Menyelam sambil mengintip di Queensland

Menyelam sambil mengintip di Queensland

Misi anda: Cari tempat menyelam terunggul di Queensland. Liputan anda: laut.
Sebagai pengembara lasak, anda mungkin tidak sabar untuk memakai topeng menyelam dan kaki sirip dan menyahut cabaran tugasan ini. Ia tidak begitu sukar, jika anda mempertimbangkan syurga damai, aneka warna yang menunggu anda di dalam laut. Sama ada anda penyelam berpengalaman atau belum pernah menyedut nafas di dalam air, anda pasti amat menyukai pemandangan ejen perisikan ini: aneka ragam terumbu, anak ikan, karang, kai dan bangkai kapal yang dipenuhi hidupan marin. Walau bagaimanapun, semasa merancang misi anda, jangan lupa bahawa air paling hening dari Jun ke Ogos dan anda mungkin perlu melindungi diri anda daripada penyengat dari November ke Mei.

Untuk benar-benar menghayati alam dalam laut ini, anda perlu mengucapkan selamat tinggal sebentar kepada dunia daratan. Ingatlah, Queensland mempunyai Terumbu Sawar Besar di muka pintunya. Mengunjur sepanjang pantai sejauh lebih 2,000 kilometer, keajaiban yang tersenarai sebagai Warisan Dunia ini adalah karang hidup yang paling luas di planet ini.

Memandangkan ia begitu besar, soalnya, di mana anda perlu mulakan misi anda? Bertindak bijak dan masuk di tengah-tengah pelancong yang gelap akibat selaran matahari di Cairns, pintu masuk paling popular di terumbu ini. Di sini anda akan mendapati berbilang sekolah menyelam dan lawatan sehari atau penginapan di bot. Anda boleh bersnorkel, menyelam di pinggir para-para benua di Terumbu Agincourt, memberi makan kod gergasi di Cod Hole atau menerokai perairan yang mengelilingi kai karang yang terpencil. Jika anda ingin menukar pangkalan anda, naiki bot penyelam untuk ke pusat peranginan di Pulau Green, Fitzroy, Lizard, Dunk atau Bedarra. Anda boleh menyelam teroka Laut Coral Sea di sebelah utara Port Douglas, di mana hutan hujan dan terumbu bertemu.

Apabila tiba masanya untuk beralih ke selatan, bertolak ke Townsville di tepi pantai dan Pulau Magnetic yang indah. Dari sini anda boleh menerokai bangkai kapal SS Yongala, yang tenggelam pada tahun 1911, di samping itu jelajahi ngarai, gua, galur dan lakukan selaman tembok yang penuh sensasi di bahagian Terumbu Sawar Besar ini. Seperti dalam usaha pengintipan, tempat-tempat menyelam diberi nama jolokan seperti Fish Bowl yang bermaksud Balang Ikan, Corridor, Zoo, Magic Passage yang bermaksud Laluan Ajaib, Cabbage Patch yang bermaksud Tompok Kubis dan Atlantis.

Setibanya anda di Whitsundays, tempat dan aktiviti yang ditawarkan semakin hebat – 74 pulau tropika yang ditaburi pepohon palma, sebahagian besarnya tidak didiami manusia. Menghala ke Pantai Whitehaven di Pulau Hamilton, pantai pasir silika putih bersih yang sangat indah dikelilingi air bening berwarna firus, ibarat gambar poskad. Dari sini anda boleh membandingkan lokasi terumbu semula jadi yang terpelihara seperti Elizabeth, Black, Fairy, Net, Knuckle, Oublier Reefs dan lain-lain lagi. Selamat berjaya dalam memilih yang terbaik. Air suam kuku di sini membuatkan aktiviti menyelam dan bersnorkel amat selesa dilakukan sepanjang tahun.

