Murrumbidgee River Corridor, Wilayah Ibu Negara Australia

Murrumbidgee River Corridor, Wilayah Ibu Negara Australia

Suasana Murrumbidgee Corridor yang mudah dikunjungi dari Canberra dan kaya dengan alam semula jadi pasti memukau sesiapa sahaja. Pelbagai aktiviti riadah yang berkaitan alam semula jadi boleh dilakukan di sepanjang sungai ini yang merupakan sebahagian dari sungai utama sepanjang 1,600km dari pergunungan Alps Australia. Berjalan-jalanlah di sekitar  Uriarra Crossing atau Tharwa. Bagi mereka yang gemarkan cabaran, cubalah menawan laluan  Murrumbidgee Discovery Track sepanjang 27km. Pelbagai aktiviti menanti anda, dari berenang, berkayak dan berkelah di Casuarina Sands, hinggalah kepada bermain kad sambil berteduh di kawasan perkhemahan Cotter. Anda juga boleh memancing ikan Murray cod atau menikmati siulan unggas di kawasan belukar ini. Pilih destinasi sehari anda dari Canberra atau gabungkan beberapa tempat menarik sambil berkhemah dan bermalam di tepi sungai.

Perjalanan berkereta dari Canberra ke Uriarra Crossing, iaitu di laluan masuk utara koridor ini hanya memakan masa 20 minit sahaja. Anda boleh berkelah sambil menyaksikan gelagat kawanan burung kakak tua berekor kuning, berenang ataupun berkanu. Terdapat juga beberapa denai mudah yang ditanda dengan baik di sekitar kawasan ini. Luangkan masa selama dua jam dan saksikan sendiri kelibat pelbagai jenis unggas berwarna warni di Woodstock Nature Reserve Walk. Ikuti denai Uriarra Loop di sepanjang sungai Murrumbidgee dan Molonglo atau mendaki dari Shepherd’s Lookout ke Molonglo River melalui barisan pokok pain sipres hitam.

Di bahagian selatan, iaitu di Cotter Junction, terdapat beberapa buah pantai menarik serta kawasan berkelah yang sesuai untuk kunjungan keluarga. Memancinglah di bawah pepohon kasuarina di Casuarina Sands, biarkan kanak-kanak bermain di kawasan permainan Avenue atau dirikan khemah anda di kawasan perkhemahan Cotter yang serba lengkap. Pejalan kaki boleh mengikuti denai Cotter Explorer Track di sepanjang Cotter River atau teruskan perjalanan ke Cotter Caves di Bullen Loop. Untuk perjalanan yang lebih mencabar, naiki Creek Skyline Track yang akan membawa anda ke puncak bukit.

Casuarina Sands juga menandakan permulaan Murrumbidgee Discovery Track sepanjang 27km ke Point Hut Crossing di tengah-tengah koridor. Berjalanlah merentasinya secara berperingkat atau habiskan perjalanan, dan berkhemah semalaman. Pendakian pertama yang mencabar mengambil masa 8 jam dan menghubungkan Casuarina Sands dengan kawasan mandi-manda Kambah Pool yang indah. Sepanjang perjalanan, anda boleh melihat pokok oak sungai, kulit kayu merah berserabut, pokok gam scribbly dan pemandangan yang menakjubkan. Berjalan sejauh 7km dari Kambah Pool ke Pine Island, merentasi kawasan hutan dan ladang serta Red Rocks Gorge yang memukau. Anda boleh berenang atau mengadakan barbeku di Pine Island atau terus berjalan kaki selama satu jam lagi ke Point Hut Crossing untuk menikmati pemandangan sungai yang saujana mata memandang.

Di bahagian selatan koridor, Tharwa Bridge, Tharwa Sandwash dan Angle Crossing merupakan kawasan yang lebih menyenangkan serta dipenuhi pokok gam. Di sini,  anda boleh berenang, berkelah, memancing ikan dan berkanu. Dari Tharwa, anda boleh pergi ke kawasan belukar Namadgi National Park yang kaya dengan pelbagai hidupan liar. Anda juga boleh mengikuti denai yang bersebelahan sungai dan tidak memakan masa yang pantas - satu daripadanya akan membawa anda ke kawasan pengebumian pahlawan Aboriginal tempatan, dan satu lagi ke kawasan pengebumian kurun ke-19 yang unik.

Mereka yang gemar memancing boleh menangkap ikan Trout, Golden Perch, Redfin dan Murray cod di sepanjang sungai, kecuali di Gigerline Nature Reserve yang terletak berhampiran Angle Crossing. Spesis terlindung yang tidak boleh ditangkap termasuk udang kara Murray River, ikan Perch Macquarie, Silver Perch, Two-Spined Blackfish dan ikan Kod Trout. Di sini terdapat banyak kawasan yang tenang dan sesuai sekali untuk memancing.

Tidak kira sama ada anda mencari ketenangan, rekreasi ataupun cabaran, Murrumbidgee Corridor mempunyai mempunyai kesemuanya untuk setiap pengunjung di sini.

Idea Australia selanjutnya