Pulau Lord Howe

Lord Howe Island

‘Syurga’ merupakan perkataan yang selalu digunakan untuk menerangkan Lord Howe Island yang tersenarai dalam senarai Heritage, dan terletak di Tasman Sea, kurang daripada dua jam penerbangan dari Sydney atau Brisbane. Hanya 400 orang dibenarkan berada di sini pada satu-satu masa. Basikal merupakan cara terbaik untuk melawat sekeliling dan tiada penerimaan frekuensi telefon bimbit di sini. Berjalan di pantai pasir putih, snorkel melihat terumbu karang paling selatan dan mengembara berjalan kaki merentasi hutan palma menuju ke puncak Mount Gower merupakan antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Hilangkan tekanan hidup di bandar semasa di syurga semula jadi ini, sambil menikmati keselesaan moden seperti restoran, spa harian dan penginapan mewah.  

Anda tidak akan menerima talian kuasa elektrik atau melihat bangunan mencakar langit di Lord Howe island, yang hanya 11km panjang dan kelebaran maksimum 2.8km. Nyanyian burung memenuhi udara yang bersih dan muka bumi berbukit yang subur meninggi di sekeliling anda. Hanya 300 orang tinggal tetap di sini dan kampung yang mempesonakan ini hanya ada satu jalan. Berbasikal merupakan cara terbaik untuk bergerak di sekeliling pulau, yang kebanyakannya dilindungi sebagai taman marin dan hutan hujan subtropikal.

Terbentuk jutaan tahun dahulu melalui aktiviti gunung berapi submarin, sistem ekologi luar biasa Lord Howe termasuk pantai putih yang tidak tercemar dan lagun akuamarin dipagari terumbu karang paling selatan di dunia. Redah ke dalam dan luar pantai untuk snorkel dengan ikan biru, ikan angel dan ikan parrot dengan warna pelangi serta terumbu karang yang sangat besar berwarna biru, hijau, kuning, merah dan ungu. Semakin jauh ke arah laut terdapat lebih daripada 50 tempat selam skuba yang penuh dengan penyu hijau dan ikan serta terumbu karang yang berwarna-warni. Bahagian lain pulau tersebut pula terkenal untuk meluncur dan memancing, dan ketika air surut anda boleh memberi ikan makan dengan tangan anda dari Ned’s Beach.

Di pedalaman, pulau ini didominasi oleh puncak gunung berapi Mt Gower dan Mt Lidgbird. Anda boleh mendaki Mt Gower dengan mengikuti pendakian berpandu yang mencabar dan termasuk aktiviti memanjat ke puncak dengan bantuan tali. Terdapat juga banyak laluan yang lebih mudah dan melingkari melalui pemandangan hebat. Daki melalui palma kentia ke Malabar Hill, di mana cenuramnya menjunam ke lautan. Lalui jalan berliku ke Transit Hill untuk melihat pandangan panorama merentasi pulau atau berjalan terus ke Blinky Beach, yang digemari penduduk setempat untuk ‘champagne surf’.

Flora dan faunanya yang sukar ditemui dan mengujakan termasuk 64 spesis unik tumbuhan dan lebih daripada 130 spesis burung. Lihat ayam hutan yang tidak boleh terbang, sejenis spesis unik terancam di pulau ini. Saksikan burung tropikal berekor merah saling berpacaran dengan membuat balik kuang ke belakang dan bergerak sepanjang cenuram melewati koloni burung laut. Pokok pine Norfolk Island membesar sekitar pantai lagun dan anda akan menemui paku pakis subur dan liken seumpama janggut di atas hutan berkabus Mt Gower.

Sepertimana alam semula jadinya yang menawan, Lord Howe Island juga mempunyai padang golf yang indah, spa harian untuk memanjakan diri dan barisan pilihan makanan dan penginapan. Berpesta dengan hidangan ikan yang segar ditangkap di bawah rumpun palma atau nikmati daging yang diternak dan sayuran yang ditanam oleh penduduk tempatan di restoran kelas tinggi pulau ini. Pada penghujung hari, bermalam di penginapan mewah, apartmen berdepan laut ataupun di pusat peranginan yang memiliki segala kemudahan.

Syurga semula jadi ini sempurna untuk apa jua tujuan seperti percutian romantik, percutian santai bersama rakan-rakan atau percutian penuh gembira bersama keluarga.

Idea Australia selanjutnya