Terus menghala ke selatan ke Mackay, yang menawarkan lawatan sehari dan lebih panjang bagi mereka yang suka bersnorkel dan menyelam. Pergi ke Pulau Scawfell yang tidak didiami manusia dan taman karangnya yang murni dan terpelihara atau terokai bangkai kapal 'Llewellyn' bersejarah, yang tidak ditemui hingga setelah 80 tahun ia tenggelam.

Terumbu Karang Sawar Tengah kurang dilawati oleh para pelancong, maka terpulang kepada anda untuk benar-benar menerokai taman karang yang cetek, puncak, terusan, alur, dan gua yang dalam ini. Lebih baik jika anda membawa kamera bawah air – terdapat ular laut zaitun yang berenang berkawan-kawan, di samping spesies yang dalam bahaya dan terancam seperti loggerhead, hawksbill serta penyu hijau, malung, jerung dan pari kola untuk anda lihat.

Terokai Terumbu Capricorn dan Bunker Reefs bersama-sama pengendali aktiviti selam yang berpangkalan di pelabuhan tanah besar Gladstone, atau sebagai tetamu Pulau Heron dan Wilson yang amat dihormati. Di Terumbu Fitzroy anda akan mendapati lagun yang luas dan dilindungi yang dipenuhi dengan tapak sulaiman, ketam, moluska serta lain-lain khazanah laut. Terokai Terumbu Wistari dengan melakukan selaman mengikut arus, berenang melalui gua yang besar di Harrie’s Bommie atau terokai terumbu yang tidak begitu dikenali dekat pulau Keppel dari Yeppoon.

Setibanya anda di pantai seindah lukisan, Pantai Coral terletak di hujung selatan Terumbu Sawar Besar, anda akan merasakan seolah-olah anda telah meninggalkan kehidupan biasa terlalu jauh. Terjun ke dalam air dari pantai di Taman Marin Woongarra yang amat mempesona. Berenang melewati ikan-ikan besar dan ngarai karang yang jelas berhampiran Pulau Lady Elliot dan Lady Musgrave Islands dan jangan ketinggalan untuk melihat tarikan sebenar wilayah ini – penyu laut yang bersarang dan menetas setiap petang di antara November dan Mei di Taman Pemuliharaan Mon Repos.

Anda mungkin telah selesai melawat Terumbu Sawar Besar tetapi misi anda masih belum selesai. Queensland Selatan mempunyai landskap menyelam yang amat berbeza untuk anda terokai. Alam dasar laut ini mempunyai terumbu buatan berasaskan bangkai kapal, ikan pelagik yang besar dan para-para batu yang mengunjur dari Fraser Coast hingga ke Gold Coast. Lihat ikan lelumba yang meluncur, dugong yang sedang meragut rumpair, penyu loggerhead, ikan dan karang terumbu yang berwarna-warni, bahkan juga Yu Pengasuh Kelabu yang sangat sukar dijumpai. Berenang melalui terumbu cetek atau lebih dikenali sebagai bommie dan gua di terumbu Flinders, untuk melihat hidupan marin yang telah menjadikan HMAS Brisbane yang ditenggelamkan sebagai kediaman mereka, atau seterusnya bersnorkel ke pulau pasir kedua terbesar di dunia, Pulau Moreton.

Anda telah berenang ke selatan di sepanjang pesisir pantai Queensland melalui alam marin yang lebih ajaib daripada yang anda pernah bayangkan. Anda telah menyelam di perairan cetek, menyelam mengikut arus, menyelam tembok dan berenang melalui lagun, gua, taman karang dan bangkai kapal. Anda telah bersua muka dengan pari kola, penyu, jerung dan ikan yang aneh-aneh belaka. Anda telah mengharungi lebih banyak pengalaman kembara dasar laut daripada Sean Connery dalam filem Thunderball, namun adakah anda mampu memilih tempat menyelam yang paling unggul di Queensland? Kami kira itu sesuatu yang hampir mustahil.

Idea Australia selanjutnya