Laluan Munda Biddi, Australia Barat

Laluan Munda Biddi, Australia Barat

Perjalanan menunggang basikal selama seminggu

Apakah cara yang terbaik untuk menikmati 950km koridor semula jadi selain dari melihatnya sendiri dengan dekat dengan berbasikal? Menunggang basikal dari bukit bukau Perth ke Nannup di atas Jejak Munda Biddi, yang bermaksud ‘laluan melalui hutan’ dalam bahasa Aborigine Nyoongar. Di samping hutan dara yang amat mengagumkan, anda akan melalui jalan berliku melalui lembah sungai yang sangat indah dan pekan damai di sudut barat daya Australia Barat. Laluan ini melalui jejak belukar, penghalang api dan landasan kereta api yang sudah tidak digunakan lagi. Terdapat juga laluan bagi pelbagai peringkat pengalaman menunggang basikal. Lakukan tunggangan singkat atau pengembaraan seminggu, dengan bermalam di pekan-pekan kecil yang permai atau di salah satu antara lima tapak perkhemahan yang dibina khusus, dan terletak dalam jarak selesa tunggangan sehari. Anda boleh memandu ke beberapa titik permulaan yang berbeza sepanjang laluan ini.

Laluan Munda Biddi, WA
Laluan Munda Biddi, WA

Peringkat 1: Mundaring ke Jarrahdale

Untuk tiba ke titik permulaan anda di Taman Arca Mundaring, pandu 45-minit dari Perth atau naiki kereta api ke Midland yang berhampiran.  Tunggangan ke Mundaring Weir agak mudah, namun anda akan menempuh pendakian pertama yang agak mencabar yang keluar daripada saluran jalan biasa.  Kayuh basikal di atas jalan berbonggol-bonggol yang ditaburi batu kerikil ke tapak perkhemahan Carinyah, oasis untuk anda bermalam di celah-celah pepohon sheoak yang langsing.  Kayuh basikal keluar dari Carinyah ke tanah beralun yang ansur berubah menjadi cerun bukit yang agak curam sekitar bidur lama yang dimamah usia di Poison Gully dan Canning River East (Timur Sungai Canning).  Melungsur turun cerun bukit ke Sungai Canning, dengan memerlahankan penurunan di atas cerun batu kelikir yang agak curam.  Lewati ladang pohon pain dan lintasi Lebuh Raya Albany, ke hutan yang baru ditanam dengan barisan pohon jarah sambil anda mengayuh basikal ke tapak perkhemahan Wungong.  Dari sini, perjalanan ke Jarrah Road agak mendatar, namun setelah tiba di sana perjalanan ke lapangan Perkelahan Tawanan Perang Balmoral agak lebih beralun.  Kayuh basikal mengiringi aliran anak sungai Honor Brook, melewati pepohon bullich dan tanah ladang yang menghijau untuk ke Jarrahdale, yang dikelilingi hutan jarrah yang menjulang tinggi.

Laluan Munda Biddi, WA
Laluan Munda Biddi, WA

Peringkat 2: Jarrahdale ke Nanga

Kunjungi Kotej Whittnish yang bersejarah, Muzium Jentera dan Pejabat Pos Lama.  Kemudian menunggang ke Empangan Serpentine yang amat indah pemandangannya, Gooralong atau Langford Park untuk berkelah atau menikmati barbeku.  Kembali ke laluan, anda akan menemui lebih banyak laluan dengan batu kerikil dan beberapa pendakian yang membawa anda keluar dari Lembah Serpentine.   Menunggang hingga ke tapak perkhemahan Dandalup, di mana anda boleh bersantai dan berehat di bawah bohon butter gum dan menikmati pemandangan indah lembah yang hijau menawan.  Belok ke Empangan Oakley untuk berendam seketika atau ikuti laluan yang lebih lurus namun mempunyai pemandangan yang tidak begitu menarik ke pekan rimba Dwellingup.  Dari sini, laluan berliku-liku melalui hutan jarrah dan wandoo di Hutan Simpan Lane Poole.  Berhenti sejenak untuk memancing di Sungai Murray, berkelah di sebelah air terjun dan tinjau kalau-kalau anda terlihat burung nuri dan burung ren bidadari berwarna biru terang.  Kembali menunggang basikal, anda akan menempuh beberapa pendakian curam ke dusun pain di Nanga Mill, kemudian relaks sambil anda melungsur turun bukit sejauh 12km ke  tapak perkhemahan Bidjar Ngoulin, yang dalam bahasa Nyoongar bermaksud “tempat rehat’.   Nikmati kedamaian dari platform sebelah anak sungai.

Laluan Munda Biddi, WA
Laluan Munda Biddi, WA

Peringkat 3: Nanga ke Collie

Empangan Logue Brook terletak 30km ke selatan tapak perkhemahan dan menawarkan air biru tenang yang amat jernih dari Tasik Brockman.  Berhenti seketika untuk berenang, bermain papan luncur air atau berkanu di kedamaian yang dikelilingi hutan jarrah di Banjaran Darling.  Berkhemah semalam di sini sebelum menempuh satu lagi peringkat perjalanan -  46km tanah pedalaman belukar bushland ke tapak perkhemahan di puncak Yarri.  Nikmati pemandangan indah  hutan dan Sungai Harvey dari geladak kayu yang luas.  Susuri laluan berliku sejauh 45km dari tapak perkhemahan ke pinggir pekan Collie.  Ketahui mengenai pembalakan, perlombongan dan industri kereta api dalam jejak warisan dan kunjungi Gereja Anglican yang dibina pada tahun 1915 menurut gaya Norman tradisional.  Anda juga boleh menempuh cabaran lereng bukit yang sukar di sekitar Dardanup dalam Sistem Laluan Basikal Lasak Gunung Lennard.

Laluan Munda Biddi, WA
Laluan Munda Biddi, WA

Peringkat 4: Collie ke Jarrahwood

Susuri Riches Road ke tapak perkhemahan Nglang Boodja yang tersorok di dalam cerun di bawah kanopi pepohon pudina dan blackbutt.  Berhenti rehat sebentar di Boyanup, atau teruskan perjalanan sejauh 17km ke Bunbury.  Tunggang basikal melalui Donnybrook, Australia Barat bandar epal, di atas Sungai Preston yang indah pemandangannya.  Tinjau bangunan batu bersejarah dan pepohon epal dan ceri dengan kuntuman mekarnya pada bulan Oktober.  Menginap di tapak perkhemahan Nala Mia di petempatan pembalakan Jarrahwoood.  Laluan ini berakhir di Nannup, di tengah-tengah lembah Sungai Blackwood yang sedamai lukisan lagenda.  Terokai taman persendirian dan awam, yang seolah-olah hidup pada musim bunga dengan citra warna kuntuman mekar tulip dan dafodil.  Merayau-rayau di jalan raya utama atau susuri laluan pejalan kaki yang merentasi hutan yang mengelilingi pekan ini.

Laluan Munda Biddi

Laluan Munda Biddi

 

Idea Australia selanjutnya