Lebuh Raya Penjelajah, Australia Selatan

Lebuh Raya Penjelajah, Australia Selatan

Adelaide ke Darwin
Perjalanan 11 hari dengan kenderaan

Jejaki jejak perintis John McDouall Stuart apabila anda membuat perjalanan dari Adelaide ke Darwin dalam Lebuh Raya Penjelajah. Jelajahi simpanan wide dan chateau dibarisi pepohon anggur di Lembah Barossa dan Banjaran Flinders yang berceranggah serta Wilpena Pound. Menginap di bawah tanah di ibu kota baiduri Cooper Pedy dan pekan pedalaman Alice Springs. Berjalan sekitar Uluru dengan bantuan jurupandu Orang Asli Australia dan terus ke pinggir Ngarai Kings. Lihat seni batu Orang Asli purba di Taman Negara Kakadu yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia dan berenang di kolam yang jernih di Taman Negara Litchfield. Pengembaraan anda diteruskan di taman, pasar terbuka dan tarikan-tarikan pesta dan bersejarah Darwin tropika.

Port Augusta, SA
Port Augusta, SA

Hari 1 – Adelaide ke Port Augusta

Anda cuma perlu memandu sejam dari Adelaide untuk tiba ke Barossa Valley, yang terkenal dengan wain premiumnya dan masakan tempatannya yang enak. Alami beberapa dari 60 tempat simpanan wain dalam menjejaki makanan dan wain, dan lawati chateau bersejarah yang dibarisi pepohon anggur. Beli hasil seni dan kraf tangan setempat yang boleh diperoleh dari banyak galeri atau pelajari tentang rahsia tempat simpanan wain dengan mengikuti kelas master wain. Rasai Barossa Shiraz atau Eden Valley Riesling sebelum meneruskan perjalanan ke Port Augusta, pintu masuk ke Banjaran Flinders yang berceranggah dan daerah pedalaman Australia. Bermalam di sana dan lihat suria hilang di sebalik bukit yang pernah menjadi penanda wilayah puak Orang Asli Nakuma.

Taman Negara Banjaran Flinders, SA
Taman Negara Banjaran Flinders, SA

Hari 2 – Port Augusta ke Coober Pedy

Melencong seketika ke Taman Negara Banjaran Flinders, di mana anda boleh dapati banjaran gunung, gaung, anak sungai kecil, hidupan liar yang berbagai-bagai jenis dan Wilpena Pound yang sungguh menawan. Menapak ke pinggirnya atau melihatnya dengan menaiki pesawat yang melintasinya. Lihat tapak seni baru Orang Asli dan lombong tembaga lama. Kagumi fosil purba dan lihat walabi batu berkaki kuning yang jarang dijumpai. Teruskan perjalanan ke pekan perlombongan baiduri Coober Pedy yang aneh, di mana penduduknya yang datang dari seluruh dunia tinggal dan bermain di bawah tanah untuk menghindari panas yang membakar. Lawati kediaman, gereja, kedai dan hotel bawah tanah. Di permukaan atasnya, anda boleh lihat lapangan golf tanpa rumput, lombong baiduri, lapangan baiduri dan tunjuk cara memotong baiduri. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan landskap pandangan bulan Moon Plain, Dog Fence dan Breakaways, tempat di mana Mad Max III difilemkan.

Gurun Painted, SA
Gurun Painted, SA

Hari 3 – Coober Pedy ke Alice Springs

Buat lawatan singkat ke Gurun Painted, sebuah kawasan berbukit berwarna-warni yang menakjubkan, terbentuk dari hakisan selama 80 juta tahun. Anda pasti terpesona dengan warna-warnanya - kuning tanah, merah oksida dan perang gelap yang pekat. Dari sini, perjalanan diteruskan ke utara melalui dataran rumput, desa granit dan melintasi Finke River ke pekan pedalaman Alice Springs yang terkenal.

