Kereta Api Indian-Pacific

Kereta Api Indian-Pacific

Sydney - Adelaide - Perth
3 hari perjalanan kereta api

Bersantai dan saksikan lanskap Australia yang tidak dimamah masa melepasi tingkap anda dalam perjalanan kereta api epik ini. Naiki kereta api di Sydney dan turun untuk melancong di setiap perhentian di Broken Hill, Adelaide dan Kalgoorlie yang kaya dengan emas. Atau sertai perjalanan ini di Perth dan terokai benua ini dari hujung yang satu lagi, dari Lautan Hindi ke Pasifik. Lalui Blue Mountains yang begitu indah, berhenti di kotakara Cook dan lakukan perjalanan hampir 500 kilometer melalui Dataran Nullarbor yang tandus. Walau ke mana pun hala tuju anda, anda pasti terbau aroma kopi segar yang disediakan apabila anda terjaga, saksikan bebola mentari melabuhkan dirinya di sebalik ufuk, dan tidur dengan didodoi rentak dan ayunan kereta api.

Indian-Pacific
Indian-Pacific

Hari 1 – Sydney ke Broken Hill

Berlepas dari Sydney pada tengah hari
Naiki kereta api di Stesen Central Sydney dan berehat di dalam kabin anda atau kerusi istirehat yang selesa untuk menghabiskan sisa waktu tengah hari dengan memandang ke luar tingkap. Saksikan cenuram batu kapur, lembah diliputi hutan, tubir dan air terjun di Blue Mountains bertukar menjadi lanskap pedalaman New South Wales. Saksikan mentari seperti bebola mentari melabuhkan dirinya di sebalik banjaran yang berceranggah, belukar mulga dan dataran padang pasir sambil anda menikmati makan malam dan wain dalam gerabak makan minum.

Tiba Broken Hill pada awal pagi
Berhenti di Broken Hill awal pagi pada hari kedua dan terpegun dengan warna-warni yang lembut dan jelas yang menjadi daya penarik ramai pelukis ke sini. Pekan yang pernah pada satu masa dulu menjadi pusat perlombongan dan dikenali sebagai Silver City ini terletak di antara lanskap padang pasir dan oasis yang ditaburi tasik. Alami bandar ini dalam pelancongan whistle-stop selama satu jam. Ketahui mengenai sejarah perlombongannya yang kaya dan kunjungi Pangkalan Doktor Terbang Diraja. Saksikan Arca Padang Pasir Hidup dan salah satu galeri seni yang paling menakjubkan di sini. Jangan bimbang jika anda merasakan seolah-olah bumi bergerak di bawah kaki anda. Setelah menghabiskan masa sehari dalam kereta api, anda mungkin memindahkan rentak dan ayunannya ke daratan pula.

Adelaide, SA
Adelaide, SA

Hari 2 – Broken Hill ke Kalgoorlie

Tiba di Adelaide pada tengah hari
Perkara pertama yang anda dapati setelah anda berhenti di bandar raya pesta Australia ini adalah bangunan kolonial yang dikelilingi oleh taman, pantai dan bukit bukau yang sangat indah. Tinjauan bangunan batu yang berderetan di North Terrace dan suasana kafe di Rundle Street. Anda juga akan melalui Bukit Montefiore, Colonel Light's Lookout, Gelanggang Kriket Adelaide Oval dan Torrens Lake.

Tiba di Cook menjelang petang
Anda boleh merayau-rayau di salah satu kota kara yang paling terpencil di dunia apabila kereta api berhenti sebentar di Cook. Tempat ini pada satu ketika dulu adalah petempatan perkhidmatan kereta api yang sibuk, namun kini hanya tinggal segelintir sahaja penduduk di tengah-tengah Nullarbor yang gondol ini, sekitar 1,500 kilometer dari Perth.

Tiba di Kalgoorlie pada waktu petang
Turun di ibu negeri emas Australia pada masa yang tepat untuk lawatan waktu malam. Lihat lubang lombong yang dilimpahi cahaya lampu, lebih 400 meter dalamnya dan lebih 3.3 kilometer panjang, dengan jentera yang teramat besar yang kelihatan seperti trak Tonka dari kejauhan. Dengar kisah penjahat dan rumah pelacuran, dan juga untung nasib pekerja di sini sambil anda berjalan melewati pub lama di Hannan Street. Ia dinamakan bersempena seorang warga Ireland yang bernama Paddy Hannan yang merupakan orang pertama menemui khazanah di wilayah ini pada tahun1893.

Perth, WA
Perth, WA

Hari 3 – Kalgoorlie ke Perth

Tiba di Perth menjelang petang
Anda tiba di Perth setelah melakukan 68 jam perjalanan merentas benua Australia dari Sydney. Bandar raya yang disimbah cahaya mentari, dengan penduduk yang amat menggemari pantai ini lebih hampir dengan Singapura berbanding Sydney dan adalah gerbang yang penting untuk ke Asia. Pastikan anda memanfaatkan sepenuhnya pagi pertama anda di sini dengan membuat lawatan Indian-Pacific di sepanjang Swan River dan melewati bangunan-bangunan kolonial yang telah dibaik pulih dengan cukup teliti. Sebaik sahaja anda selesai mengimbas tempat-tempat menari di Perth, anda dan bagasi anda akan dihantar ke tempat penginapan anda di bandaraya ini.

Indian Pacific

Indian Pacific

 

Idea Australia selanjutnya