Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, Queensland

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, Queensland

Brisbane - Fraser Island - Bundaberg - Rockhampton - Mackay - Townsville - Cairns
Perjalanan 6 hari dengan kenderaan

Alami sebahagian daripada tarikan pinggir pantai terbesar Queensland- dari Terumbu Sawar Besar yang tersenarai sebagai Warisan Dunia ke pulau dan taman negara hutan hujan yang asli. Pandu kenderaan pacuan empat roda ke Fraser Island, pulau pasir yang terbesar di dunia dan lihat ikan pari manta dan penyu di Mon Repos, berdekatan Bundaberg. Menginap di Rockhampton dan lawati Great Keppel Island dan Capricon Caves. Bersnorkel atau menyelam di terumbu dan bangkai kapal berdekatan Mackay dan belayar di Whitsundays yang seindah poskad bergambar. Berjalan di pantai memutih Magnetic Island, berdekatan Townsville dan lebih jauh ke utara lawati Hinchinbrook, taman negara pulau yang terbesar di Australia. Warna, bauan dan bunyi yang jelas di pinggir pantai yang indah permai ini akan kekal bersama anda walaupun pengembaraan anda telah lama berakhir di Cairns, pintu masuk ke utara tropika Queensland.

Fraser Island, QLD
Fraser Island, QLD

Hari 1 – Brisbane ke Pulau Fraser

Pandu melalui Noosa dan singgah sejenak untuk meneroka butik, bistro dan pangsapuri pinggir pantai yang elegan di Hasting Street. Bersiar-siar melalui pantai dan belukar Taman Negara Noosa, berhenti sebentar di stesen peninjau dengan pemandangan yang panoramik. Menyambung kembali perjalanan, anda akan melalui pekan kerubut emas Gympie dan Maryborough, bandar wilayah tertua Queensland. Saksikan ikan paus dari Harvey Bay atau naiki bot ke Fraser Island yang tersenarai sebagai Warisan Dunia, pulau pasir terbesar di dunia, di utara Rainbow Beach. Sewa kenderaan pacuan empat roda atau sertai lawatan untuk melihat tarikan pulau, dari McKenzie Lake yang indah ke hutan hujan berdekatan Central Station dan rabung berwarna Cathedrals. Anda boleh lanjutkan penginapan anda beberapa malam lagi di tempat peranginan, kabin atau khemah di tepi pantai.

Woodgate Beach, QLD
Woodgate Beach, QLD

Hari 2 – Fraser Island ke Bundaberg

Menyeberang kembali ke tanah besar dan sambung perjalanan anda ke Bundaberg, bandar tebu yang bersejarah dan pintu masuk ke Terumbu Sawar Besar selatan. Bersiar-siar melewati bangunan kolonial mewah dan belayar menyusuri Burnett River. Saksikan penyu laut bersarang dan menetas di pantai kecil Mon Repos. Kemudian bersnorkel dan menyelam di terumbu batu karang dan pulau kecil Lady Musgrave Island dan Lady Elliot Island, yang juga merupakan tempat tinggal sebilangan besar ikan pari manta. Berenang atau memancing di Elliot Heads, menyelam dari Coral Cove dan Innes Park atau lihat kanggaru di Woodgate Beach – hanya beberapa daripada tarikan sepanjang pinggir pantai Bundaberg yang bersih sepanjang 140 kilometer.

Great Keppel Island, QLD
Great Keppel Island, QLD

Hari 3 – Bundaberg ke Rockhampton

Perjalanan ke utara melalui Gin Gin dan pekan pinggir pantai 1770, dinamakan sempena tahun ia ditemui oleh Kapten Cook. Ketika melencong ke kawasan pedalaman, anda boleh meredah belukar hutan hujan Taman Negara Cania Gorge yang subur dan kagumi Mystery Craters di Taman Negara Eurimbula. Perhentian yang seterusnya ialah bandar hijau Gladstone, yang dikelilingi oleh gaung hutan hujan, tasik dan pantai yang menjangkau ke Terumbu Sawar Besar. Tiba di Rockhampton dan naiki pelayaran batu karang ke Great Keppel Island, bersnorkel di Shelving Beach, Monkey Point atau Clam Bay atau bersiar-siar di Taman Botanik. Apabila anda berasa lapar, rasai reputasi Rockhampton sebagai pusat daging lembu Australia dan pesanlah stik yang begitu menyelerakan.

Mackay, QLD
Mackay, QLD

Hari 4 – Rockhampton ke Mackay

Hala ke Capricorn Caves, gua yang menakjubkan dalam rabung batu kapur. Lebih jauh ke utara, terdapat perkampungan tropika Yeppon, pintu masuk ke Persisiran Capricorn dan Taman Negara Byfield. Di sini anda boleh memerhatikan unggas, meredah belukar melalui hutan hujan dan memancing di pantai. Terus ke utara ke Mackay, di mana anda boleh makan tengah hari di marina, jejaki warisan dan berjalan, berenang dan memancing di pantai bandar Lambert Town, Illawong, Harbour, Bucasia, Blacks dan Eimeo. Temui posum, kanggaru, ayam belanda belukar dan echidnas di pantai Taman Negara Tanjung Hillsborough. Alami perjalanan sehari ke Brampton dan Carlisle Island di selatan Whitsundays. Bersnorkel dan menyelam di celah-celah bangkai kapal Llewellyn dan taman batu karang asli berhampiran Scawfell Island yang tidak berpenghuni.

Crystal Creek, Townsville, QLD
Crystal Creek, Townsville, QLD

Hari 5 – Mackay ke Townsville

Melencong ke selatan ke oasis sub tropika Taman Negara Eungella. Kembali ke pantai, anda akan melalui Pantai Proserpine dan Airlie, kedua-duanya pintu masuk ke Whitsundays. Terokai sebahagian daripada 74 pulau yang dihiasi pokok palma pada perjalanan sehari atau anda juga boleh menyewa kapal layar. Jangan lepaskan peluang untuk melawat Whitsundays Island dan pasir silika memutih Pantai Whitehaven. Pengembaraan anda diteruskan ke utara melalui kebun mangga dan ladang tebu hijau ke Townsville. Bersiar di pesiaran pantai yang indah, nikmati kehidupan malam yang nyaman dan naiki katamaran ke pantai dan taman negara Magnetic Island.

Carins, QLD
Carins, QLD

Hari 6 – Townsville ke Cairns

Terkenal sebagai Great Green Way, pengembaraan 350 kilometer ini membawa anda melalui 12 taman negara dan lebih daripada 20 pulau tropika. Pandu lalu muzium hidup Charters Towers, melencong ke Taman Negara Paluma atau terokai Tanah Paya Tyoto berdekatan Ingham. Lawati Air Terjun Wallaman, air terjun tunggal yang tertinggi di Australia. Terokai Hichinbrook Island, pulau taman negara terbesar Australia atau berjalan di sepanjang Pantai Mission yang menakjubkan. Lawati kuil China dan bangunan berhias seni di Innisfail dan pergi berakit di Taman Negara Gaung Tully. Temui tanah paya dan tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui di Taman Negara Paya Eubenangee dan air terjun yang indah di Taman Negara Wooroonooran. Perjalanan anda berakhir di bandar antarabangsa Cairns yang mendamaikan.

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, QLD

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, QLD

 

Idea Australia selanjutnya