Uluru, NT
Uluru, NT

Hari 4 – Alice Springs ke Taman Negara Uluru-Kata Tjuta

Saksikan sinaran matahari naik Uluru semasa menyusuri denai unta pada waktu subuh, kemudian renungi keagungannya sambil menikmati sarapan teh billy dan roti bir yang dibakar segar. Bersiar-siar di sekitar Uluru dengan bantuan Orang Asli dan pelajari bagaimana nenek moyang Dreamtime mengikat ikon batu pasir yang besar ini. Selepas itu, nikmati barbeku di kubah berwarna coklat kemerah-merahan yang bulat dan curam berdekatan Kata Tjuta semasa matahari melabuhkan tirainya. Pada waktu petang, jamu selera dengan bush tucker di gurun yang terbentang luas berbumbung bintang di langit. Anda boleh juga bermalam di penginapan yang terdiri dari tapak perkhemahan hingga resort mewah.

Garden of Eden, NT
Garden of Eden, NT

Hari 5 – Taman Negara Uluru-Kata Tjuta ke Ngarai Kings

Lawati Ngarai Kings, yang membentuk bungkah di Taman Negara Watarrka. Mendaki ke pinggir ngarai untuk menyaksikan cenuram batu pasir yang curam, rekahan dipenuhi pokok palma, dasar lembah dan gurun. Berenang dalam kolam tropika Garden of Eden dan terokai kubah batu yang telah diluluhawa. Ia kelihatan umpama permukaan bulan atau puing tinggalan tamadun purba. Saksikan matahari terbenam di Carmichael Crag, bersiar-siar di Kathleen Springs Walk ke lekukan air yang cantik atau lalui trek sepanjang 22 kilometer semalaman di Giles Track. Jika perkhemahan tidak digemari, anda boleh bermalam di resort atau rumah persinggahan kawasan hutan. Anda juga boleh menyaksikan kesemuanya dengan mengambil penerbangan melintasi citra agung semula jadi ini.

Alice Springs, NT
Alice Springs, NT

Hari 6 – Ngarai Kings ke Alice Springs

Kembali ke Alice Springs, tinjau bilik kelas terbuka yang terbesar di dunia dan perkhidmatan perubatan daerah pedalaman oleh doktor terbang. Daki ke puncak Anzac Hill untuk melihat keseluruhan pekan. Kemudian, terokai tumbuh-tumbuhan, haiwan dan habitat yang mendiami Gurun Australia Tengah di Taman Gurun Alice Springs. Jika anda rasa ingin mengharungi cabaran, berlumba merentasi gumuk pasir merah menggunakan motosikal beroda empat atau menunggang Harley. Ketahui tentang seni Orang Asli Australia melalui satu daripada galeri dan pusat seni yang banyak terdapat di sini. Bersantai sambil bermain golf atau bertaruh di kasino atau balapan lumba kuda. Sebagai pelengkap hari yang indah di Alice, anda boleh menikmati jamuan daerah pedalaman Australia, yang mana antara menunya adalah emu, buaya, unta, barramundi, daging lembu dan kanggaru.

Devils Marbles, NT
Devils Marbles, NT

Hari 7 – Alice Springs ke Tennant Creek

Menghala ke utara dari Alice Springs, berhenti sebentar di Ti Tree dan rasai wain anggur yang terbaik dan mangga yang berkilau, dihasilkan oleh peladang pedalaman yang berwawasan. Nikmati warna-warna gurun yang pekat dengan meneruskan perjalanan ke Wycliffe, sebuah pekan yang terkenal dengan rakaman UFOnya. Jalan ke Tennant Creek membawa anda melintasi Devils Marbles. Menurut mitologi Orang Asli Australia, batu tongkol seimbang yang amat besar ini umpama telur bagi Rainbow Serpent. Dengari kisahnya yang lebih mendalam di Pusat Budaya Nyinkka Nyunyu di Tenant Creek. Kemudian, selami sejarah kerubut emas pekan tersebut di tapak warisan dan mendulang emas secara suka-suka.

