Wilsons Promontory, Victoria

Wilsons Promontory, Victoria

Perjalanan merentas hari

Berjalan ialah cara terbaik menjelajahi kawasan perlindungan semulajadi Wilsons Promontory. Dikenali sebagai ‘The Proms’ kepada penduduk tempatan, ia meliputi 50,000 hektar kawasan liar di hujung Australia yang paling selatan. Pelbagai laluan yang ditanda dengan baik merentasi pantai yang kosong dan hutan eucalyptus, kawasan semak dan paya, galur hutan hujan yang sejuk dan puncak gunung yang berbatu. Pilih laluan yang pendek dan mempunyai pemandangan cantik, seperti Loo-Erm Track yang sesuai untuk keluarga dan yang kurang upaya. Lakukan trek seharian ke rumah api atau luangkan tiga hari di Promontory Circuit Trail yang bermula dari kawasan tumpuan pelancong utama Tidal River. Daki Mount Oberon atau mengembara berjalan kaki ke Millers Landing yang cantik dan terpencil. Tinggal di kawasan perkhemahan di seluruh taman dan kenali kepelbagaian hebat tumbuhan, burung dan haiwan asal di taman ini dengan lebih dekat. Anda juga boleh menyelam dan bersnorkel dengan hidupan laut yang menakjubkan di perairan luar pesisir yang jernih dan terlindung.

Wilsons Promontory Circuit Trail

44 km / 3 hari / perjalanan pendek

Tidal River, VIC
Tidal River, VIC

Hari 1: Tidal River ke Refuge Cove

Biarkan sempadan anda dengan alam semulajadi menjadi kabur di laluan tiga hari yang ajaib ini. Mulakan dengan bermandi-manda di pantai mesra keluarga Tidal River, kemudian menuju ke timur atas laluan yang kering dan berkelikir menuju Windy Saddle. Nikmati pemandangan atau berhenti untuk berkelah di atas kawasan laman yang dibersihkan dengan teliti oleh haiwan meragut. Lanskap menjadi lebih basah dan hijau di belah bukit yang bertentangan. Anda akan rasa teruja sambil anda menuruni galur yang redup dengan paku pakis dan merentasi kawasan paya luas yang dilengkapi pelantar laluan. Sealers Cove kebanyakannya terlindung dari pandangan oleh puncak berbatu dan pokok eucalypt yang tinggi jadi ia seakan pendedahan kecil apabila anda muncul di sini. Berkhemah di sini semalaman atau berjalan lebih sedikit mengelilingi pantai ke Refuge Cove yang aman.

Wilson's Promontory, VIC
Wilson's Promontory, VIC

Hari 2: Refuge Cove ke Little Waterloo Bay

Mulakan pagi anda dengan berenang atau bersnorkel di perairan Refuge Bay yang tenang dan terlindung. Kemudian mendaki ke atas Kersop Peak untuk pemandangan mengusik jiwa, pinggir laut yang tidak dihuni. Pada musim sejuk anda mungkin ternampak ikan paus berenang dengan agung. Perbualan anda dengan alam semulajadi akan semakin rancak sambil anda berjalan melalui hutan oak dan banksia ke Waterloo Bay dan kemudian melintasi pasir lembut ke Little Waterloo Bay. Pergi berkayak atau dirikan khemah di belakang gumuk pasir dan dekat caruk dengan air yang sejernih kristal. Pilihan alternatif, anda juga boleh mengikuti Lighthouse Track sepanjang 7.6km merentasi kawasan berkayu yang beralun ke rumah api Wilsons Promontory. Tinggal di dalam salah satu dari tiga pondok di sini dan bangun kepada pemandangan merentasi pantai yang memberangsangkan. Hanya boleh dilawati dengan berjalan kaki atau dengan bot, anda akan tersadai dengan gembiranya di bahagian kecil syurga yang terpencil ini.

Wilson's Promontory, VIC
Wilson's Promontory, VIC

Hari 3: Little Waterloo Bay ke Tidal River

Rentasi gumuk pasir dan belukar tepi laut Oberon Bay dan berhenti untuk mendaki singkapan berbatu Mt Oberon. Ini tempat yang hebat untuk menyimpan pemandangan matahari terbenam yang hebat sekali di dalam ingatan anda atau kad memori. Sambil anda berjalan balik ke Tidal River, lihat batu tongkol gergasi sepanjang gigi air. Unsur-unsur alam telah membentuknya untuk beribu tahun menjadi arca menarik yang bertukar warna dengan perubahan cahaya. Dilindungi di bawah undang-undang Taman Negara sejak 1898, Tidal River tidak mempunyai spesies ikan atau rumpai akuatik asing dan merupakan kediaman kepada hampir separuh daripada 40 jenis spesies ikan yang diketahui di Victoria. Habiskan malam di kawasan perkhemahan Tidal River di mana anda boleh mendirikan khemah atau tinggal di dalam karavan atau kabin mesra alam.

Perjalanan pendek

Wilson's Promontory, VIC
Wilson's Promontory, VIC

Loo-Errn Track ke Tidal River ke Squeaky Beach

Menyusuri tebing Tidal River ke Squeaky Beach, perjalanan 30 minit yang mudah ini sesuai untuk orang dengan mobiliti terhad. Mulakan di pusat keterangan Tidal River dan berjalan atas pelantar laluan merentasi hutan paya paperbark dan tanah lembap yang halus ke sungai. Berjalan di atas jambatan jalan kaki di mana anda boleh memancing atau memerhati burung. Ambil lencongan pendek ke Pillar Point di mana kawasan tinjauan menawarkan pemandangan mengagumkan merentasi Normal Bay dan pulau pulau. Balik ke laluan utama, berenang sekejap di Squeaky Beach di mana kaki anda membuat lagu berkeriut di atas pasir kuartza putih.

Mt Oberon Nature Walk, VIC
Mt Oberon Nature Walk, VIC

Perjalanan Semula Jadi Mt Oberon

Lihat tumbuh-tumbuhan berubah sepanjang pendakian yang tidak ketara tetapi tetap ke puncak Mt Oberon dengan masa pendakian dua jam pergi balik. Bermula di kawasan letak kereta Mt Oberon dan ikut siri pendek anak tangga ke singkapan berbatu di puncak gunung. Selepas mendaki untuk sejam – dan 3.4km – anda akan mendapat ganjaran pemandangan panoramik merentasi Tidal River, pantai dan pulau-pulau di persisiran Prom. Berhati-hati dengan cenuram yang tidak dilindungi dan bawa bersama pakaian panas kerana puncak boleh menjadi sejuk dan berangin walaupun pada musim panas.

Lilly Pilly Gully Circuit, VIC
Lilly Pilly Gully Circuit, VIC

Lilly Pilly Gully Circuit

Ketahui kepelbagaian tumbuh-tumbuhan di Prom dan burung-burung berwarna warni serta haiwan sepanjang lingkaran 6km ini, yang mengambil masa dua hingga tiga jam untuk selesai. Bermula di Lilly Pilly Car Park dan ikut jambatan jalan kaki merentasi Tidal River, menikmati pemandangan hebat sungai dan Norman Beach. Laluan bertemu dengan Lilly Pilly Gully Nature Walk, melalui hutan eucalypt, kawasan semak heath tepi lautan dan hutan hujan beriklim sederhana. Cari tempat terbaik untuk melihat koala dan udang krai di rumah mereka. Likat kanggaru, walabi dan emu meragut dengan aman di kawasan lapang dan wombat berlari melintasi laluan anda. Di kawasan berkelah yang cantik di pertengahan, burung kakak tua dan burung camar menunggu untuk menghabiskan lebihan makanan anda. Perhatikan pertunjukan musim bunga yang berwarna warni sepanjang kawasan semak tepi laut. Ambil laluan tinggi balik ke kawasan letak kereta melalui hutan pokok stringy-bark yang tinggi.

Wilson's Promontory, VIC
Wilson's Promontory, VIC

South Norman Bay dan Little Oberon Bay

Mulakan perjalanan yang mengambil masa tiga jam pergi balik dari Pusat Informasi di Tidal River. Mendaki gumuk pasir dipenuhi pokok teh yang bertunas ke hujung selatan Norman Beach, tempat yang hebat untuk berenang, belajar bermain luncur air, bermain luncur air dan berperahu. Dari sini, ianya pendakian yang senang mengelilingi tepi Norman Point ke Little Oberon Bay untuk pemandangan merentasi Glennie Group of Islands dan Anser di Bass Strait. Lihat rupa bentuk berceracak Cleft Island yang juga dikenali sebagai Skull Rock.

Wilson's Promontory, VIC
Wilson's Promontory, VIC

Millers Landing-Vereker Outlook Trail

Perjalanan pergi balik selama 3 jam membawa anda ke Millers Landing yang terpencil di hujung selatan Yanakie Isthmus merentasi kawasan hutan, hutan terbuka dan kawasan semak heath yang berwarna-warni. Sesuaikan diri berkongsi laluan anda dengan emu, kanggaru, walabi serta burung kakak tua hitam berekor kuning, burung honeyeaters, ren dan burung robin. Jelajahi pantai Corner Inlet, di mana anda akan melihat kawasan paya bakau yang paling selatan di dunia dan pelbagai jenis burung air. Lihat peninggalan pondok lembu yang berkurun lamanya sebelum mendaki melalui pokok banksia dan eucalypt ke Lookout Rock dan Vereker Outlook. Nikmati pemandangan yang boleh memasuki pertandingan fotografi merentasi Cornet Inlet, Darby Swamp dan gumuk pasir Waratah Bay yang jauh. Kemudian lakukan perjalanan pulang sepanjang Five Mile Road.

Tongue Point, VIC
Tongue Point, VIC

Tongue Point

Bermula di Darby Saddle dan ikut perjalanan pergi balik selama 5 jam yang cantik; berjalan melalui hutan terbuka messmate, banksia dan she-oak. Ia cara yang baik untuk meneruskan ke bahagian seterusnya, di mana anda naik ke atas rabung berbatu dan ke atas Sparkes Lookout. Berehat dan hidratkan semula diri di sini, sambil anda melihat sepanjang pantai yang kelihatan sampai ke Cape Liptrap yang jauh di utara. Atau jalan lebih sedikit ke Lookout Rocks, di mana pemandangan yang sama hebat merangkumi pulau-pulau dan hujung Tounge Point jauh di bawah. Tingkatkan semangat pengembaraan anda sambil anda berjalan melalui pokok teh, melepasi singkapan berbatu dan sepanjang kawasan semak heath yang berangin. Laluan ini membawa anda betul-betul ke hujung semenanjung yang berangin, di mana ombak menghempas batuan berwarna oren terang di bawah. Pusing kembali ke Tongue Point melalui pantai Fairy Cove yang kecil dan terpencil. Cerun berhutan jatuh bawah ke laut yang berkilauan di mana batu tongkol tersepah seperti jeti sementara. Nikmati pemandangan sebelum berjalan naik bukit balik ke kawasan letak kereta.

Perjalanan Wilsons Promontory

Perjalanan Wilsons Promontory

Masa terbaik untuk berjalan :
Sepanjang tahun

Bandar raya utama terdekat :
Melbourne

Ketahui lebih lanjut :
Untuk bersedia untuk perjalanan ini, lawati
Parks Victoria

 

Idea Australia selanjutnya