Wilayah Ibu Kota Australia

Wilayah Ibu Kota Australia

Wilayah Ibu Kota Australia dicipta untuk menempatkan ibu kota negara ini iaitu Canberra. Terokai khazanah tarikan negara, taman yang terbentang luas dan restoran serta bar yang bergaya. Hanya pandu selama 45 minit dari bandar dan anda akan bertemu hidupan liar, denai, seni batu Orang Asli di Tidbinbilla Nature Reserve dan Namadgi National Park di Alps Australia utara. Ikut Trail Poacher menuju ke kilang wain, ladang dan galeri di sekeliling kawasan desa yang indah ini. Berjalan melepasi bunga liar dan tasik glasier di Snowy Mountains dan lihat dolfin dari pantai yang bersih di South Coast.

Selami sejarah, budaya dan ciri-ciri Australia di muzium dan galeri. Bandingkan politik Australia masa lampau dengan kerajaan demokrasi moden kami di Old Parliament House dan Parliament House. Lihat Australia melalui pandangan pelukis kami di National Gallery of Australia dan raikan pencapaian Australia dalam bidang sukan di Australian Institute of Sport. Apabila anda selesai melawat tarikan negara, sertai pula aktiviti luar bangunan. Berjalan atau berbasikal di tasik, taman dan hutan belukar asli di sekitar bandaraya ini. Bandaraya terancang dan moden ini terletak di kawasan terbuka yang hijau dan dihiasi empat musim yang ketara dari daun musim luruh yang menguning hingga musim bunga yang berwarna-warni. Di bawah pokok yang menghijau ini terdapat restoran dan aktiviti kehidupan malam serta jadual perayaan dan acara tanpa henti.

Lihat tasik glasier, hutan kayu pokok gam salji dan tanah rumput alpin yang berwarna-warni dalam perjalanan mendaki Mount Kosciuszko iaitu puncak tertinggi di Australia. Di puncaknya anda akan temui kawasan Simpanan Biosfera UNESCO dengan 20 spesies tumbuhan yang tidak dapat ditemui di tempat lain di dunia ini. Pada musim sejuk, pergi ke cerun ski tertinggi di Australia di Charlotte Pass atau bermain salji di Thredbo dan Perisher Blue. Pada musim panas, berjalan, berbasikal atau menunggang kuda melepasi padang bunga liar atau selami keindahan pemandangan dengan memasuki gua, berakit, berkayak dan berkenderaan pacuan empat roda. Menangkap ikan trout dari anak sungai yang jernih airnya di sekitar Cooma yang bersejarah atau lontar joran anda di Lake Jindabyne. Jangan ketinggalan melihat dedaun musim luruh di sekitar Tumut yang juga tempat untuk meneroka stalaktit yang besar dan kolam air panas di Yarrangobilly Cave.

Berjalan di pantai yang putih bak mutiara dan lihat dolfin bermain-main di dalam air yang berkilauan di Jervis Bay. Lihat ikan paus dari Eden di Sapphire Coast, lihat haiwan asli dan eksotik di Mogo Zoo dan jelajahi syurga hidupan liar di Montague Island berdekatan Narooma. Pergi berkayak melalui Kangaroo Valley dan belayar menyusuri Clyde River yang bersih di Batemans Bay. Rasai tiram di Merimbula dan keju terbaik di Bega. Berjalan dalam belukar melepasi tasik air tawar dan pantai cantik di Bournda National Park serta melalui hutan belantara yang tidak diterokai di Wadbilliga National Park. South Coast mempunyai 30 taman negara, taman marin dan simpanan serta pantai yang cantik dan kaya dengan sejarah Orang asli untuk anda terokai.

Bersiar-siar melepasi gereja, pub masa lampau, galeri dan kedai barangan antik di Braidwood yang bersejarah dan Bungendore yang mempesonakan. Berjalan melepasi air terjun, bunga liar, galur hutan hujan dan cenuram batu pasir di Fitzroy Fall dan Moreton National Park berdekatan Bundadoon. Jelajah taman desa gaya Inggeris dan kedai seni serta kraf di pusat peranginan tanah tinggi di Bowral serta seni bena Georgia-Inggeris 1830-an di Berrima. Menginap di ladang yang diusahakan di Yass, melawat kilang wain di daerah Hilltop dan membeli hasil tani segar di Young iaitu ibu kota ceri Australia. Ketahui tentang kehidupan pemain kriket terhandal Australia di Bradman Museum di Bowral dan lihat kerja seni artis kaca yang terkenal di dunia, Peter Crisp di Crisp Galleries di Bowning.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Anda boleh mendapat maklumat lanjut tentang wilayah ini dengan mengunjungi laman web Tourism ACT.