Jalan Great Alpine, Victoria

Jalan Great Alpine, Victoria

Melbourne - Wangaratta – Bright  - Omeo – Bairnsdale
Perjalanan 3 hari dengan kenderaan

Mulakan perjalanan dari Melbourne melalui Alps Australia ke tasik, pantai dan taman negara Gippsland. Singgah di Milawa untuk menikmati keju dan di Rutherglen untuk menikmati wain. Tunggang kuda dan berbasikal lasak di Taman Negara Mount Buffalo. Selami sejarah kerubut emas dan legenda Ned Kelly di Glenrowan dan Beechworth. Bermain ski di atas Mount Hotham atau berjalan di celah-celah bunga-bunga liar musim bunga di Dataran Tinggi Bogong. Berkanu menyusuri Mitchell River dan berenang, memancing serta meluncur ombak di Pantai Ninety-Mile. Di jalan berturap tertinggi yang boleh dilalui di Australia, anda boleh menikmati hasil yang segar dan memancing, berbasikal, bermain ski, mendaki atau menunggang ke sana.

King Valley, VIC
King Valley, VIC

Hari 1 – Melbourne ke Bright

Mulakan perjalanan ke utara sepanjang Hume Freeway ke Wangaratta, yang terkenal dengan sejarahnya, layanan baik dan pesta jaz yang popular. Berhampiran tempat itu, anda berpeluang mencari gali emas di Eldorado, mempelajari tentang legenda Ned Kelly di Glenrowan dan menikmati wain dan makanan terbaik di Lembah King. Singgah di Milawa untuk menjamu selera dengan mustard dan keju dan di Rutherglen untuk menikmati wain. Lebih jauh lagi, di pekan kerubut emas Beechworth yang bersejarah, anda boleh makan tengah hari di kafe yang terbaik dan melihat bangunan mahkamah granit kuning madu, tempat di mana renjer belukar Ned Kelly dibicarakan. Terokai air terjun, singkapan granit dan saksikan pergunungan Alps yang sayup mata memandang di Taman Negara Mount Buffalo, serta tempat yang hebat untuk memanjat batu, meluncur gantung, menunggang kuda dan berbasikal. Kemudian, bermalam di pekan Bright yang menawan di Ovens River. Pada musim luruh, daun-daun luruh dari pohon elm, berangan dan oak merah menyelubungi pekan dalam warna bersemarak yang hebat.

Mitta Mitta River, VIC
Mitta Mitta River, VIC

Hari 2 – Bright ke Omeo

Lalui perjalanan naik menerusi kawasan semak heath, debu alp dan hutan gam salji tanah tinggi Victoria ke tempat peranginan ski Mount Hotham. Beranikan diri menuruni bukit dan rintisan ski merentas desa pada musim sejuk serta mendaki ke pondok pergunungan bersejarah dan puncak gunung pada musim panas. Dari Stesen Peninjau Danny di Mount Feathertop, anda akan nikmati pemandangan Taman Negara Alp yang terbentang luas. Menginap di chalet di bawah pokok gam salji di desa alp Dinner Plain yang cantik. Atau menunggang kuda atau berbasikal lasak merentasi sungai, lembah, rabung dan gunung yang mengelilingi tanah tinggi. Lebih jauh sedikit, anda akan tiba di Omeo, pekan pergunungan peneroka, di mana bangunan bersejarah termasuk mahkamah, pejabat pos, kedai tukang besi dan penjara kayu balak yang dibina pada tahun 1858. Dari sini anda boleh pergi memancing ikan trout atau berakit air tawar di Mitta Mitta River. Pandu kenderaan pacuan empat roda sejauh 17 kilometer merentasi Knocker Track dan berjalan di celah-celah bunga-bunga liar musim bunga di Dataran Tinggi Bogong.

Gippsland Lakes, VIC
Gippsland Lakes, VIC

Hari 3 – Omeo ke Bairnsdale

Bairndale terletak di tebing Mitchell River di pintu masuk ke Gippsland Lakes. Dari sini, anda boleh berkanu atau berakit menyusuri Mitchell River dan meneroka jeti berkelodak Mitchell River yang mencecah lapan kilometer ke dalam Lake King. Terokai perkampungan desa percutian pinggir pantai dan berenang, memancing serta meluncur ombak di Pantai Ninety Mile yang luas terbentang. Meluncur air di Taman Negara Lakes dan lihat dolfin bermain-main berdekatan Paynesville. Naiki feri ke Raymond Island dan lihat koala, unggas dan anggerik serta bunga-bunga liar yang tidak terhingga banyaknya. Susuri Trek Pejalan Kaki Mitchell River ke Den Nargun, gua dangkal di bawah air terjun kecil di Woolshed Creek yang dikisahkan dalam legenda Orang Asli setempat.

Jalan Great Alpine

Great Alpine Way

 

Idea Australia selanjutnya