Kereta Api The Ghan, Australia Selatan

Kereta Api The Ghan, Australia Selatan

Adelaide - Alice Springs – Katherine - Darwin
Perjalanan 3 hari kereta api

Mengembara dari selatan ke utara Australia menerusi perjalanan dengan kereta api yang terhebat di dunia. Mulakan perjalanan dari Adelaide dan saksikan bukit-bukau kehijauan Australia Selatan lama-kelamaan menghilang ditelan gurun yang gersang, Red Centre yang terabai dan akhir sekali keindahan tropika Bahagian Utaranya. Ataupun, anda boleh juga bermula dari Darwin, dan menyaksikan perubahan landskap ini dari utara ke selatan pula. Jelajahi pekan pedalaman Alice Springs dan Katherine yang terkenal ini semasa kereta api berhenti seketika di pekan tersebut. Lawati tapak keramat Orang Asli Australia di sekitar Alice Springs atau ambil penerbangan helikopter untuk menyaksikan Simpsons Gap dari udara. Susuri Gaung Katherine, berkanu menyusuri Katherine River atau buat pilihan dari pengembaraan Ghan yang boleh disesuaikan mengikut kehendak anda.

The Ghan
The Ghan

Hari 1 – Adelaide – Alice Spring

Bermula di Adelaide pada waktu tengah hari
Sesuaikan diri anda di kabin atau beristirehat sambil melihat pinggir Adelaide yang mewah semakin mendatar ke kawasan desa wain, gurun dan belukar. Lalui tepi pantai Coonamia dan Port Augusta. Rentasi Dog Fence, pagar yang terpanjang di dunia dan memecut melintasi Rumah Ladang Cadney yang terletak di pintu masuk Gurun Painted. Lihat perkampungan kecil yang mempunyai landasan kereta api dan kawasan tanah Orang Asli Australia yang luas terbentang, di mana masyarakatnya masih mengusahakan tanah sejak beribu-ribu tahun lamanya. Di sebelah pagi, anda akan merentasi sempadan Wilayah Utara dan meneruskan perjalanan melewati pekan pedalaman yang kecil di Kulgera dan melintasi Finke River yang berpasir. Anda pasti terpaku dengan pemandangan yang berwarna-warni sambil menikmati teh sebelum tiba di Alice Springs.

Red Centre, NT
Red Centre, NT

Hari 2 – Alice Springs – Katherine

Tiba di Alice Springs pada waktu tengah hari
Jelajahi Alice Springs melalui satu daripada banyak lawatan singkat semasa kereta api berhenti. Pelajari mengenai peneroka kawasan pedalaman atau asyikkan diri anda dengan sejarah Orang Aslinya dari pemandu pelancong Pusat Arrernte. Lawati ladang unta yang diusahakan atau lihat burung dan hidupan liar kawasan tersebut di Taman Gurun Alice Springs. Ambil penerbangan helikopter melintasi Simpson’s Gap dan Larapinta Trail atau naiki motosikal beroda empat merentasi gurun. Untuk melihat pemandangan mengikut kehendak anda, ambil bas ulang-alik untuk perjalanan 70 minit dengan perkhidmatan pemandu pelancong yang berpengalaman dan turun di mana sahaja yang anda inginkan di tempat tarikan utama. Naiki semula pada waktu petang dan lihat kereta api bertolak ke Alice sebelum matahari terbenam di kaki langit. Pada waktu pagi yang permai, anda boleh melawati pekan perlombongan emas Tennant Creek dan juga mengunjungi perbandaran peneroka bersejarah Katherine. 

Mataranka, NT
Mataranka, NT

Hari 3 – Katherine ke Darwin

Tiba di Katherine pada waktu pagi
Turun di Katherine sebaik sahaja selepas menikmati sarapan pagi dan terus memilih satu daripada banyak lawatan setengah hari yang tersedia. Anda boleh belayar menyusuri Gaung Katherine melintasi cenuram batu pasir yang mengagumkan atau terbang melintasi gaung yang saling berkait dengan menaiki helikopter. Rebut peluang untuk menghampiri pelbagai jenis burung dan haiwan di Taman Negara Nitmiluk dengan pelayaran alam semula jadi atau berkanu memudiki Katherine River. Jika anda hanya mahu menjelajahi bandar, ambil bas ulang-alik dan turun di tempat tarikan pelancong seperti Muzium Kereta Api, Rumah Ladang Springvale Homestead yang bersejarah dan galeri seni Orang Asli setempat.

Bertolak dari Katherine pada awal tengah hari
Melalui pekan perlombongan emas lama yang terletak di Pine Creek dan Adelaide River, yang pernah menjadi ibu pejabat angkatan tentera Perang Dunia Ke-2 apabila Jepun mengebom Darwin, dan ia menempatkan satu-satunya tanah perkuburan perang Australia di tanah air Australia.

Tiba di Darwin lewat tengah hari
Dataran berdebu digantikan dengan dedaun tropika apabila anda memasuki ibu kota Darwin. Perjalanan Ghan anda berakhir di sini, tetapi anda boleh meneruskan pengembaraan anda di taman, pelabuhan, tarikan bersejarah serta festival dan pasar terbuka yang terdapat di Darwin. Ini juga merupakan pintu masuk ke air terjun dan kolam air berbatu di Taman Negara Litchfield dan komuniti berwarna-warni Kepulauan Tiwi.

 

The Ghan

The Ghan

 

Idea Australia selanjutnya