Hunter Valley

Ladang anggur, Hunter Valley, NSW. © Tourism Australia

Hunter Valley

Hunter Valley di New South Wales merupakan wilayah penanaman anggur wain yang tertua di Australia. Ia juga terkenal kerana makan malamnya yang mewah, sekolah memasak, galeri, spa kesihatan dan padang golf. Di sini anda boleh mencuba keju tempatan, coklat buatan tangan, Charcuterie yang menjual produk berasaskan daging, hasil tenusu, roti sourdough dan minyak zaitun terus dari pembuatnya. Ikuti kelas pakar merasa wain; atau cuba pelbagai jenis wain di salah satu antara 150 tempat simpanan wain. Setelah puas melayani kegemaran makanan dan minuman anda, hilangkan diri anda di luar dengan bermain golf, menaiki belon udara panas atau helikopter atau membeli-belah barang antik dan hasil seni tempatan di pelbagai galeri wilayah ini.

Pokok anggur pertama di Hunter Valley telah ditanam oleh keluarga-keluarga di sini pada tahun 1820-an, yang menjadikan Hunter Valley wilayah wain tertua di Australia. Semillon Hunter Valley dianggap ramai sebagai wain ikonik wilayah ini, namun Hunter juga menghasilkan wain daripada pelbagai jenis anggur termasuk shiraz, chardonnay, cabernet sauvignon dan verdelho. Lawati Wyndham Estate yang diiktiraf antarabangsa, salah satu ladang anggur yang tertua di Australia, yang menjadi tuan rumah bagi persembahan Opera in the Vineyards setiap tahun. Kilang wain Audrey Wilkinson 1866 yang bersejarah memiliki muzium yang mempamerkan kelengkapan membuat wain yang asli.

Di banyak tempat simpanan wain bawah tanah, anda boleh mencuba pelbagai pilihan wain, atau menyertai kelas pakar merasa wain yang termasuk wain vintaj yang jarang ditemui. Beberapa tempat simpanan wain bawah tanah yang boleh anda lawati begitu sahaja, tetapi ada pula yang memerlukan tempahan lebih awal. Menginaplah pada malam itu di rumah tamu butik atau makan malam di restoran berkualiti tinggi yang menghidangkan wain terbaik di dunia di kota-kota bersejarah Pokolbin, Wollombi, Broke, Lovedale dan Maitland. Pada lawatan wain khusus, anda boleh melawati beberapa kilang wain dalam sehari, termasuk beberapa pembuat wain terkini.

Sepanjang tahun, Hunter Valley mempersembahkan kalendar pelbagai acara makanan dan wain di kilang wain yang termasuk persembahan oleh artis-artis terkenal muzik jaz, opera dan blues. Acara makan tengah hari Lovedale Long Lunch merupakan jamuan bergaya progresif yang berliku melalui kilang wain dan restoran di Hunter Valley setiap tahun pada bulan Mei. Bersiar-siar melalui bunga mekar yang berwarna-warni di Festival of the Flowers dalam bulan September atau sepanjang November dan anda boleh mengikut jejak seni di Sculpture in the Vineyards.

Hunter Valley Wine Country terletak kira-kira dua jam pemanduan ke utara Sydney. Di pusat Hunter Region terdapat bandar tepi pantai Newcastle, yang mempunyai sejarah, budaya dan makan malam serta membeli-belah yang hebat. Bersantailah di pantai murni Central Coast di New South Wales. Berjalan kaki melalui hutan hujan purba di taman negara seperti Watagan, Yengo, Wollombi dan Barrington Tops yang tersenarai dalam Warisan Dunia. Pergi memancing, berenang atau belayar di Lake St Clair berdekatan Singleton. Anda boleh mengembara merentasi Hunter Valley pada laluan Pacific Coast Touring Route dari Sydney ke Brisbane.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia