Mencari Kedamaian di Pantai Timur, Tasmania

Mencari Kedamaian di Pantai Timur, Tasmania

Hobart – Maria Island National Park - Orford - Swansea - Freycinet National Park - St Helens - Bay of Fires
Perjalanan 5 hari dengan kenderaan

Asyikkan diri anda dengan kecantikan pantai timur Tasmania dengan perjalanan yang menarik ini. Berkayak di laut dan kenali sejarah silam Maria Island, rasai beri segar, minum wain berdekatan Swansea dan nikmati kecantikan sempurna Wineglass Bay di Freycinet National Park. Berhenti di Bacheno dan hayati aktiviti luar yang ditawarkan dengan bermain golf atau melihat penguin kecil terkedek-kedek pulang ke rumahnya pada waktu senja. Kembara belukar di hutan hujan Douglas-Apsley National Park dan memancing secara santai atau menyelam di pelabuhan St Helens yang cantik. Berenang di air yang tenang lagi jernih di Binnalong Bay dan ikuti laluan Bay of Fires untuk melepasi peninggalan Orang Asli, hutan kayu dan pantai yang putih sekali. Akhiri perjalanan anda di rumah persinggahan eko terpencil yang mempunyai pemandangan laut yang memikat jiwa.

Painted Cliffs, TAS
Painted Cliffs, TAS

Hari 1 – Hobart ke Orford melalui Taman Negara Maria Island

Ucapkan selamat tinggal kepada Hobart dan teruskan perjalanan melewati Sorrell ke Triabunna, di mana terdapat feri bertolak ke Maria Island. Dengan tiadanya kedai atau kereta, pulau ini sesuai untuk meredah belukar dengan tenang dan menjadi tempat perlindungan hidupan liar. Daki ke puncak cenuram Bishop dan Clark yang mencabar atau menapak ke Cenuram Painted dan Cenuram Fossil, yang penuh dengan endapan haiwan laut yang berusia lebih daripada 300 juta tahun. Kunjungi Bloodstone Point, di mana puak Orang Asli Teluk Oyster mengumpul batu untuk membuat pewarna rambut. Kemudian, jangan lepaskan peluang untuk bersiar-siar di penempatan banduan di Darlington dan ketahui tentang usahawan Itali yang gagal mengubah bangunan batu bata mereka kepada hotel gaya resort. Anda boleh lihat pokok anggur dan pokok ulat sutera yang ditinggalkannya lebih daripada 200 tahun dahulu. Bermalam di sini di Penitentiary lama, di satu daripada tapak perkhemahan yang banyak terdapat di seluruh pulau atau kembali ke Triabunna atau Orford untuk bermalam.

Freycinet Peninsula, TAS
Freycinet Peninsula, TAS

Hari 2 – Orford ke Swansea

Nikmati pemandangan yang indah dari Three Thumbs Reserve dalam Hutan Wielangta atau berjalan antara pantai Shelley dan Spring. Kemudian, susuri satu daripada bentangan pantai yang paling menarik di negara ini ke arah pantai yang putih dan cenuram granit merah jambu dan kelabu Semenanjung Freycinet. Lawati ladang beri, ladang anggur butik dan Pusat Wine and Wool di Swansea dan kawasan sekitarnya. Kemudian, berjalan sambil mengimbau kenangan silam warisan atau lawati Spiky Bridge aneh yang dibina banduan tidak jauh dari pekan. Berenang, meluncur, menyelam dan memancing dari Hutan Simpan Pinggir Laut Mayfield Bay dan menapak ke tempat peninjau untuk menyaksikan pesisir pantai yang indah. Lihat koloni mutton bird (sejenis burung) dan lawati tanah lembap Moulting Lagoon, di mana anda boleh lihat angsa hitam, burung undan, pied oyster catcher sebaik bangun dari tidur.

Wineglass Bay, TAS
Wineglass Bay, TAS

Hari 3 – Swansea ke Taman Negara Freycinet

Ambillah gambar Wineglass Bay yang begitu sempurna pemandangannya dengan kamera anda. Berenang, menaiki bot, memancing, bersnorkel dan menyelam skuba di pantai putih yang bersih. Naiki kenderaan pacuan empat roda ke Rumah Api Cape Tourville yang mana pemandangannya pasti membuat anda gayat. Meluncur air dari Friendly Beaches dan berkayak seiringan dengan ikan lumba-lumba di Teluk Honeymoon. Kembara belukar melepasi peninggalan Aborigin dan pelajari tentang peneroka Perancis yang pertama menemui syurga ini. Pada penghujung hari, bersantai di rumah persinggahan yang menghadap Great Oyster Bay dengan hidangan makanan laut segar dan wain hasil buatan pokok anggur tempatan.

St Helens, TAS
St Helens, TAS

Hari 4 – Taman Negara Freycinet ke St Helens

Pandu ke utara ke pelabuhan lindung Bicheno, tempat anda boleh berkayak di laut, menyelam, bersnorkel atau terjun dari bot berdasar kaca. Menapak ke Rocking Rock dan Bicheno Blowhole atau jelajahi kawasan tersebut dengan basikal roda tiga bermotor atau lawatan wain yang bagus sekali. Saksikan kawanan penguin pada waktu senja dan lihat Tasmanian devil, kanggaru dan burung undan di taman hidupan liar tempatan. Kembali meneruskan perjalanan, kemudian berhenti untuk berenang di Apsley River Waterhole atau meredah belukar di Taman Negara Douglas-Apsley. Susuri jalan yang berpemandangan cantik ke Chain of Lagoons yang berkilauan dan berhenti seketika di Elephant Pass untuk menikmati sajian penkek gaya Eropah yang menjadi kebanggaan pekan tersebut. Di St Mary, daki ke puncak St Patrick’s Head atau South Sister Peak yang lebih mudah dicapai, dan dari situ anda boleh melayangkan pandangan ke tompokan hutan dan pantai yang kelihatan umpama dongeng si pari-pari. Setelah seharian berjalan, lepaskan lelah anda di perkampungan nelayan St Helens yang memukau jiwa.

Bay of Fires, TAS
Bay of Fires, TAS

Hari 5 – St Helens ke Bay of Fires

Ketahui tentang puak orang asli Teluk Georges, dan pemburu ikan paus, pelayar dan pelombong timah China yang menjadi sebahagian sejarah kawasan itu di Bilik Sejarah St Helens. Lawati rumah Fair Lee yang bersejarah, tangkap bream (sejenis ikan) di Scamander River dan berenang sekitar Georges Bay. Seterusnya, berhenti di pekan resort Binalong Bay. Susuri sepanjang pantai yang putih bersih dan jangan ketinggalan untuk meluncur, berenang dan memancing di laut yang kehijauan. Di Bay of Fires yang berdekatan, anda boleh lakukan lawatan dua hari melewati pantai yang lengang, longgok tinggalan Orang Asli dan batu tongkol yang bersalut kulampair. Bermalam dalam khemah di gumuk pasir dan lawati Rumah Api Eddystone sebelum tiba di tempat persinggahan eko yang terpencil dengan pemandangan lautan yang memikat jiwa. Tamatkan perjalanan anda dengan bersantai di geladak yang luas atau berkayak menyusuri Ansons River.

Mencari Kedamaian di Pantai Timur

Mencari Kedamaian di Pantai Timur

 

Idea Australia selanjutnya