Katherine, Wilayah Utara

Katherine Gorge, Nitmiluk National Park, NT. © Tourism NT

Katherine, Wilayah Utara

Kawasan Katherine di Wilayah Utara terbentang luas dari Dunmarra di selatan hingga kawasan Daly River di utara. Secara keseluruhannya ia meliputi kawasan seluas 480,000 kilometer persegi. Dari timur ke barat, ia menyentuh kedua-dua sempadan Queensland dan Australia Barat. Katherine dan kawasan kelilingnya adalah tempat yang perlu dikunjungi untuk pengembaraan di pedalaman serta mengetahui kehidupan orang asli yang sebenar.

Pekan Katherine adalah pusat aktiviti wilayah ini dan menempatkan muzium, galeri seni dan tempat bersejarah. Ia adalah tempat yang sesuai untuk membeli hasil seni dan artifak tulen Orang Asli, atau cipta sendiri lukisan titik anda untuk dibawa pulang.

Katherine Museum mempunyai paparan foto sejarah wilayah ini yang menarik. Tidak jauh di luar pekan ini terdapat Springvale Homestead, rumah ladang tertua di Wilayah Utara yang berada dalam keadaan asalnya. Gua Cutta Cutta yang terletak berhampiran merupakan rangkaian gua kristal bergemerlapan serta tiang batu kapur yang yang telah wujud sejak 500 juta tahun yang lalu.

Nikmati hidangan tradisional makanan asli di sekeliling unggun api di bawah langit cerah yang dipenuhi bintang. Nikmati renangan yang menyegarkan di Katherine Hot Springs. Di selatan pekan pula anda boleh menyaksikan Mataranka Thermal Pools dan Bitter Springs yang mengagumkan.

Tempat yang paling istimewa di wilayah Katherine ialah Nitmiluk (Katherine Gorge) National Park. Taman ini terletak di hujung selatan Kakadu National Park dan Arnhem Land yang dimiliki oleh Orang Asli. Di sini anda akan menemui landskap yang terdiri daripada cenuram berceranggah, air terjun yang mengagumkan dan hutan hujan yang subur menghijau. Air terjun Edith Falls mengalir sepanjang tahun dan merupakan tempat yang amat sesuai untuk berenang, berkelah dan berkhemah.

Ikuti pelayaran persiaran di sepanjang Katherine Gorge yang menakjubkan, iaitu rangkaian gaung batu pasir yang terbentang di sepanjang Katherine River yang telah diukir selama berjuta-juta tahun lamanya. Anda boleh berkhemah di tepi sungai mati dan memancing ikan barramundi di laluan air yang jernih.

Cara terbaik untuk menjelajahi kehebatan gaung ini adalah dengan melawatinya bersama kaum Jawoyn, yang mengendalikan Nitmiluk National Park bersama-sama Suruhanjaya Taman dan Hidupan Liar Wilayah Utara. Budaya Orang Asli masih diamalkan di kawasan ini dan terdapat banyak tempat seni batu yang penting di seluruh taman ini.

Jatbula Trail selama lima hari yang lebih mencabar adalah laluan 59 kilometer yang mengikuti baris seni kata lagu kaum Jawoyn yang merupakan penduduk tempatan di sini. Saksikan seluruh panorama hebat ini dari atas, dengan penerbangan berpemandangan.

Kawasan Katherine menjadi tuan rumah untuk sebilangan acara sepanjang bulan-bulan yang lebih kering dari bulan Mei hingga Ogos. Lihat Budaya Orang Asli di Walking with Spirits Festival dan Barunga Festival. Kenali penduduk tempatan dengan bergaul dengan mereka semasa pertunjukan Katherine Show dan Katherine Festival. Sejumlah pertandingan memancing peringkat daerah akan menarik minat para penggemar kegiatan ini.

Dari Katherine, ikuti Savannah Way ke Gulf of Carpentaria dan lawati kampung nelayan yang terpencil seperti Borroloola dan Barranyi (North Island) National Park.

Katherine terletak kira-kira 300 km ke selatan Darwin dan kira-kira 1200 kilometer ke utara Alice Springs. Perjalanan dari Katherine ke Kakadu, Litchfield dan Gregory National Parks mengambil beberapa jam pemanduan.

Katherine menawarkan kemudahan penginapan dari gaya pangsapuri dan motel mahal hingga telatap pengembara beg galas dan tapak perkhemahan. Perjalanan kereta api Ghan berhenti di Katherine dalam perjalanannya dari Adelaide ke Darwin.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia