Port Stephens, New South Wales

Port Stephens, NSW. © Tourism Australia

Port Stephens, New South Wales

Port Stephens merupakan pelabuhan semula jadi yang besar di Hunter Region New South Wales yang terletak kira-kira dua setengah jam perjalanan ke utara Sydney. Dengan 26 pantai berpasir, teluk dengan saiz dua kali ganda Sydney Harbour dan semenanjung bergunung serta hutan hujan, Port Stephens merupakan destinasi percutian yang sempurna. Rantau Port Stephens terdiri daripada tiga kawasan utama: Semenanjung Tomaree, Semenanjung Tilligerry dan Golden Bight, kesemuanya dikelilingi oleh Teluk Port Stephens yang menakjubkan. Di sini anda boleh menaiki kenderaan pacuan empat roda di bukit pasir, berenang bersama ikan lumba-lumba, meluncur dan bersnorkel atau menerokai alam semula jadi di taman negara bertaraf dunia.

Port Stephens, NSW
Port Stephens, NSW

Pantai-pantai Port Stephens

Port Stephens merupakan taman permainan akuatik yang terkenal dengan pantai keemasannya yang tidak sesak. Di lingkungan teduhan Hawkes Bay terdapat pantai serta tasik yang tenang yang sesuai untuk berenang, berkayak dan belayar. Boat Harbour, One Mile Beach, Fingal Bay, Shoal Bay, Little Beach dan Birubi Beach (Stockton Beach) merupakan tempat yang sesuai untuk keluarga dan kanak-kanak. Pantai ditiup angin seperti Zenith, Wreck, Box dan Samurai adalah untuk peluncur yang lebih berpengalaman. Lihat penguin penghuni Port Stephens di Dutchman’s Bay. Rasailah pengalaman menyelam skuba dan terokai gua laut serta bangkai kapal di Fly Point Marine Park atau cuba memancing berdekatan dengan pantai.

Shoal Bay, NSW
Shoal Bay, NSW

Alam semula jadi di Port Stephens

Memandu ke Nelson Head Lighthouse atau berjalan di sepanjang pantai menuju ke puncak Tomaree Headland untuk melihat pemandangan yang menakjubkan kepulauan pesisir pantainya. Tomaree National Park memiliki laluan berjalan kaki yang hebat di sepanjang garis pantai berbatu menerusi hutan belukar pesisiran pantai, bukit pasir dan hutan. Gan Gan Hill merupakan tempat meninjau paling tinggi di Port Stephens dengan pemandangan seluruh rantau menerusi Newcastle di selatan dan Myall Lakes di utara. Jelajahi Tilligerry Peninsula dan lawati Tilligerry Habitat State Reserve. Bersantai dengan berjalan kaki dan melihat lambakan hidupan liar, tempat ini merupakan lokasi sempurna untuk berehat dan menenangkan minda.

Whale watching, NSW
Memerhati ikan paus, NSW

Hidupan liar di Port Stephens

Port Stephens juga dikenali sebagai 'ibu kota memerhati ikan lumba-lumba Australia’. Pelayaran pesiaran dari Nelson Bay menyediakan peluang untuk mendekati haiwan ini dan beberapa operator pelancongan malah menawarkan peluang untuk berenang bersama ikan lumba-lumba ini. Pada musim sejuk, perairan di Port Stephens merupakan antara tempat terbaik di Australia untuk melihat kelompok ikan paus kelasa yang sedang berhijrah. Di Australian Shark and Ray Centre, anda dapat melihat pelbagai hidupan marin yang menakjubkan dan memberi makan ikan jerung. Tilligerry Habitat State Reserve merupakan salah satu tempat terbaik di Australia untuk melihat koala di dalam habitat semula jadinya.

Stockton Blight Sand Dunes, NSW
Stockton Blight Sand Dunes, NSW

Sekitar Port Stephens

Stockton Bight Sand Dunes yang menakjubkan (Worimi Conservation Lands) berdekatan dengan Anna Bay menawarkan lawatan 4WD, berbasikal kuad, luncur pasir, menunggang kuda dan unta. Lawati Tin City, di mana filem ‘Mad Max’ dirakamkan; atau lawati bangunan bersejarah Raymond Terrace. Hawks Nest merupakan salah satu pintu masuk ke Myall Lakes National Park yang terkenal dengan percutian rumah botnya. Naiki feri ke Tea Gardens dan terokai kawasan Port Stephens yang di sebelah sini pula. Berhampiran tempat ini, anda akan menemui pantai lautan dan tempat memancing yang hebat di Myall River. Sertai lawatan sehari ke Broughton Island atau lawati koloni singa laut di Cabbage Tree Island.

Fresh seafood, NSW
Makanan laut segar, NSW

Acara-acara di Port Stephens

Sepanjang tahun, rantau Port Stephens mempersembahkan pelbagai acara dan festival dengan peluang untuk merasai sendiri budaya rantau ini serta mencuba makanan lazat seperti tiram yang banyak airnya, makanan laut segar, makadamia, buah tin, buah zaitun, wain dan bir butik. Festival of the Sea dan Nelson Bay Foreshore Festival diadakan pada bulan Februari; Myall Prawn Festival pada bulan Mac; Karuah Oyster Festival pada bulan April; Blue Water Country Music Festival pada bulan Jun; Clans on the Coast Celtic Festival pada bulan September dan Tastes of the Bay Food and Wine Festival pada bulan November.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia