Denai Heysen, Australia Selatan

Denai Heysen, Australia Selatan

11,200km/50 hingga 60 hari dan pilihan berbilang hari

Mengembara berjalan kaki sepanjang perjalanan dari Tanjung Jervis di Semenanjung Fleurieu ke pekan pergunungan Parachilna melalui Denai Heysen sejauh 1,200 kilometer. Atau buat perjalanan gabung dan padan hari dan berbilang hari, dengan pilihan pinggir pantai yang dramatik, tanah lading dan hutan, pekan yang cantik, lembah yang dibarisi pepohon anggur dan banjaran gunung yang berceranggah. Seperti sekotak coklat yang berkualiti, denai ini memperlihatkan kecantikan pemandangan aneka pohon liar Australia Selatan. Berjalan berhampiran air terjun di Taman Pemuliharaan Deep Creek dan lawati perkampungan Jerman Hahndorf yang bersejarah. Rasai wain di Lembah Barossa yang terkenal di dunia dan lihat tinggalan peneroka di padang ragut di sebelah sana. Teruskan ke Banjaran Flinders, di mana fosil sejak milenia dan seni batu Orang Asli adalah setua Dreaming. Berjalan-jalan melintasi Mt Remarkable dan ke lereng kawah Wilpena Pound purba yang mengagumkan. Tidur di tapak perkhemahan, teratak dan tempat penginapan atau di mana-mana pekan yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.

Fleurieu Peninsula, Denai Heysen
Fleurieu Peninsula

Peringkat 1: Selatan – Semenanjung Fleurieu ke Banjaran Gunung Lofty

Membeluk dari Tanjung Jervis mengelilingi hujung Semenanjung Fleurieu ke Taman Pemuliharaan Deep Creek, di mana cenuram curam menganjur turun ke Southern Ocean. Inilah laluan yang paling mencabar dan memberikan inspirasi. Mengembara berjalan kaki ke Air Terjun Deep Creek, berenang atau bersnorkel dari Pantai Pelabuhan Boat dan berkelah di bawah pokok stringybark yang tinggi menjulang. Berjalan keluar dari taman tersebut dan berjalan-jalan di sepanjang Pantai Tunkalilla yang panjang dan liar, mendaki dan menuruni cenuram dan merentasi serok yang bersinar-sinar. Di Taman Pemuliharaan Newland Head, anda boleh memancing dan meluncur ombak dari Pantai Parsons dan Waitpinga. Perhatikan kanggaru, echidna dan beratus-ratus spesies burung, dari burung ren biru yang kecil hingga ke helang berekor bentuk v yang besar. Saksikan bunga-bunga liar berwarna terang pada musim bunga dan perhatikan ikan paus, anjing laut dan helang laut pada musim sejuk. Berdiri di tapak rata cenuram yang berceranggah dan labuhkan pandangan anda ke Waitpinga Creek, Encounter Bay dan Kangaroo Island. Dari Pantai Kings, Jejak tersebut membelok ke arah utara melalui bukit-bukau simpan, hutan dan tanah ladang. Berhenti sebentar untuk menyaksikan Glacier Rock yang berusia 500 juta tahun di Inman Valley, kemudian teruskan dengan pendakian Taman Pemuliharaan Myponga yang curam dan mencabar. Puncak bukit membentangkan pemandangan sekeliling yang terdiri daripada lembah dan desa di kaki bukit. Lewati pusat makanan yang baik di Mount Compass dan daki ke puncak Mount Magnificent untuk melihat pemandangan yang lebih menakjubkan. Berjalan-jalan meredah hutan pain dan eukalip ke Adelaide Hills di kaki Banjaran Gunung Lofty. Menginap di chalet ala Bavaria dan lihat kediaman artis Sir Hans Heysen di dalam perkampungan Jerman Hahndorf yang bersejarah. Perhatikan beruang koala dan rosella di atas pokok dan berjalan di celah-celah rhododendron dan camellia di taman botani di kaki Mount Lofty.

