Cerita purba Mungo

Cerita purba Mungo

Terokai landskap bulan dan lebih daripada 40,000 tahun budaya Orang Asli di Taman Negara Mungo yang tersenarai dalam Warisan Dunia.
Anda tidak akan melihat banyak landskap pra-sejarah yang begitu tandus dan suram seperti di Taman Negara Mungo. Landskap di sini yang berketak-ketak dengan singkapan dan pasir yang bergerak merupakan sebahagian daripada Kawasan Warisan Dunia Willandra Lakes iaitu satu deretan tasik kering yang pada suatu masa dahulu terbentang di antara Willandra Creek dan Lachlan River.

Mungkin sudah lebih daripada 14,000 tahun dahulu sejak Lake Mungo di New South Wales dipenuhi air. Tapi suasana di kawasan pesisirnya yang berupa rantaian gumuk putih sejauh 33-kilometer dan dikenali sebagai Walls of China tentu akan kekal dalam imaginasi anda. Jangan ketinggalan menyaksikan suasana matahari terbenam yang menakjubkan apabila rantaian ini bertukar menjadi warna kuning, jingga dan merah tua wain.

Tempat ini ialah impian pakar bidang paleontologi dan merupakan salah sebuah tapak pembakaran mayat paling penting di dunia. Di sinilah peninggalan mayat wanita Mungo dan lelaki Mungo yang dibakar dan telah berusia 40,000 tahun ditemui. Lawati taman ini dengan pemandu pelancong Orang Asli dan lihat tempat hujan dan angin membongkar pendiang dan perdiangan purba yang penuh dengan serpihan telur itik, peralatan batu, cangkerang dan tulang ikan. Periksa keratan pokok eucalyptus yang difosilkan dan tulang haiwan marsupium yang telah lama mati termasuklah wombat bersaiz kerbau yang telah pupus serta kanggaru gergasi.

Ketahui tentang makanan asli, ubat asli dan orang Barkindji yang hidup bergantung kepada flora dan fauna tempat ini sejak sebelum sejarah bermula lagi dalam satu lawatan Orang Asli. Atau berjalan di belukar dan berbasikal lasak di kawasan rupa bumi yang dimamah masa sambil memerhati kehadiran kanggaru merah dan burung helang dengan ekor berbentuk baji. Pada sebelah petang, beristirehat dengan lagu dan cerita di bawah bintang di hadapan unggun api di tempat perkhemahan Mungo Lodge yang berdekatan.

Cerita purba Mungo ialah cerita yang tidak mungkin anda lupakan.

 

Idea Australia selanjutnya