Litchfield National Park, Wilayah Utara

Litchfield National Park, Wilayah Utara

Litchfield National Park yang terkenal dengan kawasan hutan yang subur, air terjun menakjubkan, kolam terjun yang berkilau serta busut anai-anai yang tinggi merupakan destinasi yang semakin popular dari Darwin. Bagi mereka yang tinggal di Northern Territory, ia hanyalah satu perjalanan singkat, iaitu 2 jam dari sini. Apatah lagi disebabkan semua tarikan semula jadinya – termasuk air terjun Buley Rockhole serta Florence Tolmer dan Wangi Fallsyang mempesonakan begitu mudah dikunjungi dari jalan utama Litchfield. Saksikan kehebatan sarang anai-anai yang dibina dengan begitu teliti, berenang di dalam kolam yang dikelilingi rimbunan mengkuang dan bersiar-siarlah di sepanjang laluan yang cantik - semuanya boleh dilakukan dalam sehari. Anda juga boleh tinggal, berkhemah atau menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kawasan yang lebih terpencil di taman ini.

Laluan utama ke Litchfield National Park terletak di Stuart Highway yang berturap, melalui bandar kecil Batchelor. Anda juga boleh mengambil jalan berbatu melepasi Berry Springs Nature Reserve, namun ia kadangkala ditutup semasa musim hujan dari November hingga April. Sekiranya anda lebih suka melihat pemandangan daripada memandu, ikutilah salah satu pakej pelancongan dari Darwin.

Beberapa kilometer dari pintu masuk taman, anda akan melihat padang sarang gergasi anai-anai yang seakan-akan batu nisan. Berjuta anai-anai telah membina sarang-sarang ini berdasarkan paksi utara-selatan untuk melindungi bahagian dalam sarang dari bahang matahari yang terik. Lihatlah sendiri keajaiban binaan mereka– kebanyakannya setinggi lebih dari 2m– dari laluan kayu berhampiran.

Dari sini, deruan air terjun seakan-akan memanggil anda keluar dari jalan berturap. Berenang di bawah aliran deras berkembar di Florence Falls atau terapung sambil merenung pemandangan yang dipenuhi hutan pokok menjalar. Berkelah sambil ditemani kawanan walaroo dan walabi telinga pendek dan mendakilah ke tempat tinjauan yang menakjubkan. Dari sini, Florence Creek Walk sepanjang 1.5km membawa anda kepada Buley Rockhole yang popular, terdiri daripada beberapa kolam spa semula jadi dan lubuk pusar yang dipinggiri kawasan belukar yang damai. Sambil anda meneruskan perjalanan, jangan lupa untuk melihat Tolmer Falls yang memancutkan airnya dari dua tubir menjulang dan ambil laluan berjalan kaki Tolmer Falls Walk yang mudah sambil melalui kawasan berbatu pasir dengan rona-rona kekaratan.

Dari Greenant Creek yang terletak berhampiran, laluan pulang berjalan kaki mengambil masa 90 minit untuk sampai ke puncak Tjaetaba Falls, sebuah kawasan suci kaum Aboriginal. Tempat menarik seterusnya ialah Wangi Falls, air terjun Litchfield yang terbesar dan paling mudah dikunjungi. Berenang di dalam kolamnya, berkelah sambil ditemani kelawar buah yang bertenggek dan berjalanlah ke kawasan pemerhatian di bahagian bawah air terjun. Dari sini, perjalanan Wangi Falls Walk diteruskan melalui hutan monsun dan mendaki tubir batu. Meneruskan perjalanan, laluan ke Walker Creek menyediakan lapan kawasan perkhemahan lata, kawasan berkelah serta pelbagai kawasan berenang yang indah. Tarikan terakhir dari jalan berturap ialah Bamboo Creek, iaitu bekas tapak lombong bijih timah yang sudah ditinggalkan.

Di atas laluan tidak berturap, anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda ke kubah batu pasir yang telah mengalami proses luluhawa di The Lost City atau Blythe Homestead Ruins yang bersejarah, yang juga merupakan bekas tapak lombong bijih timah dan tembaga. Kunjungi Surprise Creeks Fall atau Tjaynera (Sandy Creek) di mana laluan berpinggir cyad menyusur sepanjang lembah ke kolam mandi. Untuk mendapatkan perspektif yang berbeza, naiki helikopter untuk pemandangan menawan atau ikuti pelayaran hidupan liar di sepanjang Reynolds River. Habiskan dua atau tiga hari mendaki penara batu pasir yang mencabar sepanjang 39km di Tabletop Track, berkhemah semalaman di Florence Falls, Tabletop Swamp atau Greenant Creek.

Untuk menikmati pengembaraan mencabar yang lebih dekat dengan tarikan utama dan memakan masa berhatri-hari, dirikan khemah di kawasan perkhemahan yang menawan berhampiran Wangi dan Florence Falls, Buley, Rockhole dan Walker Creek. Ataupun, tinggal semalaman di Batchelor atau pulang ke Darwin di mana anda boleh berkongsi pengalaman pengembaraan anda di Litchfield dengan penduduk yang ramah.

 

Idea Australia selanjutnya