Mengelilingi Tasmania

Mengelilingi Tasmania

Hobart –Freycinet National Park – Launceston – Stanley – Cradle Mountain - Strahan – Hobart
Perjalanan 6 hari dengan kenderaan

Alami sejarah banduan Hobart sebelum menuju ke Taman Negara Freycinet dan lengkungan sempurna Wineglass Bay. Berenang di St Helens dan lakukan Bay of Fires Walk di Taman Negara Gunung William. Lihat melepasi Launceston dari Cataract Gorge dan berbasikal sepanjang kawasan dermaga Devonport. Damaikan jiwa anda di hutan Gunung Cradle yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia – Taman Negara Tasik St Clair. Menginap di Strahan dan susuri Gordon River atau berakit air tawar di Franklin yang mengganas. Berjalan dari air terjun dan hutan paku pakis ke lapangan ski di Taman Negara Mount Field. Dari pantai yang mendamaikan di timur Tasmania hingga ke pergunungan yang berceranggah meliputi bahagian barat, perjalanan ini pasti mempesonakan anda.

Swansea, TAS
Swansea, TAS

Hari 1 - Hobart ke Taman Negara Freycinet

Menyusuri atau berkayak di Derwent River Hobart, bersiar-siar di Pasar Salamanca yang sibuk pada pagi Sabtu dan bersiar-siar melewati gudang batu pasir Sullivan’s Cove kurun ke-19. Buat perjalanan ke utara, lihat pemandangan Teluk Great Oyster dan Maria Island yang memukau sebelum berhenti berdekatan Swansea untuk menikmati jem sediaan segar. Kemudian, menuju ke Taman Negara Freycinet, di mana anda boleh menapak atau berbasikal ke puncak Mount Amos untuk melihat pemandangan ke arah Wineglass Bay, Mount Freycinet dan Mount Graham yang mempesonakan. Belayar melewati burung, paus dan dolfin dan berkayak di laut di bawah cenuram granit merah Banjaran Hazards. Berkhemah di sini atau bermalam di Coles Bay, Bicheno atau Swansea yang berdekatan.

Launceston, TAS
Launceston, TAS

Hari 2 – Taman Negara Freycinet ke Launceston

Berhenti di St Helen untuk berenang, meluncur air dan menikmati hidangan makanan laut yang segar. Kemudian, menghala ke Taman Negara Mount William yang berceranggah, di mana Bay of Fires Walk membawa anda melewati pantai berbatu tongkol, tumbuh-tumbuhan yang unik, haiwan asal dan longgok tinggalan Orang Asli purba. Lintasi pekan perlombongan timah Derby dan lembu Scottsdale yang gemuk-gemuk belaka sebelum tiba di Launceston. Nikmati pemandangan bandar yang memukau dari Cataract Gorge, di mana anda boleh menyeberangi jambatan gantung yang merentangi sungai atau naiki kereta kabel kerusi angkat tunggal terpanjang di dunia. Selepas itu, rasai wain cuaca sejuk dalam lawatan ke Tamar Valley dan manjakan diri anda di spa setempat.

Devonport, TAS
Devonport, TAS

Hari 3 - Launceston ke Stanley

Tinjau galeri seni dan kraf di Deloraine yang bersejarah, mural di Sheffield dan kedai antik di Latrobe. Tiba di Devonport, di mana kapal Spirit of Tasmania adalah pandangan biasa di sana. Menapak atau berbasikal di sepanjang dermaga, meluncur di The Bluff dan berdayung perahu atau belayar di Mersey River. Jangan terlepas peluang melawati Taman Negara Narawntapu, di mana kanggaru, walabi, wombat dan pademelon bermain dengan aman di atas rumput. Susuri liku-liku permata pantai Ulverstone, Burnie dan Wynyard yang dipenuhi tulip. Berhenti sejenak di Stanley, perkampungan nelayan yang dikelilingi singkapan gunung berapi yang dikenali sebagai ‘The Nut’. Saksikan anjing laut dan penguin di sekitar pelabuhan dan berjalan atau naiki kereta kabel ke puncak tanjung tinggi untuk melihat sendiri pantai yang dihempas ombak.

Cradle Mountain, TAS
Cradle Mountain, TAS

Hari 4 – Stanley ke Cradle Mountain

Damaikan jiwa anda di hutan Gunung Cradle yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia – Taman Negara Tasik St Clair. Daki Cradle Mountain, berjalan-jalan di sekitar air Dove Lake yang jernih berkilau atau ikut denai Overland Track sepanjang 65 kilometer yang terkenal ini langsung ke St Clair Lake. Terbang melintasi taman, sertai mempas dan beri makan walabi, wombat dan possum dalam lawatan hidupan liar pada waktu malam. Bermalam di kabin yang ringkas, atau hanya di rumah persinggahan gunung yang tidak jauh di luar taman.

Gordon River, TAS
Gordon River, TAS

Hari 5 – Cradle Mountain ke Strahan

Susuri turun melalui jalan yang mempunyai lebih daripada 90 selekoh ke Queenstown, yang pernah merupakan lombong emas dan tembaga yang paling kaya di dunia, atau tiba melalui landasan keretapi rak dan pinan melintasi pemandangan yang mengasyikkan. Jelajahi bekas pekan perlombongan perak Zeehan sebelum berpatah balik ke Strahan, pintu masuk ke ‘wild west’ Tasmania yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia. Susuri Gordon River yang hebat atau berakit air tawar di Franklin River di Taman Negara Franklin-Gordon Wild Rivers. Kembali ke Strahan, anda boleh berkayak di Pelabuhan Macquarie, berjalan meredah angin di Ocean Beach dan jelajahi hutan pokok pain dan mirtel dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Terbang melintasi hutan Huon purba dengan menaiki pesawat laut atau bersantai sambil menikmati makanan dan wain.

Russell Falls, TAS
Russell Falls, TAS

Hari 6 - Strahan ke Hobart

Buat perjalanan darat merentasi Lebuh Raya Lyell, kembali menerusi tengah kawasan hutan Tasmania yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia. Berhenti melepaskan lelah seketika di Tarraleah, sebuah pekan hidroelektrik lama, di mana platypus, quoll, walabi, wombat, Tasmanian devil dan echidna berkeliaran di jalan. Buat lawatan singkat ke Taman Negara Mount Field, di mana anda boleh meredah belukar melalui hutan paku-pakis yang subur menghijau ke Air Terjun Russle dan Air Terjun Lady Barron yang menakjubkan. Anda boleh meluncur meredah lapisan salji di penara dataran tinggi. Sebelum anda tiba di Hobart, tinjau medan perkampungan klasik dan kedai antik New Norfolk.

Mengelilingi Tasmania

Mengelilingi Tasmania

 

Idea Australia selanjutnya