Keseronokan berpesta pada musim kering

Keseronokan berpesta pada musim kering

Di kebanyakan bahagian lain di dunia, musim dingin bermaksud anda perlu memakai pakaian berlapis-lapis dan duduk di dalam rumah. Ini tidak berlaku di Wilayah Utara Australia, apabila musim dingin dari Mei hingga Oktober adalah masa yang cukup baik untuk berpesta di luar. Berpesta berbumbungkan bintang-bintang di angkasa dalam pesta muzik Bass in the Grass Darwin. Riuh rendah bersorak untuk unta kegemaran anda dalam Piala Unta Imparja di Alice Springs. Temui rentak purba budaya Orang Asli di Pesta Garma yang termasyhur di seluruh dunia di Arnhem Land. Siang hari yang panas dan malam yang dingin di wilayah ini menjadikannya tuan rumah bagi pelbagai perayaan, dari yang aneh hinggalah yang berunsur keagamaan.

Perayaan bermula dengan Pesta Darwin pada bulan Mei – muzik, tarian, teater, komedi, kabaret, filem dan seni visual selama 18 hari. Para seniman dari seluruh pelosok dunia berkumpul di sekitar Taman Botani George Brown memberi sentuhan budaya Top End yang memukau di bawah pepohon yang disinari pelita.

Nikmati rentak kugiran hebat di Bass in the Grass, pesta muzik terbesar di Wilayah ini, yang diadakan di Amfiteater Darwin pada penghujung bulan Mei. Kemudian selami budaya kreatif bandar raya ini dalam Pesta Fringe bulan Jun, dua minggu yang dipenuhi seminar, aksi udara, filem Orang Asli, piala puisi, mainan muzik jalanan, burlesk dan pameran seni.

Sertai penduduk tempatan dengan tong dan sepinggan sate yang masih panas di Pasar Senja Pantai Mindil di Darwin dari Mei hingga Oktober. Atau saksikan mereka membina bot daripada tin bir atau minuman ringan di Regata Tin Bir Darwin pada bulan Julai. Acara sukan olok-olok ini dimulakan sebagai cara kreatif untuk membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh para pekerja yang membina semula Darwin setelah ia dilanda Siklon Tracey. Hari ini, bot-bot yang dibina berukuran hingga 12 meter panjang dan membawa senjata api serius – bom tepung dan pistol air. Beratus-ratus penduduk tempatan bersorak dalam acara ini yang antara lain menonjolkan perlumbaan bot tanpa sebarang peraturan yang dipanggil Battle of Mindil dan pertandingan tarik tali di tepi pantai.

Di Wilayah Utara, mereka amat gemar mempersendakan diri mereka sendiri. Sifat ini menjelaskan kenapa wujudnya Henley-on-Todd – regata layar dan mendayung yang diadakan pada bulan Ogos di atas dasar sungai yang telah kering di Alice Springs. Atau Piala Unta Imparja pada bulan Julai, yang memperlihatkan unta yang kuat meragam menyertai perlumbaan di sekitar laluan berdebu di trek pedalaman. Penari gelek, lumba beca, tunggangan, cabaran Piala Unta Tuan dan Puan, gerai makanan dan bar memeriahkan lagi persekitaran karnival ini.

Musim dingin di Wilayah Utara ini juga tiba pada masa yang tepat untuk menghayati warna, tradisi dan persembahan pesta Orang Asli. Jangan ketinggalan untuk menyertai Pesta Garma pada bulan Ogos – perayaan lima hari budaya Yolngu yang bertenaga di Gulkula di timur laut Arnhem Land. Kumpulan-kumpulan suku Orang Asli tempatan dan berjiran berkumpul untuk menyanyikan lagu tradisional Yolngu, tarian upacara, reka bentuk suku, membuat lembing dan berburu. Pesta ini bertempat di hutan stringybark berlatarkan pemandangan Teluk Carpentaria, dan setiap amalan yang dilakukan menceritakan kembali kisah Yolngu purba tempat suci ini.

Ketahui mengenai kaum yang bertutur dalam bahasa Kunwinjku di barat Arnhem Land dalam Pesta Desa Stone pada bulan Ogos, yang turut menonjolkan karnival bola sepak, penerbangan untuk melihat pemandangan indah dan demonstrasi didjeridu. Kemudian hayati tradisi kebudayaan Orang Asli di Kakadu dalam Pesta Mahbilil di Lake Jabiru setiap bulan September. Perayaan sehari ini melibatkan tarian tradisional, gerai pasar, makanan belukar dan pertandingan memasak Angsa Murai yang unik.

Setiap dua haribulan Mei, peminat sukan boleh menyertai semangat pertandingan persahabatan dalam Sukan Arafura, yang membolehkan para pemenang baru muncul dari seluruh Asia-Pasifik untuk menimba pengalaman dan memperagakan kemahiran mereka. Bertentangan dengan kalendar perlumbaan di kebanyakan negara lain, musim perlumbaan Wilayah Utara bermula pada musim dingin. Anda akan memerlukan stamina yang banyak untuk Karnival Piala Darwin pada bulan Julai – urutan perlumbaan, majlis koktel dan tari menari gala yang anggun. Ia berakhir pada Hari Piala Darwin, dengan dihadiri 19,000 orang yang penuh sesak hingga ada yang tertekan pada susur, mereka yang terpesona dan topi-topi yang cantik dan unik menonjol di kalangan para penonton ini.

Lupakan hibernasi. Musim dingin ini, keluar dan hayati budaya orang berada dan jenaka aneh di bahagian Australia ini.

Idea Australia selanjutnya