Jervis Bay, New South Wales

Pantai Hyams, Jervis Bay, NSW. © Tourism Australia

Jervis Bay, New South Wales

Dengan pasir halus dan laut biru firus, pantai-pantai Jervis Bay di pinggir laut selatan New South Wales adalah antara yang paling selamat dan indah di dunia. Di hujung selatannya, Jervis Bay dilingkari belantara asli Booderee National Park. Dari desa Wreck Bay di selatan taman ini, laluan pejalan kaki melingkari semenanjung ini sehingga ke St Georges Head, dengan melepasi sebilangan pantai, cenuram dan hutan. Pantai Hyams secara rasminya mempunyai pasir yang terputih di dunia. Pantai, lagun, gua rahsia dan anak sungai tersembunyi yang banyak di Jervis Bay amat sesuai bagi semua jenis aktiviti akuatik.

Jervis Bay merupakan gabungan unik persisiran pantai, landskap marin dan pedalaman yang menawarkan aktiviti menjejak belukar, menunggang basikal, berkhemah, serta budaya orang asli dan warisan laut. Anda akan menemui antara pantai terbersih dan terputih di dunia.

Pekan utama Jervis Bay ialah Huskisson. Tempat ini amat baik untuk menyertai pelayaran memerhati ikan lumba-lumba, perjalanan memancing dan aktiviti berlayar. Anda juga boleh menyelam skuba, berkayak atau mendayung sambil berdiri di atas papan luncur di perairan bersih Jervis Bay Marine Park.

Jervis Bay dikelilingi oleh Booderee National Park (yang sebelum ini dipanggil Jervis Bay National Park), St Georges Basin dan lautan. Kawasan ini kaya dengan warisan Orang Asli dan penuh dengan hidupan liar darat dan laut Australia.

Booderee National Park dimiliki oleh Masyarakat Orang Asli Wreck Bay dan selama ini merupakan tempat yang penting kepada orang asli Koori. 'Booderee' ialah perkataan Orang Asli yang bermaksud 'teluk yang melimpah-ruah' atau 'ikan melimpah-ruah'. Jervis Bay terkenal di kalangan para nelayan sebagai salah satu tempat memancing ikan marlin gergasi dari kawasan darat terbaik di dunia. Nikmati pelbagai tempat berjalan kaki, luncur air di Pantai Cave atau berenang di dalam air tenang di Pantai Green Patch.

Ketahui tentang budaya Koori, makanan tradisional dan kegunaan ubat-ubatan purba daripada tumbuh-tumbuhan kawasan ini di Booderee Botanic Gardens. Di Kompleks Warisan Lady Denman yang diiktiraf, anda akan menemui ratusan barangan maritim bersejarah serta paparan pendidikan mengenai persekitaran marin.

Laluan pejalan kaki 'White Sands Walk' dari Pantai Greenfield ke Pantai Hyams sememangnya menakjubkan. Pantai Hyams tersenarai dalam ‘Guinness Book of Records’ sebagai pantai dengan pasir paling putih di dunia. Ia merupakan pantai yang paling terkenal dan popular antara pelbagai teluk dan pantai di kawasan Jervis Bay serta merupakan pantai berenang yang selamat untuk seisi keluarga. Di hujung utara garis pesisir pantai sepanjang dua kilometer ini adalah platform batu dengan pantai berpasirnya sendiri, di mana ia adalah tempat bersnorkel terbaik.

Rumah Api Cape St George yang bersejarah adalah tempat yang hebat untuk menyaksikan ikan paus ketika penghijrahan tahunannya di antara bulan Mei dan November Ikan lumba-lumba setempat bermain di dalam teluk pada sepanjang tahun. Dalam musim bunga, kawasan ini mekar dengan bunga liar yang berwarna-warni.

Melingkari Jervis Bay, terdapat desa pinggir pantai yang belum tercemar serta perkampungan desa dengan pasar tempatan, kedai milik keluarga dan galeri seni. Anda juga akan menemui pelbagai restoran yang menghidangkan hasil tani setempat yang segar. Jervis Bay terletak di kawasan Shoalhaven yang jauhnya kira-kira tiga jam perjalanan ke selatan Sydney.

Lebih Banyak Idea Australia