Laluan Hutan Hujan, Queensland

Laluan Hutan Hujan, Queensland

pemanduan harian individu 650km / 7

Terokai hutan hujan yang tersenarai sebagai Warisan Dunia, taman negara, pergunungan dan pekan nan damai dengan memandu kenderaan melalui kawasan dengan pemandangan indah di kawasan pedalaman Gold Coast dan Byron Bay.  Berjalan di sepanjang kaki bukit Great Dividing Range atau melihat pergerakan lingkaran Border Loop Spiral Train.  Berjalan merentasi hutan hujan yang subur di Lamington National Park dalam perjalanan anda ke Tamborine Mountain.  Terbang merentasi gunung dan tanah ladang yang menghijau di Scenic Rim dengan menaiki peluncur atau berjalan di sepanjang kaki bukit Mount Warning (Wollumbin) yang mencuar tingginya.  Memandu kereta dari Lismore ke Minyon Falls yang hebat pemandangannya dan mendaki ke lereng kawah gunung berapi purba di Border Ranges National Park.

Sungai Clarence, NSW
Sungai Clarence, NSW

Mallanganee dan Richmond range

Dari Casino, pandu ke barat menuju ke Mallanganee dan berhenti di tempat peninjau untuk melihat pemandangan indah merentasi Richmond Range  Pada hari yang cerah, anda boleh nampak jauh hingga ke palam gunung berapi Mt Warning (Wollumbin).  Mengembara ke Tabulam dan menyeberangi Sungai Clarence melalui jambatan kekuda kayu yang dikatakan sebagai jambatan terpanjang di hemisfera selatan.  Pandu ke utara melalui perkampungan bersejarah Bonalbo yang merupakan pintu masuk yang baik untuk pergi ke hutan hujan Warisan Dunia dan hutan hujan tumbuh-tumbuhan tua Richmond Range National Park.  Berjalan melepasi pokok gum berbelak yang jarang ditemui di Cambridge Plateau Picnic Area.  Teruskan perjalanan melalui jalan raya ke utara merentasi Yabbbra State Forest iaitu tempat yang popular untuk memancing ikan dan memandu kenderaan pacuan empat roda.  Dari Urbenville, anda boleh membuat satu pusingan melalui perkampungan Woodenbong ke Tooloom Falls dan Tooloom National Park yang merupakan tapak tempat tinggal Penduduk Asli purba dan habitat bagi pelbagai spesies kanggaru Australia yang unggul.

Bar Mountain Circuit, NSW
Bar Mountain Circuit, NSW

Lions Road

Susuri jalan berbengkang-bengkok ini merentasi dua negeri dan McPherson Ranges. Jalan ini dibina oleh Lions Club bandar ini pada tahun 1971.  Bermula dengan Kyogle yang indah di New South Wales yang terletak di Sungai Richmond dan dikelilingi hutan hujan.  Belok ke Lions Rd di sebelah utara Wiangaree dan ikut selekoh ke Border Ranges National Park yang merupakan tempat tumbuhnya hutan hujan Gondwanan yang tersenarai dalam Warisan Dunia.  Mendaki sebentar ke Pinnacle Lookout untuk melihat Mt Warning (Wollumbin) dan Tweed Coast  Berjalan di celah-celah pokok bic Antartik purba di sekitar Bar Mountain Picnic Area.  Dari Border Loop Lookout, berdekatan sempadan Queensland, anda dapat melihat Border Loop Railway melingkari gunung dalam satu lingkaran pusaran yang dibina dengan begitu bijak.  Berjalan menuju gaung yang dalam dengan air terjun yang turun menjunam dan lihatlah fauna asli seperti katak berkantung dan Alberts lyrebird yang jarang ditemui.   Di sebelah sana Mt Lindesay Highway terletaknya puncak berceranggah Mount Barney National Park.

Tamborine Mountain, QLD
Tamborine Mountain, QLD

Tamborine Circuit

Bermula dari Nerang di Gold Coast, Queensland dan menghala ke barat daya menuju ke Lamington National Park.  Selepas Beechmont, pandu kereta di sepanjang hutan hujan melalui kawasan Binna Burra, tempat terdapatnya ratusan air terjun dan denai.   Atau terus ke Canungra dan anda boleh belok ke kawasan Green Mountain O’Reilly.  Susuri titian TreeTop Walk setinggi 16 meter, lihat gua cacing kalimantang dan berayun merentasi hutan hujan dengan menaiki flying fox.  Sertai Gold Coast Hinterland Great Walk yang dibahagi kepada bahagian-bahagian perjalanan jarak dekat atau habiskan keseluruhan perjalanan melalui denai ini sejauh 54km dalam masa empat hari.  Kembali ke jalan berbengkang-bengkok yang indah ini, pandu kereta ke Tamborine Mountain dan anda boleh mengunjungi ladang anggur, terbang meluncur menuruni gunung dengan peluncur atau melihat-lihat kedai seni dan barang antik di Gallery Walk.   Berhampiran Mount Tamborine National Park  merupakan tempat perkelahan. Anda boleh melihat platipus dan berjalan ke Curtis Falls melalui barisan pokok palma piccabeen.