Daly Waters, NT
Daly Waters, NT

Hari 8 – Tennant Creek ke Daly Waters

Di utara Tennant Creek, anda akan temui Elliott dan Laluan Penemuan Newcastle Waters. Rangkaian jalan yang berpemandangan indah ini - yang sesetengahnya hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda - menyimpang keluar dari lebuh raya ke ladang ternak lembu yang luas, pub pedalaman dengan pelbagai ragam dan tanda tempat Perang Dunia Ke-2. Bermalam di rumah penginapan di pinggir jalan di persimpangan lebuh raya Stuart dan Carpentaria atau teruskan perjalanan ke Daly Waters, sebuah perkampungan desa kecil, di sekitar pub tertua Wilayah tersebut.

Mataranka, NT
Mataranka, NT

Hari 9 – Daly Waters ke Katherine

Berhenti di Mataranka untuk berendam di mata air panas Daly River yang nyaman sebelum tiba di perbandaran peneroka bersejarah, Katherine. Lawati Taman Negara Nitmiluk, tempat di mana terletaknya Gaung Katherine yang menarik serta lereng curam dan lanskap air terjun. Anda boleh menjelajahi dinding gaung, dan berkaki ayam di pantai yang berpasir putih, berkanu, menaiki bot atau mengambil penerbangan dengan helikopter untuk menikmati keindahan alam yang terbentang. Untuk menyelami sejarah desa Katherine, berhenti seketika di Rumah Ladang Springvale, yang dibina daripada batu pasir oleh Alfred Giles pada tahun 1878 untuk menikmati teh Devonshire.

Adelaide River, NT
Adelaide River, NT

Hari 10 – Katherine ke Adelaide River

Anda boleh melencong ke kawasan hutan Taman Negara Kakadu yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia, dengan menyusur keluar dari Lebuh Raya Stuart di Pine Creek. Anda boleh meredah belukar, memancing barramundi atau melihat buaya air masin dengan menyusuri sepanjang tanah lembap. Lihat leluhur Dreamtime rekahan terpotong menjadi Nourlangie Rock dan beberapa contoh seni sinar X yang terbaik di dunia di Ubirr Rock di timur laut Kakadu. Berkemah di Gaung Kookpin atau di dasar tubir Arnhem Land. Atau, teruskan perjalanan ke perbandaran Perang Dunia Ke-2 Adelaide River atau menginap di rumah penginapan di pinggir jalan. Kawasan perkuburan perang yang berdekatan dipenuhi pusara tentera yang terbunuh dalam serangan udara 1942-43.

Darwin, NT
Darwin, NT

Hari 11 – Adelaide River ke Darwin

Berhenti di Taman Negara Litchfield yang berdekatan, dengan lanskap alam semula jadinya di mana anda boleh berenang dengan selamat di lekukan berair jernih, menyaksikan air terjun yang memukau dan merapati beribu-ribu busut anai-anai yang tinggi. Jelajahi hutan monsun ke kolam yang dalam di bawah Air Terjun Florence, berkelah di sebelah kelawar buah yang bertenggek di Air Terjun Wangi dan saksikan pemandangan lembah yang luas terbentang di Air Terjun Tolmer. Nikmati pemandangan Timor Sea buat pertama kali apabila anda menyusuri Lebuh Raya Stuart ke arah pusat bandar Darwin. Nikmati cuaca yang nyaman dan wadah tumpuan makanan dan budaya yang banyak terdapat di pesta dan pasar terbuka bandar tersebut. Seterusnya, jelajahi sejarah dramatik daerah tersebut – dari serangan udara Perang Dunia Ke-2 hinggalah ke Cyclone Tracey – di dalam muzium dan galeri.

Lebuh Raya Penjelajah

Lebuh Raya Penjelajah

 

Idea Australia selanjutnya