Coffs Harbour, New South Wales

Serenity Bay, Coffs Harbour Coast, NSW. © Destination NSW

Coffs Harbour, New South Wales

Terletak di antara Sydney dan Brisbane, dengan iklim subtropika, hutan hujan yang tenang serta pantai Coffs Harbour bersih yang lengang menjadikannya antara destinasi percutian keluarga yang paling popular di pantai utara New South Wales.

Pemilik asal kawasan Coffs Harbour adalah kaum Gumbaynggirr. Bangsa mereka tinggal di sepanjang Nambucca River di sebelah selatan ke kawasan Clarence River di sebelah utara dan ke arah Great Dividing Range di sebelah barat.

Mulakan penerokaan anda di Coffs Harbour dengan pemanduan singkat ke Sealy Lookout di Bruxner Park, bahagian barat laut bandar, untuk anda menikmati pemandangan bandar dan pantai yang indah dari Forest Sky Pier.

Bersiar-siar di sepanjang jeti kayu lama tinggalan sejarah dan tempat persiaran pesisir pantai di pekan. Beli ikan dan kentang goreng dari Fishermen's Co-op di marina bersebelahan dan lihat bot nelayan mengeluarkan tangkapan segar mereka. Dari sini, anda boleh berjalan dari tanah besar ke Muttonbird Island, yang mempunyai pemandangan indah 360 darjah Lautan Pasifik, kepulauan, marina dan gunung-ganang.

Coffs Harbour menawarkan banyak aktiviti yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur. Kanak-kanak pasti akan menyukai Big Banana, Butterfly House, Pet Porpoise Pool, Coffs Harbour Zoo dan National Marine Science Centre Aquarium.

Jika anda mahukan aksi dan pengembaraan, anda boleh belajar untuk meluncur, berenang atau mengayuh papan luncur di perairan yang tenang lagi jernih, atau berkayak atau pun berakit meredah jeram dengan arus Nymboida River. Anda boleh menyertai pengembaraan pacuan empat roda di sepanjang laluan hutan atau meneroka kawasan desa dengan menunggang kuda, berbasikal bukit atau memandu kereta bugi pantai yang menguja.

Coffs Coast juga terkenal dengan aktiviti memancingnya yang hebat. Lontarkan joran dari pantai atau jeti, atau sertailah carter memancing untuk merasai pengalaman memancing di laut dalam.

Terbang sambil menghayati pemandangan pantai dan gunung-ganang yang indah di Great Dividing Range dengan menaiki penerbangan helikopter, atau mencuba cabaran terjun udara dua orang di pantai.

Perairan yang suam serta kepelbagaian hidupan marin menjadikan Coffs Harbour syurga untuk penyelam skuba dan penyelam snorkel. South Solitary Island Marine Park merupakan kawasan yang sesuai untuk penyelam baru serta mereka yang berpengalaman. Jangan lepaskan peluang untuk melihat ikan paus kelasa dari tanjung tinggi atau tempat meninjau antara bulan Mei dan November, atau sertailah pelayaran untuk memerhati ikan paus bagi mendapatkan pandangan lebih dekat. Anda boleh melihat ikan lumba-lumba meluncur ombak sepanjang tahun.

Jika anda mahu mengambil masa anda, Coffs Harbour turut menampilkan banyak laluan pemanduan yang indah, galeri, bangunan bersejarah dan tapak warisan. Laluan kesenian dan budaya menghubungkan pekan utama dan tarikan yang ada. Pergi ke pedalaman Coffs Harbour dan di sepanjang desa pinggiran pantai utara. Ada banyak taman negara, rizab dan taman marin mengelilingi Coffs Harbour yang membolehkan anda menghayati alam sekitar sambil berjalan kaki atau meredah laluan belukar yang lebih panjang. Laluan pejalan kaki yang teratur bermula di Dorrigo Rainforest Centre.

Coffs Harbour terletak 540 kilometer utara Sydney dan kira-kira 400 kilometer selatan Brisbane atau 320 kilometer selatan Gold Coast.
Kereta api beroperasi setiap hari dari Sydney dan Brisbane serta penerbangan harian menghubungkan Coffs Harbour dengan Sydney dan ibu kota Australia yang lain.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia