Laluan Darat, Tasmania

Laluan Darat, Tasmania

65km/6 hari/perjalanan kaki singkat dan sepanjang hari

Buat perjalanan melintasi tengah hutan yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia di Tasmania, di laluan sejauh 65 kilometer yang terkenal ini dari Cradle Mountain ke Lake St Clair. Lawati keseluruhan Laluan Darat dalam masa enam hari atau lakukan perjalanan balik hari yang singkat dari Pusat Pelawat Cradle Mountain dan Dove Lake. Ingat bahawa perjalanan hujung ke hujung memerlukan perancangan rapi. Anda perlu menempah terlebih dahulu dengan Perkhidmatan Taman & Hidupan Liar Tasmania dan bawa bersama anda khemah yang elok dan beg tidur yang nyaman. Walaupun laluan tersebut mempunyai lapan teratak asas yang mempunyai alat pemanas, masih belum terjamin yang ia tidak ditempah sepenuhnya. Waktu yang terbaik untuk melalui runut tersebut ialah antara November dan April, apabila cuaca agak sederhana dan waktu siang lebih panjang untuk Jimat Waktu Siang (Daylight Savings). Pada bulan April, anda boleh lihat perubahan warna pokok bic yang menarik ketika daunnya mula luruh. Selain mencabar dari segi fizikal, laluan ini juga benar-benar menenggelamkan anda dalam kekayaan alam semula jadi. Anda boleh lihat tasik, hutan dan gaung, gunung dan mur, air terjun yang cantik dan puncak berbatu-batu yang curam.

Crater Falls, Laluan Darat
Crater Falls, TAS

Hari 1: Tempat letak kereta Ronny Creek ke Waterfall Valley

Hari pertama adalah pengembaraan berjalan kaki sejauh 10km ke puncak Cradle Mountain yang indah berceracak, namun sukar didaki. Mulakan perjalanan di Ronny Creek dan mendaki sedikit curam melewati Air Terjun Crater dan Crater Lake ke tempat Peninjau Marions. Ataupun, laluan melewati Runut Kuda ke Puncak Crater sesuai untuk pendakian yang lebih mudah. Anda juga boleh mula berjalan di Dove Lake dan mengikuti liku-liku ke atas melewati Lilla Lake dan Wombat Pool ke tempat Peninjau Marions. Ia merupakan tempat yang sesuai sekali untuk bertapak dan melabuhkan pandangan ke air Dove Lake yang tenang bak cermin. Teruskan perjalanan sepanjang penara Cradle Mountain dan merangkak memanjat batuan dolerit ke puncak setinggi 1,500 meter. Berjalan-jalan di sekitar sirk glasier, dan dari situ anda boleh melencong ke kanan untuk menjelajahi Barn Bluff yang berceranggah. Menapak turun melalui tanah tinggi, memerhati walabi dan posum di atas pokok, dataran rumput butang dan padang rumput herba. Akhiri hari anda di Waterfall Valley yang berpemaidani lumut di Teratak Barn Bluff yang ringkas namun selesa atau lelapkan mata di bawah khemah kanvas di salah sebuah tapak perkhemahan yang banyak terdapat di situ.

Waterfall Valley, Laluan Darat
Waterfall Valley, TAS

Hari 2: Waterfall Valley ke Lake Windermere

Pagi anda disegarkan oleh udara gunung yang bersih dan kicauan burung asal yang sibuk mencari makan seperti karrowong dan wattle berdada kuning. Perjalanan 8km ini mengambil kira-kira tiga jam, cukup untuk anda menikmati keindahan alam sekeliling. Dari Waterfall Valley, denai menuju ke selatan merentasi dataran sendayan mur yang dihiasi tompokan belukar pandani, pokok kayu putih dan pain pensel, yang ada antaranya sudah berusia sehingga 1,000 tahun. Berhenti menjamu selera sambil menikmati keindahan Lake Will, kemudian bersiar-siar di Air Terjun Innes di hujung tasik sebelah selatan. Melencong dari Lake Holmes dan menuju merentasi dataran rumput butang ke Lake Windermere yang berwarna jernih bak air teh. Selepas menyegarkan badan dengan berenang di tasik, anda boleh berjalan ke peninjau Forth Valley untuk menyegarkan mata melihat Hutan Lemonthyme yang hijau semerbak. Lelapkan mata untuk melepaskan lelah anda di Teratak Windermere. Lihat langit yang ditaburi bintang bersinar dan dengari posum yang noktunal namun pemalu berlari melompat-lompat.

