Glass House Mountains, Queensland

Menaiki belon melalui Glass House Mountains, QLD. © Tourism Queensland

Glass House Mountains, Queensland

Glass House Mountains adalah kumpulan sebelas buah bukit yang secara mendadak muncul dari dataran pantai di pedalaman Sunshine Coast Queensland.

Gunung-ganang yang dinamakan oleh Kapten James Cook pada tahun 1770 sebagai puncak yang mengingatkan beliau tentang relau kaca di negara asalnya Yorkshire. Banjaran ini pada asalnya terbentuk daripada lahar cair yang disejukkan dalam teras gunung berapi sekitar 26 juta tahun yang lalu.

Setiap puncak dilindungi dalam lingkungan Glass House Mountains National Park. Nama-nama gunung di banjaran ini adalah Mount Beerburrum, Mount Beerwah, Mount Coochin, Mount Coonowrin (Crookneck), Mount Elimbah (The Saddleback), Mount Ngungun, Mount Tibberoowuccum, Mount Tibrogargan, Mount Tunbubudla (The Twins), Wild Horse Mountain (Round Mountain) dan Mount Miketeebumulgrai.

Puncak gunung berapi berceranggah ini yang berdiri di atas landskap sekitarnya disenaraikan sebagai landskap penting negara di Queensland dan Daftar Warisan Kebangsaan.

Puncak ini juga adalah penting dari segi budaya penduduk tradisional, kaum Gubbi Gubbi. Menurut kisah dongeng Orang Asli, gunung-gunung ini berasal daripada ahli-ahli suatu keluarga, dengan Mount Tibrogargan merupakan bapanya dan Mount Beerwah ibunya. Semua gunung yang lain adalah anak lelaki dan perempuan dan yang sulung ialah Mount Coonowrin. Gunung tertinggi ialah Mount Beerwah. Kawasan Glass House Mountains adalah tempat perjumpaan khas di mana kaum Orang Asli beramai-ramai berkumpul untuk upacara dan berdagang. Banyak tapak-tapak upacara masih wujud sehingga hari ini.

Glass House Mountains telah digunakan untuk aktiviti meredah belukar dan mendaki selama lebih daripada satu abad. Hanya Tibrogargan dan Ngungun sahaja yang dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti meredah belukar dan mendaki. Denai jalan kaki, daripada yang mudah sehingga yang sangat mencabar, membawa anda melalui hutan terbuka ke tempat peninjau menawarkan pemandangan paling indah.

Denai Peninjau Glass House Mountains menawarkan pemandangan seluruh Caloundra, Maroochydore, Brisbane dan Moreton Island. Gunung-ganang ini sangat sesuai untuk aktiviti mendaki tembok batu dan menakik turun tebing tinggi. Anda juga boleh menunggang kuda di rangkaian denai yang dikhaskan.

Hutan eucalypt terbuka dan tumbuh-tumbuhan rawa, yang dahulunya pernah meliputi dataran pantai, menjadi tempat tinggal pelbagai haiwan dan tumbuhan asal tempat ini. Terdapat juga laluan singkat tambahan dengan pemandangan menakjubkan melalui Glass House Mountains National Park berhampiran Beerburrum State Forest.

Jadikan Glass House Mountains Interpretive Centre sebagai hentian pertama anda untuk mengetahui sejarah dan tempat tarikan setempat.

Berhampiran dengan Beerwah terdapat Zoo Australia yang terkenal di dunia di mana anda boleh bertemu hidupan liar asli Australia. Setelah anda selesai melawat tempat-tempat berkenaan, anda boleh menikmati lawatan ke pekan bersejarah dan desa yang menarik di kawasan ini seperti Mapleton, Montville dan Maleny, yang menawarkan denai hutan hujan, hasil tani segar serta kerja seni dan kraf tempatan. Pemanduan di Blackall Range memberikan antara pemandangan yang paling indah di Australia dan menyediakan pandangan dari atas Glasshouse Mountains ke arah pantai.

Glass House Mountains National Park sejauh kira-kira 70 kilometer atau satu jam memandu ke utara Brisbane. Glasshouse Mountains juga menawarkan laluan mudah ke pelbagai tempat tarikan utama Sunshine Coast seperti Fraser Island, Caloundra, Noosa dan Hervey Bay yang tersenarai dalam Warisan Dunia.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia