Tiga minggu dari Adelaide

Tiga minggu dari Adelaide

Bermula dengan tarikan asli Australia Selatan yang mengagumkan, kemudian naik kereta api  Ghan melalui Red Centre Australia ke Darwin.  Dari Adelaide, anda boleh menikmati makanan dan wain yang lazat di Barossa dan Clare Valley dan berjalan ke Flinders Ranges yang berceranggah serta melihat pelbagai hidupan liar di Kangaroo Island.  Berenang, meluncur air, snorkel dan meredah belukar di sepanjang Fleurieu Peninsula sebelum melihat penguin dari jarak dekat di Penneshaw dan sekumpulan singa laut di Seal Rock di Kangaroo Island.  Rentasi benua ini dengan kereta api Ghan yang hebat dan berhenti untuk melancong di Alice Springs dan Katherine dengan pemandangannya yang mengagumkan.  Di Darwin, anda boleh berseronok di festival, pasar dan pebagai jenis makanan dan budaya. 

Barossa Valley, SA
Barossa Valley, SA

Minggu pertama: Adelaide, Adelaide Hills, Barossa Valley, Flinders Ranges

Membeli-belah di Rundle Mall, makan di kafe dan selami budayanya yang tinggi di sepanjang North Terrace dan nikmatilah angin pantai di Glenelg.  Pandu ke Adelaide Hill dan di sini anda boleh mengelamun melihat bukit yang cantik, melihat-lihat ladang anggur dan galeri seni dan berkunjung ke Hahndorf, perkampungan orang Jerman yang masih ada dan tertua di Australia.  Hanya sejam lagi sahaja perjalanan untuk sampai ke Barossa Valley yang mempunyai 60 tempat simpanan wain.  Cubalah shiraz Barossa dan rasalah hasil tempatan di Butcher, Baker, WineMaker Trail.  Berbasikal di Riesling Trail dan berkunjung ke bandar bersejarah di Mintaro di Clare Valley yang berdekatan.  Mengembara ke Flinders Ranges dan berhenti untuk mendaki Mt Remarkable di selatan dan berjalan di sekeliling amfiteater besar di Wilpena Pound yang terletak di tengah-tengahnya.  Lihat seni Orang asli di Arkaroo Rock dan fosil bertarikh 600 juta tahun dahulu di Brachina Gorge.  Berjalan, memandu kenderaan pacuan empat roda dan renunglah bintang dari salah satu bilik cerap di Arkaroola Wilderness Sanctuary di bahagian utara yang berceracak. 

Murray River, SA
Murray River, SA

Minggu kedua: Flinders Ranges, Fleurieu Peninsula, Kangaroo Island

Memandu ke selatan dari Adelaide menuju ke Fleurieu Peninsula yang luas terbentang.  Kunjungi ladang anggur, dusun badam dan galeri di kawasan ladang anggur McLaren Vale dan berjalan di sebahagian Heysen Trail di sepanjang pinggir laut berceracak di Deep Creek Conservation Park.  Meluncur air, berenang dan beristirehat di pantai yang putih bersih yang terbentang dari Christies Beach ke Cape Jervis.  Berhenti di Goolwa dan susuri Murray River dengan bot yang bergerak perlahan atau berkanu melepasi burung tanah lembap di lagun yang cetek dan berkilauan di Coorong.  Naik feri ke Kangaroo Island dan di sini anda dapat melihat singa laut di atas pasir Seal Bay dan penguin berjalan terkedek-kedek di Penneshaw.   Kunjungi rumah api bersejarah dan Admirals Arch yang dimakan cuaca dan Remarkable Rocks di Flinders Chase National Park.  Berjalan di Hanson Bay atau memasuki gua di  Kelly Hill Conservation Park.  Menyelam dengan naga laut berupa daun dari Kingscote dan memancing dari jeti Emu Bay yang bersejarah.  Meluncur air di ombak yang lengang di Stokes Bay atau beristirehat di atas pasir yang memutih di Vivonne Bay.  

Simpson Desert, SA
Simpson Desert, SA

Minggu ketiga: Red Centre dan Darwin

Mengembara dari bahagian bawah ke bahagian atas Australia dengan kereta api Ghan yang hebat.  Naik kereta api ini di Adelaide dan lihat bukit Australia Selatan memberi laluan kepada gurun,  Red Centre yang kemerahan dan akhir sekali Top End yang beriklim tropika.  Jelajah pekan-pekan di kawasan pedalaman yang terkenal di Alice Springs dan Katherine dengan lawatan menaiki kereta api yang berhenti sekejap di setiap pekan ini.  Kunjungi tempat suci Orang Asli di sekitar Alice Springs atau naik helikopter merentasi Simpsons Gap yang indah pemandangannya.  Melawat ladang unta yang diusahakan atau menunggang motor lasak quad bike merentasi Simpson Desert.  Dari Katherine anda boleh belayar atau berkanu melepasi cenuram batu pasir Katherine Gorge atau terbang dengan helikopter merentasi gaung yang bersambung antara satu sama lain.  Nikmati pemandangan matahari terbenam di Darwin dengan belayar di pelabuhan atau menjamu selera dengan makanan berempah di Mindil Beach Sunset Market.  Berbasikal melepasi bunga orkid dan bromeliad serta tumbuhan asli di George Brown Botanic Garden.  Berenang, nikmati barbeku sambil melihat matahari terbenam dan jelajah tempat suci Orang Asli di Casuarina Coastal Reserve.  Di Berry Springs Nature Park, anda boleh melihat burung di hutan monsun dan ikan di lopak renang yang jernih airnya.  Lihat dari jarak dekat, ikan, burung pemangsa, haiwan yang aktif pada waktu malam dan reptilia di Territory Wildlife Park.  Naik kapal terbang ke Tiwi Island atau memandu di Nature’s Way ke Litchfield National Park dan Kakadu National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia.

Tiga minggu dari Adelaide

Tiga minggu dari Adelaide

 

Idea Australia selanjutnya