Abel Point Marina – Hook Island – Stonehaven – Butterfly Bay – Hook Island Bays – Chance Bay – Hamilton Island – Cid Harbour – Heart Reef – South Molle Island – Abel Point Marina
10 hari pelayaran
Sukar melepaskan peluang untuk menikmati pelayaran romantis melalui Whitsundays – 74 buah pulau yang kebanyakannya tidak didiami, di celah-celah Terumbu Sawar Besar dan Laut Coral. Bayangkan malam cerah dilimpahi cahaya bulan, matahari terbenam di kaki langit, pantai yang terpencil dan air yang jernih. Anda boleh belayar, berenang, bersnorkel dan menyelam di tempat berlabuh yang terlindung seperti Teluk Blue Pearl, Butterfly dan Hook Island Bays. Alami suasana resort Hamilton Island, meredah belukar melalui taman negara di South Molle dan bersantai di penginapan mewah lima bintang Hayman island. Lawati Whitsunday Island dan bersiar-siar di Pantai Whitehaven yang berpasir silika putih bersih.
Ini adalah pelayaran singkat yang santai merentasi laluan Whitsunday ke tempat berlabuh yang tenang di Nara Inlet yang umpama teluk yang kecil, sempit dan panjang serta bertebing tinggi. Turun di situ dan jelajahi tapak gua Orang Asli yang dipenuhi lukisan di bahagian hujung utara serokan. Kemudian, berpatah balik ke bot untuk menikmati champagne dan sajian makan malam ikan segar yang baru ditangkap untuk meraikan malam pertama pengembaraan pelayaran anda.
Bertolak dari Nara Inlet sebelum tengah hari dan naiki boya tambatan awam di dalam kawasan penanda perlindungan terumbu di Terumbu Langford, berdekatan Langford Island. Bersnorkel sambil menyaksikan keindahan ikan dan batu karang dalam air yang jernih dan nyaman. Kemudian, menuju ke Stonehaven Anchorage yang tenang dan berpemandangan cantik untuk melihat keindahan alam Hayman Island, Bird, Langford dan Black. Saksikan matahari melabuhkan tirainya di tanah besar dan laluan Whitsundays tatkala Resort Hayman Island mula disinari cahaya.

Teruskan pelayaran ke Blue Pearl Bay di sudut barat laut Hayman Island. Untuk menikmati air pasang yang paling tinggi, tiba sebelum tengah hari dan bersnorkel dalam air yang jernih dan nyaman di sekitar Castle Rock di teluk sebelah selatan. Ini adalah satu daripada tempat menyelam yang terbaik. Sebagai tempat berlabuh, ia terlindung dari tiupan angin tenggara. Namun begitu, tiupan angin lain boleh menghasilkan ombak besar semalaman. Teruskan ke Teluk Butterfly untuk menaiki boya tambatan awam dan ambil kesempatan untuk bersnorkel sebelum air mula pasang sekitar 5 petang. Perjalanan dengan boya tambatan ke Alcyonaria Point memberikan perlindungan yang terbaik, terutamanya dari gelombang angin timur laut.

Jelajahi Maureens Cove, Luncheon Bay dan Mantaray Bay merentasi Hook Island. Kemudian, kembali ke Butterfly Bay untuk menaiki boya tambatan lain yang terlindung untuk menikmati keindahan malam. Jika angin berubah dari timur ke barat daya, belayar ke Border Island dan bermalam di Cateran Bay. Pulau yang jauh ini mempunyai tempat berlabuh yang menarik tetapi mempunyai gelombang dalam arah angin timur. Keadaan yang terbaik untuk bersnorkel adalah apabila angin bertiup dari selatan.
Mula belayar ke Whitsunday untuk menikmati keindahan Pantai Whitehaven sepanjang enam kilometer yang berpasir silika putih. Nikmati keindahannya dengan menyusuri pantai, berenang dan berkelah pada waktu tengah hari. Kemudian, jelajahi setiap ceruk Chance Bay dengan menaiki boya tambatan di waktu petang – dua teluk yang lebih kecil yang setiap satunya berpantai pasir dan baik untuk bersnorkel. Sebelum melelapkan mata, tempah tempat marina atau boya tambatan untuk malam berikutnya di Pelabuhan Hamilton.
Belayar melalui Laluan Fitzalan dan belayar ke utara Hamilton Island, di mana anda boleh berlabuh, mandi air panas dan menambah bekalan. Bayar tambang boya tambatan anda dan kemudian alami pelbagai acara di Hamilton Island, termasuk menikmati hidangan di restoran, koktel di pinggir kolam renang dan menari di bar yang meriah.
Selepas sarapan pagi yang santai, belayar selama sejam setengah ke Pantai Sawmill di Pelabuhan Cid. Tersorok antara Cid Island dan sebelah barat Whitsunday Island, ini adalah satu daripada sebilangan kecil tempat berlabuh sembarang cuaca Whitsunday yang terdapat banyak boya tambatan tertambat di teluk dan pantainya yang terlindung.
Berlepas ke Heart Reef dengan menaiki pesawat laut yang telah ditempah awal, membawa anda dari tempat anda berlabuh ke lagun terlindung yang terpencil untuk bersnorkel dan melihat batu karang. Jika anda lebih gemar menikmati keindahan di darat, ikut jejak dari Pantai Sawmill ke Pantai Dugong dan cuba mendaki Puncak Whitsunday.
Teruskan perjalanan ke utara melalui Laluan Whitsunday dan berlabuh di Bauer Bay, berdekatan South Molle Island. Nikmati keindahan Laluan Whitsunday dan Selat Molle yang memukau semasa meredah belukar berperingkat melalui Taman Negara South Molle. Raikan malam terakhir anda di pulau tersebut di resort South Molle, dengan pelbagai jenis hidangan makanan laut dan nikmati hiburan berlitup labuci yang mempesonakan.
Kembali ke Abel Point Marina untuk mendengar ulasan ringkasan. Hantar isyarat radio kepada operator sewa khas apabila anda melintasi Pioneer Point dan anda akan ditemui oleh seorang ahli syarikat sewa khas. Bot mungkin telah berlabuh, tetapi kenangan romantis anda pasti tidak dapat dilupakan.