Lake Windermere, TAS
Lake Windermere, TAS

Hari 3: Lake Windermere ke Pelion Plains

Bersedia untuk berjalan kaki sejauh 17km merentasi kawasan mur dan pergunungan. Berhenti di Peninjau Forth River untuk menikmati pemandangan lembah glasier sungai tersebut dan hutan eukalip yang luas di sekitarnya. Dari Pine Forest Moor, laluan berliku-liku melewati hutan dilitupi lumut yang berbonggol-bonggol, di bawah batu anjur Mt Pelion West. Nikmati makan tengah hari di Frog Flat, di bawah puncak tinggi dolerit gunung. Di sini, air dari hulu Forth River melata turun ke Lemonthyme Valley. Perjalanan anda menghilir sungai melewati hutan pokok renek leatherwood, sassafras dan hutan hujan mirtel, kemudian melintasi dataran rumput alp menuju ke Dataran Pelion. Bahagian laluan ini mengikuti denai kuda tahun 1898 yang dibina untuk membawa pelombong dari pekan di timur ke lombong di West Coast. Kagumi Mount Oakleigh yang berjejalur dan wombat bersaiz besar meragut rumput. Kemudian, bermalam di Teratak Pelion yang dibina baru-baru ini.

Teratak Pelion Hut
Teratak Pelion, TAS

Hari 4: Pelion Plains ke Kia Ora

Renung jauh merentasi tanah gersang South-West yang luas terbentang sebelum memulakan perjalanan sejauh 9km melewati Pelion Gap ke Teratak Kia Ora. Teruskan perjalanan merentasi hutan hijau zamrud menuju ke lereng yang mempunyai deretan eukalip, dan langsung ke kawasan cerang. Dari sini, anda boleh lihat Cathedral Mountain, dengan Pelion East dan Mount Ossa mencuar tinggi di kiri kanan anda. Pendaki yang cukup berpengalaman pasti dapat melengkapkan perjalanan tiga jam pergi dan balik dari mendaki Mount Ossa, puncak tertinggi di Tasmania. Puncak ini merupakan pentas tontonan utama untuk bahagian selatan Cradle Mountain – Kawasan Warisan Dunia Lake St Clair. Bergerak turun ke Pinestone Valley melewati hamparan tumbuh-tumbuhan, pain purba dan scoparia. Mendaki ke rabung kecil ke Teratak Kia Ora, yang terletak elok di kaki Cathedral Mountain.

Laluan Darat, TAS
Laluan Darat, TAS

Hari 5: Teratak Kia Ora ke Windy Ridge

Perjalanan 10km hari ini akan berlangsung selama empat jam, yang disertai dengan lencongan dari laluan yang berpemandangan indah. Lawati Leatherwood Garden dan teratak Du Cane, yang pernah didiami oleh pemerangkap Paddy Hartnett dan isterinya. Jelajahi sekitar hutan Leatherwood, yang dilitupi bunga putih bersaiz besar pada lewat musim bunga dan musim panas. Lalui liku-liku ke arah selatan sepanjang Mersey River, berhenti untuk menjelajahi tiga air terjun terbesar dan paling hebat di Tasmania: Fergusson, D'Alton dan Hartnett. Air Terjun Ferguson dinamai sedemikian sempena nama bekas renjer di Lake St. Clair, manakala Hartnett juga diberi nama sebegitu sebagai penghormatan kepada Paddy Hartnett - bushman berkelakuan aneh yang memakai topi pembaling. Lalu melintasi Du Cane Gap dan teruskan perjalanan melalui hutan mirtel yang tebal, sebelum tiba di glasier berbentuk U Banjaran Windy. Batu tongkol besar di pintu masuknya beralih perlahan-lahan ke bawah lembah semasa era ais besar yang lepas. Setelah tamat pengembaraan berjalan kaki sejauh 10km hari ini, dirikan khemah untuk melelapkan mata atau bermalam di teratak Windy Ridge.

Laluan Darat, TAS
Laluan Darat, TAS

Hari 6: Windy Ridge ke Lake St. Clair

Bersedia untuk perjalanan terakhir sejauh 18km anda, serta sebarang perjalanan sampingan yang anda mahu lakukan pada minit-minit terakhir. Buat perjalanan melintasi hutan eukalip yang luas terbentang dan tompokan berumput Bowling Green, yang dari situ anda boleh lihat puncak Mount Acropolis. Teruskan ke selatan menuju ke Pine Valley yang cantik, di bawah Banjaran Du Cane yang diselubungi kabus. Selepas melintasi jambatan, anda akan sampai ke Cephissus Creek yang terletak dalam hutan hujan yang subur menghijau. Dari sini, anda boleh mendaki ke puncak Mount Acropolis yang memaparkan pemandangan Labyrinth dan tasik-tasiknya yang menarik. Atau, teruskan perjalanan ke selatan, melewati hutan sklerofil yang kering dan dataran rumput butang luas terbentang ke Teratak Narcissus di Lake St Clair. Dari sini, perjalanan anda diakhiri dengan pelayaran bot di tasik semula jadi paling dalam di hemisfera selatan. Berpatah balik dari laluan, toleh ke belakang dan kagumi keindahan gunung yang anda pernah lalui, yang kelihatan seolah-olah tidak boleh ditakluki.

Overland Track

Overland Track

Masa terbaik untuk berjalan :
Dari November ke April apabila hari lebih panas dan panjang.

Bandar raya utama terdekat :
Launceston dan Devonport

Ketahui lebih lanjut :
Untuk bersedia untuk perjalanan ini, lawati
Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania

 

Idea Australia selanjutnya