Main Range National Park, QLD
Main Range National Park, QLD

Main Range

Bermula di pekan pedalaman Beaudesert yang terletak kurang daripada sejam dari Brisbane dan Gold Coast.  Pandu kereta ke barat menuju ke Boonah yang terletak di tengah-tengah Scenic Rim.  Terbang melayang merentasi gunung dan tasik dengan menaiki peluncur atau berbasikal di sekeliling kawasan yang indah ini.  Melihat-lihat di galeri dan kedai kraf, membeli hasil tani yang segar dari gerai di tepi jalan dan melihat bangunan warisan dengan ciri-cirinya yang unik.  Pergi mendaki batuan di Mt French dan memancing, belayar, meluncur air dan berkanu di Lake Moogerah. Kedua-dua tempat ini terletak di barat bandar ini.  Pandu kereta ke selatan melalui tanah ladang serta hutan hujan dan berhenti untuk berjalan meredah belukar sekitar Mt Toowoona serta melihat pemandangan sungai dari Carrs Lookout dan mengunjungi Teviot dan Queen Mary Falls.  Teruskan perjalanan melepasi Daggs dan Browns Falls melalui Killarney dan Legume, kemudian pergi ke timur menuju ke Woodenbong. Ikut lencongan ke selatan dengan pemandangan yang indah menuju ke Tooloom Falls dan Urbenville.  Kemudian sambung semula perjalanan ke  Beaudesert, berhenti untuk berjalan kaki ke Lower Portals di Mt Barney National Park.

Springbrook National Park, QLD
Springbrook National Park, QLD

Mount Warning View Circuit

Memandu dari Murwillumbah, sebuah bandar dengan seni bena art deco hingga ke Mt Warning National Park, di mana anda boleh berjalan-jalan di Lyrebird Track di sekitar kaki bukit Mt Warning (Wollumbin).  Ketahui tentang masa lampau gunung berapi purba kawasan pergunungan ini dan pergelutan terkini untuk memulihara hutan hujannya di pusat informasi.  Makan tengah hari di kafe yang nampaknya aneh tapi menarik dan melihat-lihat kedai seni dan kraf di perkampungan bersejarah Uki.  Pandu kereta melepasi Mebbin National Park dan berjalan di sepanjang Byrill Creek yang akan membawa anda ke kawasan yang dipenuhi pokok ara.  Berhenti di Tyalgum atau mendaki ke lereng Wollumbin Crater di Border Ranges National Park yang terletak jauh ke barat.  Di jambatan Chillingham, pergi ke utara untuk melihat air terjun, hutan hujan yang subur dan pemandangan yang indah di Springbrook National Park.  Kunjungi Natural Bridge, di mana anda boleh melihat air terjun menuruni bumbung gua basalt pada waktu siang dan koloni cacing golf yang berkelipan pada waktu malam.  Patah balik melalui Chillingham ke Murwillumbah.

Minyon Falls
Minyon Falls

Minyon Falls

Jelajah galeri, teater dan ruang seni pentas di  Lismore dan sekitarnya.  Kemudian pandu kereta melalui Bexhill dan ke utara melalui petak-petak tanah ladang dan hutan menuju ke perkampungan kecil  Rosebank.  Memandu melalui Nightcap National Park ke Minyon Falls dengan airnya yang terjun menjunam melebihi seratus meter ke dalam gaung yang dalam dan dikelilingi pokok palma.  Lihatlah perubahan pemandangan pokok kayu putih bertukar menjadi hutan hujan subtropika dalam perjalanan anda menuruni galur.  Pandulah sejauh 30km sepanjang Whian Whian Scenic Drive dan lihatlah koala di atas pokok pakis gergasi dan pokok blackbean.  Berhenti untuk berkhemah di Rummery Park atau terus ke selatan menuju ke Dorroughby dan Dunoon berdekatan tempat platipus berkumpul di Rocky Creek.  Berhenti di The Channon iaitu sebuah  perkampungan artistik dan teruskan perjalanan melalui Nimbin yang merupakan tempat bermulanya lawan budaya (counter-culture) di Australia sejak tahun 1970-an.  Lihatlah sisa peninggalan aktiviti gunung berapi kawasan ini di Nimbin Rocks dan berjalan ke  Protestors Falls yang menjunam turun ke bawah kanopi palma Bangalow menuju ke Terania Creek.

Border Ranges National Park, NSW
Border Ranges National Park, NSW

Tweed Range Scenic Drive

Dari Kyogle, pergi ke utara melalui Wiangaree menuju ke Border Ranges National Park iaitu hutan hujan yang tersenarai dalam Warisan Dunia. Jalan ini tidak berturap tapi sesuai untuk kenderaan biasa apabila kering.  Ikut salah satu daripada jalan yang banyak bercabang dari Sheep Station Creek Camping Area atau redah hutan hujan purba mengikut salah satu daripada tiga denai menuju ke Brindle Creek.  Lihat pokok red cedar yang dipercayai berusia 1,000 tahun di Red Cedar Loop yang pendek.  Atau berjalan ke Bar Mountain Picnic Area iaitu puncak tertinggi di kawasan kawah gunung berapi.  Berhenti di kawasan perkelahan Antarctic Beech dan dari tempat ini anda boleh nampak Lost World Wilderness.  Jangan lupa mendaki sebentar ke Pinnacle Lookout yang terletak 919 meter di atas paras laut di lereng kawah gunung berapi.  Anda akan terpegun apabila melihat pemandangan yang menusuk kalbu merentasi Mt Warning (Wollumbin), kawah gunung berapi dan tanah ladang yang terbentang seakan-akan mozek zamrud hijau serta hutan hujan.  Pandu keluar dari pintu masuk sebelah selatan taman ini menuju ke Murwillumbah-Kyogle Road.

Laluan Hutan Hujan

Laluan Hutan Hujan

 

Idea Australia selanjutnya