalan menyusuri titian purba di Daintree Rainforest atau melalui taman negara yang segar di Hinchinbrook Island.  Naik kapal terbang sekejap dari Brisbane dan tiba di Sydney dengan pelabuhannya yang bergemerlapan, tarikan budaya dan pantai bandar yang cantik.

Lake Maroon, QLD
Lake Maroon, QLD

Minggu pertama: Brisbane, Gold Coast, Fraser Island

Naik bot, berkayak di laut, meluncur angin atau tunggang ski jeti di Moreton Bay yang tidak begitu jauh jika anda memandu dari Brisbane.   Ikut lencongan pendek dan cepat ke selatan untuk tiba di Gold Coast dengan pantainya yang indah, taman tema yang luas, kehidupan malam yang penuh aktiviti dan daerah pedalamannya yang subur.   Pandu kereta ke utara di Pacific Coast Touring Route dan berhenti untuk menikmati keindahan semula jadi dan keanggunan gaya hidup Noosa dan lihat ikan paus dari Hervey Bay.  Pandu kenderaan pacuan empat roda ke tasik pedalaman, hutan hujan dan cenuram yang berwarna-warni di Fraser Island yang merupakan pulau pasir terbesar di dunia dan tersenarai dalam Warisan Dunia.  Lihat penyu laut di pantai Mon Repos atau snorkel dengan ikan pari kola di Lady Musgrave Island, kedua-duanya terletak berhampiran Bundaberg.  Beristirehat di tepi pantai di 1770 atau segarkan semula diri anda dengan meredah hutan hujan yang subur di Cania Gorge National Park.  Dalam perjalanan anda ke pantai, menginaplah di Rockhampton dan kunjungi Great Keppel Island dan Capricorn Cave.

Whitsundays, QLD
Whitsundays, QLD

Minggu kedua: Whitsundays, Cairns, Great Barrier Reef

Anda boleh ambil penerbangan terus ke Cairns dari Brisbane.  Selain itu, anda boleh memandu ke sana melalui Pacific Coast Touring Route.  Anda akan melalui Airlie Beach iaitu tempat untuk berlepas bagi menikmati pelayaran impian anda melalui 74 buah pulau yang dikelilingi pokok palma di Whitsundays.  Meredah belukar di South Molle Island dan berjalan di Whitehaven Beach dengan pasirnya yang putih bersih di Whitsunday Island.  Biarkan diri anda terdampar di Magnetic Island, berdekatan Townsville dan kunjungi Hinchinbrook yang terletak jauh ke utara dan merupakan taman negara pulau terbesar di Australia.  Tiba di Cairns iaitu pintu masuk paling popular untuk ke Great Barrier Reef.  Belajar cara menyelam atau snorkel bersama-sama ikan tropika dan terumbu malah dengan ikan paus minke kerdil.  Dari Cairns, naik kereta api sambil menikmati pemandangan yang indah ke perkampungan hutan hujan yang dikelilingi rama-rama di Kuranda dan pulang menaiki Skyrail yang tinggi merentasi kanopi.  Berjalan di Daintree Rainforest yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan letaknya jauh sedikit ke utara.  Pandu kenderaan pacuan empat roda ke Cape Tribulation atau ke selatan Cairns dan redah belukar menuju ke air terjun berdekatan Mission Beach.  Untuk lebih adrenalin, berakit menyusuri Tully River yang terletak satu jam ke selatan Cairns atau ke Barron River di Barron Gorge National Park.

Byron Bay, NSW
Byron Bay, NSW

Minggu ketiga: Brisbane ke Sydney

Ambil penerbangan terus ke Sydney atau pandu kereta di Pacific Coast Touring Route melalui Byron Bay.  Kembalikan semula zen anda dalam ketenangan hutan hujan atau lihat matahari terbit pertama di Australia yang menukar warna rumah api menjadi merah jambu.  Di Sydney, jelajah jalan batu buntar bersejarah di The Rocks dan kunjungi muzium di sepanjang Macquarie Street.  Berjalan melalui Botanic Garden dan melihat Sydney Harbour Bridge serta Opera House.  Naik feri ke Manly atau Watsons Bay.  Belajar meluncur air di Bondi Beach dan berenang di dalam air yang tenang di Coogee atau pergi ke utara menuju ke Palm Beach.  Minum wain, nikmati makanan dan membeli-belah di kawasan beli-belah bandar raya seperti Darling Harbour, Paddington, Surry Hills, Potts Point, Glebe dan Newtown.  Melepasi pinggir Sydney, anda boleh meredah belukar di Blue Mountains yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan bermalam di perkampungan pergunungan yang kelihatan aneh tetapi menarik.  Ke utara Sydney, terokai Hawkesbury River dan meluncur air di pantai Central Coast.  Kunjungi beberapa buah ladang anggur di antara 120 landang anggur yang ada di Hunter Valley dan berenang bersama-sama dolfin di Port Stephens.  Ke selatan Sydney, berkhemah di Royal National Park atau snorkel di Jervis Bay.

Tiga minggu dari Brisbane

Tiga minggu dari Brisbane

 

Idea Australia selanjutnya