Tiga minggu dari Cairns

Tiga minggu dari Cairns

Dari Cairns, pulau, hutan hujan dan terumbu di North Queensland yang beriklim tropika berada dekat dengan anda.  Menyelam atau snorkel di Great Barrier Reef dan lihat rama-rama Ulysses pendarkilau di perkampungan hutan hujan di Kuranda.  Jejaki Daintree Rainforest yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan pandu kenderaan pacuan empat roda ke Cape Tribulation atau berakit dalam arus deras di Tully River.  Memandu di Savannah Way menuju ke Northern Territory dan pekan pedalaman di  Katherine kemudian berjalan melalui dinding batu pasir yang dramatik di Katherine Gorge.  Selain itu, naik kapal terbang ke Alice Springs untuk menjelajah tarikan-tarikan yang menakjubkan di Red Centre Australia, termasuklah Uluru- Kata Tjuta National Park dan gaung di banjaran West MacDonnell selama seminggu.

Palm Cove, Cairns, QLD
Palm Cove, Cairns, QLD

Minggu pertama: Cairns dan Tropical North Queensland

Berbasikal, berjalan atau meluncur dengan rollerblade di sepanjang Cairns Esplanade, kemudian berenang di dalam lagun air masin yang besar.  Luangkan beberapa hari untuk menjelajah Great Barrier Reef yang tersenarai dalam Warisan Dunia.  Snorkel merentasi pulau terumbu dan kai (cays) bersama-sama ikan tropika dan malah ikan paus minke kerdil.  Belajar untuk menyelam, kemudian jelajahi jurang yang dalam, terowong dan gua bawah air.  Belayar di Low Isles atau melancong harian ke pulau Green dan Fitzroy.  Dari Cairns, naik kereta api sambil menikmati pemandangan indah ke perkampungan hutan hujan di Kuranda dan pulang menaiki Skyrail.  Jauh ke utara, jejaki Daintree Rainforest yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan menjadi habitat kepada pelbagai tumbuhan dan haiwan di dunia.  Lihat tumbuhan berbunga purba, buaya muaraan, rama-rama yang terang warnanya dan kanggaru tikus kesturi.  Pergi seharian ke Mossman Gorge yang indah dan anda dapat mengalami budaya orang asli dengan pemandu pelancong tempatan Kuku Yalanji kemudian pergi ke Cape Tribulation.  Ke selatan Cairns, redah belukar menuju ke air terjun berdekatan Mission Beach.  Untuk benar-benar memacu adrenalin, berakit menyusuri Tully River, atau Barron River di Barron Gorge National Park.  Menginap di Cairns, Palm Cove, Port Douglas atau Daintree.

Atherton, QLD
Atherton, QLD

Minggu kedua: Cairns ke Savannah Way, Katherine, Darwin

Untuk pengembaraan yang unik sambil memandu dari Cairns, sewa kereta dan pastikan anda ada bekalan yang mencukupi dan pergi ke kawasan Savannah Way yang berbengkang-bengkok melalui Tropical Tableland menuju ke Katherine di Northern Territory.  Jelajah kawasan desa yang subur di sekitar Mareeba dan kunjungi kuil China yang berusia  seabad di Atherton dan bermalam di  Ravenshoe iaitu bandar tertinggi di Queensland.  Bersiar-siar di Millstream Falls iaitu air terjun terluas di Australia dan tenangkan diri anda di dalam gua di Undara Volcanic National Park yang merupakan sistem lava terpanjang di dunia.  Gali emas di Croydon dan Georgetown yang bersejarah dan memancing ikan barramundi di Normanton.  Mengembara melepasi komuniti nelayan pedalaman di Northern Territory menuju ke Katherine dan di sini anda boleh berkanu atau belayar melalui dinding batu pasir purba di Katherine Gorge.  Jika panduan epik ini tidak menarik untuk anda, naik kapal terbang ke Darwin yang beriklim tropika dan habiskan minggu ini menjelajah tarikan di sekitarnya.   Hiruplah udara nyaman di Darwin dan menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan dan mengenali pelbagai budaya melalui festival dan pasar luar bangunan yang banyak di sini.  Berjalan melepasi air terjun dan kolam junam di Litchfield National Park.  Jangan ketinggalan melawat Kakadu National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia – tempat yang penuh dengan hidupan liar, tanah lembap dan seni batu Orang asli.

Uluru, NT
Uluru, NT

Minggu ketiga: Cairns ke Red Centre

Ini adalah laluan popular untuk mengembara dari kawasan terumbu ke kawasan batu di Cairns.  Naik kapal terbang dari Cairns ke Alice Springs untuk mengalami Red Centre di Australia.   Di Alice Springs, lihatlah seni Orang Asli di sepanjang Todd Mall dan ketahui tentang peneroka bandar ini di tempat bersejarah.  Berbasikal ke Simpsons Gap atau tunggang unta merentasi Simpson Desert.  Di West MacDonnell Ranges, berenang di Glen Helen Gorge dan lihat Standley Chasm bersemarak di bawah sinaran terik matahari.  Bersiar-siar di oasis gurun di Palm Valley di Finke Gorge National Park.   Berjalan hingga ke lereng Kings Canyon dan lihat kubah yang dimamah cuaca di Lost City di Watarrka National Park.  Lihat Uluru dari atas belakang unta, helikopter atau motosikal.  Ketahui tentang asal usul Dreamtime sambil berjalan di sekitar kaki bukit bersama-sama pemandu pelancong Anangu.  Lihat kubah curam berwarna coklat kemerah-merahan di Kata Tjuta yang berdekatan, di Valley of the Winds Walk. 

Tiga minggu dari Cairns

Tiga minggu dari Cairns

 

Idea Australia selanjutnya