Laluan Savannah, Australia Barat

Laluan Savannah, Australia Barat

Darwin - Katherine - Timber Creek - Kununurra - Halls Creek  - Broome
Perjalanan 5 hari dengan kenderaan

Bahagikan di antara padang pasir dan tropika pada pengembaraan kawasan pedalaman yang lasak ini di antara Darwin dan Broome. Anda akan saksikan pokok palma tumbuh dari tebing berwarna merah karat, buaya berjemur dalam gaung dan pokok boab yang berbuah lebat. Belayar melalui Gaung Katherine di Taman Negara Nitmiluk dan lihat seni batuan di Taman Negara Keep River. Berkanu menyusuri Ord River dan Lake Argyle buatan manusia yang amat besar. Terokai Banjaran Bungle Bungle di Taman Negara Purnululu, meredah belukar ke Air Terjun Mitchell dan lawati Lombong Berlian Argyle. Saksikan bebuli Pokok Penjara Boab berhampiran Derby dan berenang dari pantai Broome Cable, dengan air yang hangat dan pasir lembut umpama mimpi. Laluan Savannah juga mempunyai banyak peluang untuk memerhatikan burung, jadi bawa bersama teropong dan pemandu lapangan.

Gaung Katherine, NT
Gaung Katherine, NT

Hari 1 – Darwin ke Katherine

Pandu setengah hari ke selatan dari Darwin sepanjang Lebuh Raya Stuart ke pekan kawasan pedalaman Katherine. Berdekatan, terdapat landskap berceranggah, air terjun dramatik dan gaung subur Taman Negara Nitmiluk. Susuri Gaung Katherine dengan kano atau menaiki bot pelancong atau terbang di atas rangkaian gaung yang menakjubkan dengan menaiki helikopter. Berkhemah di gaung atau bermalam di perbandaran Katherine. Anda boleh melanjutkan perjalanan anda dengan pengembaraan berjalan kaki empat hingga lima hari di Denai Jatbula di antara Gaung Katherine dan Air Terjun Edith. Lawati gua batu kapur Cutta Cutta atau tuju ke selatan ke Manyallaluk untuk lawatan kebudayaan Orang Asli.

Taman Semula Jadi Flora River, NT
Taman Semula Jadi Flora River, NT

Hari 2 - Katherine ke Timber Creek

Susur keluar dari Lebuh raya Victoria untuk ke Taman Semula Jadi Flora River. Di sini anda boleh berkanu melewati tumbuh-tumbuhan subur dan empangan tufa serta berjalan di dataran banjir dan hutan jarang savana. Lebih jauh di lebuh raya ialah Taman Negara Gregory yang luas, di mana anda boleh mengikuti Denai Peninjau Escarpment untuk pemandangan yang mengagumkan atau Denai Joe Creek melewati seni batuan dan pokok palma. Belayar menyusuri Victoria River pada waktu senja, melihat buaya air masin dan pokok boab. Saksikan ribuan buaya dengan lebih dekat di Ladang Buaya Coolibah dan mendaki ke Peninjau Kuwang untuk pemandangan Banjaran Stokes. Di bahagian selatan taman, anda boleh berjalan ke Gaung LimeStone dan memandu kenderaan pacuan empat roda sejauh 90 kilometer sepanjang Laluan Bullita Stock yang lasak. Berkhemah di Rumah Ladang Bullita yang bersejarah atau bermalam di Timber Creek.

Kununurra, WA
Kununurra, WA

Hari 3 – Timber Creek ke Kununurra

Beberapa kilometer melepasi pokok boab dan savana serta melewati Timber Creek, anda akan temui Stesen Bullo River yang luasnya setengah juta ekar. Di sini anda boleh memancing, menghimpunkan lembu, menangkap lembu jantan dan lakukan lawatan menaiki helikopter. Tidak jauh dari sempadan Australia Barat, anda akan temui Taman Negara Keep River. Lihat seni batu Orang Asli di Keep River Gorge dan Rainbow Serpent yang dilukis pada batu di Nganalam. Melepasi sempadan ini, terletak Kununurra, di mana anda boleh menaiki kapal pesiaran untuk melayari Ord River dan Argyle Lake, sebuah tasik buatan manusia yang luas. Naiki penerbangan untuk melihat pemandangan indah Bungle Bungles yang kelihatan seperti sarang lebah, dan berjalan agak jauh sedikit, untuk tiba di Air Terjun Mitchell atau Lombong Berlian Argyle yang cukup besar. Terokai laluan jalan kaki yang indah pemandangannya dan Bungle Bungles mini di Taman Negara Mirima serta bonanza mergastua di Lagun Lily Creek.

Bungle Bungle Range, WA
Bungle Bungle Range, WA

Hari 4 - Kununurra ke Halls Creek

Dalam perjalanan ke Halls Creek anda boleh membelok melalui Wyndham, pekan yang terletak paling utara di Australia Barat, atau Stesen El Questro yang berkeluasan 1 juta ekar. Lebih jauh ke selatan terletak Taman Negara Purnululu yang tersenarai sebagai Warisan Dunia, di Bungle serta batu-batan berjalur jingga dan hitam Banjaran Bungle yang menjulang tinggi. Saksikan pemandangan ini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, berjalan kaki atau menaiki kapal terbang. Ikuti Laluan Jalan Kaki Domes ke Cathedral Gorge di selatan taman ini atau mengembara berjalan kaki ke Mini Palms dan Echidna Chasm di sebelah utara. Berhenti di pekan cari gali emas Halls Creek. Dari sini anda boleh berenang dalam gaung dan kolam mata air, melihat hasil kerja para seniman kaum Orang Asli tempatan dan mengunjungi Wolfe Creek Crater. Ia merupakan kesan impak meteorit, hampir 1 kilometer lebar dan 50 meter dalam.

Geikie Gorge, WA
Geikie Gorge, WA

Hari 5 – Halls Creek ke Broome

Dari Lintasan Fitzroy, anda boleh menaiki kapal pesiaran melalui Geikie Gorge dengan pemandu pelancong Orang Asli suku Bunuba atau melalui laluan bawah tanah di Tunnel Creek. Dalam perjalanan ke Derby, anda akan melalui Pohon Boab Prison yang berbentuk bulat, yang menurut sejarah digunakan sebagai lokap banduan. Lihat air pasang setinggi 11 meter di dermaga pekan Derb atau terbang melepasi air terjun mendatar yang terbentuk di Talbot Bay lebih jauh ke utara. Rentas Fitzroy River ke Broome. Terokai warisan eksotik membuat mutiara di Chinatown dan tunggangi unta kala senja sepanjang Cable Beach. Lebih jauh ke utara anda boleh mengunjungi rumah api yang terletak di hujung Cape Leveque. Berhenti seketika di kawasan masyarakat Orang Asli di Beagle Bay dan lihat Gereja Sacred Heart yang comel dengan altar diperbuat daripada gewang. Untuk aktiviti mengkaji burung, pergi ke Balai Cerap Burung Broome yang tersohor serata dunia di Roebuck Bay.

Laluan Savannah, WA

Laluan Savannah, WA

 

Idea Australia selanjutnya