Arnhem Land, Wilayah Utara

Arnhemland, NT.©Tourism Australia

Arnhem Land, Wilayah Utara

Bersempadan dengan Kakadu National Park, Arafura Sea dan Gulf of Carpentaria, Arnhem Land adalah hutan belantara belum tercemar yang luas dan kaya dengan budaya Orang Asli.

Kaum Yolngu adalah penduduk Arnhem Land dan telah mendiami wilayah ini selama sekurang-kurangnya 60,000 tahun. Kaum Yolngu mengekalkan hubungan budaya dan spiritual yang kuat kepada tanah dan anda akan mengalami pengalaman peribumi yang tulen. Inilah tempatnya di mana alat muzik yang terkenal di Australia, didgeridoo, berasal.

Pemandangan Arnhem Land cantik dan pelbagai, dengan persisiran pantai yang berbatu, pulau-pulau terpencil, sungai-sungai yang penuh dengan ikan, hutan hujan yang subur, tubiran yang menjulang tinggi dan kawasan hutan savana. Hidupan liar berkelimpahan di seluruh Arnhem Land, termasuk buaya air masin. Ia menyediakan pemuliharaan habitat yang penting untuk dugong, penyu bersarang dan burung berhijrah.

Kawasan ini juga merupakan salah satu destinasi memancing yang terbaik di dunia. Sertai carter memancing di laut dalam atau melayari kawasan pedalaman di muara pasang surut untuk mencari ikan barramundi yang terkenal.

Di sebelah barat Arnhem Land adalah Gunbalanya (Oenpelli). Datanglah untuk melihat artis sedang tekun bekerja dan untuk membeli bakul dan lukisan di Pusat Kesenian dan Kraf Injalak yang terkenal. Sertai lawatan yang diketuai oleh juru pandu orang asli ke Injalak Hill untuk melihat seni batu purba dan mendengar kisah-kisah Dreamtime. Sertai lawatan makanan asli dan ketahui bagaimana orang asli hidup dari hasil tanah.

Terdapat beberapa pusat kesenian peribumi yang terkenal di Arnhem Land, termasuk masyarakat kaum Maningrida dan Yirrkala, hanya di luar pekan di pesisir pantai Nhulunbuy di Gove Peninsula. Di sini anda juga boleh membuat beberapa lawatan budaya berserta juru pandu orang asli ke Nanydjaka (Cape Arnhem), pantai pasir putih dan air biru, hanya beberapa jam memandu dari Nhulunbuy. Airnya yang jernih sesuai untuk selam skuba dan bersnorkel.

Terdapat juga banyak tempat bersejarah yang penting di Arnhem Land, termasuk runtuhan penempatan awal Eropah di Garig Gunak Barlu National Park di Cobourg Peninsula yang terpencil itu. Persekitaran yang melingkungi Cobourg Marine Park menyediakan habitat yang sesuai untuk beribu-ribu spesies burung.

Sepanjang tahun, landskap Arnhem Land mengalami perubahan yang menakjubkan. Masa yang paling popular untuk melawat adalah pada musim kemarau (April hingga September). Pada musim hujan, keadaan cuaca sangat dramatik dan beberapa bahagian taman ditutup. Lawatan helikopter dan penerbangan pesawat ringan adalah satu lagi cara untuk melawat kawasan yang luas terbentang.

Penginapan di Arnhem Land adalah terhad, tetapi terdapat beberapa telatap belantara yang baik di seluruh wilayah ini. Anda juga boleh bermalam di bawah sinaran bintang di salah satu kem terpencil yang banyak di Arnhem Land.

Penerbangan harian menghubungkan Nhulunbuy dengan Cairns dan Darwin. Wilayah ini juga boleh dikunjungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda di sepanjang Central Arnhem Road yang menghubungkannya ke Stuart Highway di selatan Katherine. Laluan dari Darwin ke Jabiru adalah melalui Arnhem Highway. Laluan dari selatan adalah melalui Kakadu Highway.

Untuk melawat Arnhem Land anda memerlukan permit dari Majlis Tanah Utara. Menyertai lawatan yang dianjurkan dengan pengendali yang mempunyai kebenaran untuk memasuki wilayah ini adalah amat disyorkan.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia