Menyusuri Gibb River Road dan kawasan sekitarnya

Menyusuri Gibb River Road dan kawasan sekitarnya

Derby – Windjana Gorge – Mount Hart Homestead – Manning Gorge – Drysdale River Station – Ellenbrae Station – El Questro Wilderness Park – Wyndham or Kununurra

8 hari memandu

Hadapi cabaran pengembaraan lasak pacuan empat roda yang terhebat di Australia dalam perjalanan 660-kilometer melalui Kimberley yang amat luas. Lihat buaya air tawar di Taman Negara Windjana Gorge dan berenang, berjalan kaki di pedalaman atau bushwalk dan berkhemah di Lennard dan Bell Gorge. Naiki penerbangan melihat pemandangan indah di atas Air Terjun Mitchell dan Penara Mitchell yang terbentang luas. Tinggal di Taman Hidupan Liar El Questro yang berkeluasan satu juta ekar. Dari sini anda boleh melakukan aktiviti treking berkuda, mendekati hidupan liar di Kimberley dan menaiki bot menelusuri Chamberlain Gorge melewati tubir yang menjulang tinggi dan seni batu-batan Wandjina. Bahkan anda juga boleh menikmati pemandangan indah dari basikal lasak yang anda tunggangi dalam Tunggangan Basikal Amal Brisbane ke Broome. Walau bagaimanapun anda memutuskan untuk menempuh cabaran pedalaman, ketahuilah bahawa ia memerlukan perancangan.

Windjana Gorge, WA
Windjana Gorge, WA

Hari 1 – Derby ke Taman Negara Windjana Gorge

Bermula di Derby di pinggir King Sound dan menuju ke Taman Negara Windjana Gorge, tempat terhebat di Australia untuk melihat buaya air tawar dalam habitat semula jadinya. Berjalan bersiar-siar di sekitar Windjana Gorge, yang seperti diukir oleh Lennard River pada Banjaran Napier. Anda akan melihat hidupan mergastua yang kaya dan beratus-ratus buaya berjemur berhampiran lopak-lopak air. Dari Windjana, menghala ke Tunnel Creek, yang pernah digunakan sebagai tempat persembunyian pemimpin Orang Asli, Jandamarra. Ikuti anak sungai yang melalui terowong sepanjang 750-meter yang menembusi Banjaran Napier di sebelah satu lagi. Bawa lampu suluh dan kamera untuk mengabadikan berbagai-bagai spesies kelawar dan terumbu batu kapur berusia sekurang-kurangnya 350 juta tahun. Selepas itu, kembali ke tapak perkhemahan di Taman Negara Windjana Gorge untuk kemudahan awam, kayu api dan menikmati pemandangan bintang bertaburan di langit.

Lennard Gorge, WA
Lennard Gorge, WA

Hari 2 – Taman Negara Windjana Gorge ke Rumah Ladang Mount Hart

Berlepas dari Windjana Gorge ke Lennard Gorge, salah satu gaung yang kurang popular dan jarang dikunjungi. Ikuti denai jalan kaki di penghujung jalan kenderaan pacuan empat roda untuk tiba ke belebas yang menyajikan pemandangan luar biasa gaung dan air terjun. Berjalan sedikit lagi mengikuti tebing Bell Creek dan lintasan anak sungai kecil yang licin untuk tiba di Bell Gorge dengan pemandangan yang sangat indah. Saksikan air terjun melata turun dari cenuram berbentuk-U dengan ketinggian 100 meter untuk memenuhi kolam yang cukup sempurna untuk direnangi. Anda boleh berkhemah di Silent Grove, sekitar 20 kilometer dari sini, atau di tapak perkhemahan belukar popular sepanjang Bells Creek, setelah berjalan 11 kilometer lagi. Dapatkan tempat awal, atau jika anda tidak mahu berkhemah, makan malam, dan tinggal di perkhidmatan menginap dan sarapan di rumah ladang Mount Hart, jauh sedikit ke utara. Dari sana anda boleh melakukan jalan belukar dan berkanu sepanjang jalan air dengan deretan pandanus di Taman Pemuliharaan Banjaran Leopold.

Manning Gorge, NT
Manning Gorge, NT

Hari 3 – Mount Hart ke Manning Gorge

Anda boleh tiba ke sini dengan hanya perjalanan singkat dari Mount Hart ke Galvans Gorge yang berbentuk ladam kuda, sebuah gaung yang paling mudah dilalui di sepanjang Gibb River Road. Berenang atau bergayut ke sana dengan tali. Atau duduk di bawah air terjun dan melangut untuk melihat pepohon boab mendakap tubir di atas. Berjalan kaki dari tapak perkhemahan Mt Barnett yang terletak di sebelah kolam-kolam tenang di Lower Manning Gorge. Dari sini, denai berjalan kaki berliku-liku melalui seni batu Orang Asli ke air terjun yang mampu membuat anda terpegun dan kolam Upper Manning Gorge. Berusaha ke sana dengan sendiri atau sertai lawatan berpemandu menyusuri tebing sungai. Setibanya di sana, pergi berenang, memancing atau hanya selami pemandangan yang cukup menakjubkan dari batu-batan ini. Air terjun ini terbaik pada awal musim di antara Mei dan Julai.

Mitchell Falls, WA
Mitchell Falls, WA

Hari 4 – Manning Gorge ke Stesen Drysdale River

Menghala ke Gibb River untuk menerokai Penara Mitchell yang mengagumkan di barat laut Kimberley. Tinggal di Stesen Drysdale River yang terletak di Taman Negara Sungai Mitchell yang berkeluasan 115,300 hektar itu. Dari sini, anda boleh menerokai Air Terjun Mitchell yang begitu indah di samping Kolam Surveyors serta sungai-sungai Mitchell dan King Edward. Berjalan melalui hutan kayu yang ditaburi pepohon kotak kelabu dan gum putih, hampiri pelbagai jenis hidupan liar dan terokai warisan Orang Asli. Naiki penerbangan untuk melihat pemandangan Air Terjun Mitchell, Air Terjun Merten, Prince Regent River dan pesisir pantai yang hebat. Sekembali ke Stesen Drysdale River, anda boleh menukarkan khemah anda dengan kabin yang lebih selesa, dengan bilik makan dan bar berlesen.

Drysdale River Station, WA
Drysdale River Station, WA

Hari 5 – Stesen Drysdale River ke Stesen Ellenbrae

Manghala ke penginapan anda untuk malam berikutnya di Ladang Rumah Ellenbrae Station. Berkhemah di antara dua billabong atau menginap di rumah ladang dan nikmati makan malam dan sarapan dengan tuan rumah yang amat mesra. Dari sini anda boleh berkanu menyelusuri arus dan melakukan jalan belukar dan mengkaji burung.

El Questro Wilderness Park, WA
El Questro Wilderness Park, WA

Hari 6 – Stesen Ellenbrae ke Taman Hidupan Liar El Questro

Dari Ellenbrae, anda boleh berhenti untuk berenang atau minum secawan teh di Lintasan Durack River dan memancing ikan barramundi di Jack Waterhole. Di Tempat Meninjau Banjaran Cockburn, anda akan melihat pemandangan yang indah Banjaran Cockburn, Durack River dan Pentecost serta Cambridge Gulf. Teruskan perjalanan ke Taman Hidupan Liar El Questro yang berkeluasan 1 juta ekar – sebuah stesen ternakan lembu yang masih berfungsi dan destinasi percutian unik di pinggir timur Kimberley. Dengan empat sistem sungai utama, anda boleh melihat haiwan, mergastua dan ikan di dalam sungai, mata air dan muara air masin. Tinggal di penginapan merangkumi dari bilik rumah ladang mewah hinggalah ke tapak perkhemahan belukar.

Chamberlain Gorge, WA
Chamberlain Gorge, WA

Hari 7 – Taman Hidupan Liar El Questro

Naiki bot menyusuri Chamberlain Gorge, melewati tubir yang menjulang tinggi, tumbuh-tumbuhan tropika dan seni batu Wandjina. Berjalan kaki melalui palma Livingstonia yang lebat ke kolam air panas di Zebedee Springs. Berdiri di atas puncak rabung dan saksikan sejumlah besar lembu ternakan berkawan-kawan meragut rumput. Lakukan treking berkuda dengan seorang renjer El Questro. Anda akan melihat pelbagai jenis hidupan liar Kimberley yang menakjubkan termasuk kuda liar, keldai liar, bustard, cicak leher beropol, goanna, helang laut, brolga, jabiru dan nuri serbaneka warna.

Emma Gorge, WA
Emma Gorge, WA

Hari 8 – Taman Hidupan Liar El Questro ke Wyndham atau Kununurra

Pada hari terakhir anda, terokai Emma Gorge dengan pepohon dan tumbuhan yang dipenuhi rama-rama serta lopak air begitu indah berwarna firus. Selepas sejam perjalanan berjalan kaki ke gaung ini, anugerahi diri anda dengan berenang atau berurut dengan dibasahi percikan air terjun di Pusat Peranginan Emma Gorge. Terletak di antara pepohon palma dan pandanus, ini tempat yang terbaik untuk berehat sebelum pengembaraan anda di atas Gibb River Road berakhir di persimpangan Wyndham/Kununurra.

Menyusuri Gibb River Road dan kawasan sekitarnya

Menyusuri Gibb River Road dan kawasan sekitarnya

 

Idea Australia selanjutnya