Barossa Valley, Denai Heysen
Barossa Valley

Peringkat 2: Mid North – Banjaran Mt Lofty ke Banjaran Flinders

Anda akan rasa seperti dalam dongeng pari-pari Hans Christian Andersen sewaktu anda menuruni melalui hutan pain dan eukalip yang redup di Mount Crawford. Ia sering mencatatkan suhu paling sejuk di negeri ini dan pada musim sejuk, daun-daun boleh jadi selimut salji. Bersiar-siar di Taman Pemuliharaan Kaiserstuhl, di mana anda boleh lihat Barossa Valley di utara dan Teluk St Vincent jauh di selatan. Belukar, hutan dan dataran rumput di sini adalah kediaman bagi kanggaru dan sekumpulan burung asal yang garuk bunyinya. Jejak tersebut kemudiannya menghala turun ke jalan utama Tanunda, permulaan hebat untuk menjelajahi 60 tempat simpanan wain di Barossa Valley. Lawati tempat penghasilan wain yang terbaik di dunia dan ikut jejak makan dan wain. Ikuti kelas pakar wain atau lihat tukang tempatan menyudahkan hasil seninya di satu daripada banyak studio yang terdapat di situ. Lihat gereja batu, galeri dan muzium di pekan warisan Gawler dan rasai strudel dari kilang roti Jerman Lyndoch. Kembali ke haluan Jejak, menghala ke Kapunda, pekan perlombongan tembaga yang pertama di Australia Selatan. Jauh ke utara terdapat Burra, di mana anda boleh lawati ”Monster Mine’ dan lihat saki-baki kejuruteraan perlombongan di Market Square. Dari sini, bukit-bukau kehijauan semakin berbalam-balam kelihatan apabila mendekati daerah lembah yang kering dan tinggalan penempatan awal. Lihat bangunan batu terbiar diselaputi bunga di Mt Bryan East Pass dan berjalan merentasi dinding High River sepanjang 65 kilometer yang dibina oleh ahli pastoral pada tahun 1860. Anda juga boleh bersiar-siar di Gaung Tourilie, laluan petani awal ke Murray yang jauh. Berjalan melintasi jambatan landasan kereta api yang disenaraikan sebagai warisan dan memancing trout di Spalding. Kemudian, teruskan perjalanan ke Crystal Brook, di mana cenuram batu pasir menandakan permulaan perjalanan anda ke Banjaran Flinders.

Banjaran Flinders, Denai Heysen
Banjaran Flinders

Peringkat 3: Utara – Banjaran Flinders Selatan ke Gaung Parachlina

Bersiar-siar melalui pekan Melrose yang bersejarah dan mula mendaki Mt Remarkable yang berpemandangan indah. Anggerik dan bunga-bunga liar yang berwarna-warni menghiasi perjalanan anda antara Mac dan November, dan anda dapat lihat mergastua emus, euro, kokabura, corella dan galah sepanjang tahun. Jangan lepaskan peluang untuk ke Gaung Alligator di Taman Negara Mt Remarkable, di mana anda boleh lihat dinding kuarzit purba yang menyerupai kulit buaya. Dari sini, perjalanan singkat membawa anda ke utara pesisir tasik terfosil dan ke selatan melalui ngarai merah bertompok-tompok lumut. Kembali ke Denai, anda akan menapak merentasi Mount Brown, melewati cenerung Stern Dutchman dan melalui Pichi Richi ke pekan Quoran yang bersejarah. Sambung perjalanan anda dengan perkhidmatan kereta api Pichi Richi, yang bersambung terus ke Pelabuhan Augusta. Atau, teruskan berjalan melewati Gaung Warren dan puing Kanyaka Homestead. Jelajahi seni Orang Asli di Gua Yourambulla dan daki Mount Arden untuk menyaksikan pemandangan sekitarnya. Saksikan Gaung Buckaringa sebelum tiba di pusat Penjaja kawasan pedalaman. Dari sini, Jejak tersebut membawa anda ke Wilpena Pound, yang terhasil dari hakisan selama berjuta-juta tahun. Berjalan ke lereng, daki puncak St Marys dan Mt Ohlssen Bagge dan lihat rumah ladang tinggal di dalam kawah yang berceranggah. Lawati Arkaroo Rock yang berdekatan, di mana seni di dindingnya menceritakan kisah penciptaan Orang Asli Adnyamathanha. Kemudian, ikuti Jejak merentasi Banjaran ABC dan Heysen di mana kawasan hutan pain memisahkan pandangan darat kawasan gersang. Melencong ke Gaung Brachina untuk melihat fosil di dasar laut purba, atau teruskan mengikuti denai ke puing stesen lama di Aroona Valley. Ini adalah perhentian terakhir di Taman Negara Banjaran Flinders sebelum Jejak tersebut membelah kawasan gersang dibakar panas matahari ke Kampung Pelancong Angorichina. Anda perlu berehat secukupnya sebelum pendakian sukar ke puncak Gaung Parachilna.

Heysen Trail

Heysen Trail

Masa terbaik untuk berjalan :
Jejak ini ditutup semasa musim bahaya kebakaran dari sekitar 1 November ke 30 April. Perjalanan yang terbaik ialah pada bulan Mei, September dan Oktober apabila hujan turun dengan sedikit.

Bandar raya utama terdekat :
Adelaide

Ketahui lebih lanjut :
Untuk bersedia untuk perjalanan ini, lawati Jabatan Alam Sekitar dan Warisan Australia Selatan

 

Idea Australia selanjutnya