Musim bunga di Daintree Rainforest

Musim bunga di Daintree Rainforest

Musim bunga telah berlalu sebanyak lebih daripada 135 juta kali di Daintree yang tersenarai dalam Warisan Dunia yang terletak dua jam ke utara Cairns.  Namun, peristiwa yang berulang-kali terjadi ini tidak menyuramkan kreativiti alam semula jadi.   Seperti mana hutan hujan tropika tertua di dunia, Daintree juga menjadi habitat pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan dunia.  Alamilah kemuncak keindahan ini pada musim bunga yang penuh warna-warni iaitu ketika suhunya sungguh nyaman dan ribut musim hujan belum bermula.  Dengarlah burung berhijrah menyanyi korus bersama-sama pada waktu subuh, berenang di pantai yang tenang dan lihat bunga orkid mekar di tepi hutan. 

Anda boleh masuk ke Daintree dari Cairns, Port Douglas, Cape Tribulation dan Cooktown.  Pergi dan balik pada hari yang sama atau menginap di rumah desa mesra persekitaran yang banyak didapati dalam hutan hujan atau di  Daintree Village yang indah di Daintree River.  Dan lihatlah pelbagai kehidupan di Daintree semasa berjalan di laluan pejalan kaki yang tinggi atau dari salah satu denai di situ.  Lihat rama-rama yang terang warnanya, kanggaru tikus kesturi dan burung kasuari yang pemalu dan merupakan spesies yang terancam yang berleher biru dan mempunyai hiasan kepala diraja.  Anda akan terpegun apabila melihat tumbuhan pakis zamia yang berusia 600 juta tahun dan mempunyai sistem batang bawah tanah yang terbentuk kerana mempertahankan diri dari  dinosaur yang berkeliaran di situ.  Belayar di Daintree River yang dikelilingi pokok bakau dan melepasi buaya dan lihat penyu di dalam air sungai yang jernih dan berkilauan.  Sepertiga katak Australia, spesies marsupium dan reptilia serta hampir dua pertiga spesies kelawar dan rama-rama boleh ditemui di kanopi padat di Daintree. 

Sebahagian besar hutan hujan ini juga adalah habitat kepada lebih kurang 430 spesies burung termasuklah 13 spesies yang tiada di tempat lain di dunia ini.  Bangun dari tidur pada waktu pagi dan dengarlah nyanyian korus burung ini dari rumah di atas pokok atau dengar bunyinya ketika ia terbang menjunam ke sungai pada waktu subuh.  Semasa musim bunga, nyanyian burung ini semakin meninggi. Ia berbuat demikian untuk melindungi kawasan pembiakannya atau untuk menarik perhatian pasangan.  Dengarlah lagu seperti tenor iaitu bunyi burung merpati buah wompoo, panggilan berhantu burung catbird berbintik dan bunyi menguak Kermit nightjar berekor besar.  Dari bulan September, anda boleh melihat burung penghisap madu (honeyeater) yang cantik dengan belakangnya berwarna perang serta burung raja udang Australia.  Burung sewah-sawau (cuckoo) tiba pada bulan November bersama-sama ribut petir dan menambah bunyi panggilan garuknya kepada keadaan bising di pagi hari. 

Di sebelah sana pokok-pokok, Daintree juga mempunyai pantai yang bersih dengan laut tropika yang cetek dan suam airnya.   Anda akan nampak pantai ini berkelompok di utara berdekatan Cape Tribulation, tempat hutan hujan bertemu Great Barrier Reef.  Inilah satu-satunya tempat dua Warisan Dunia bertemu di dunia. Berehat-rehat di Coconut Beach, berbasikal ke Donovans Beach atau berkhemah berdekatan pasir di Noahs Beach.  Untuk pengembaraan yang betul-betul lasak, pandu kenderaan pacuan empat roda di Bloomfield Track ke atau dari Cape Tribulation. 

Untuk benar-benar menghargai landskap purba yang menakjubkan ini, pergi berjalan dengan pemilik tradisi iaitu orang Kuku Yalanji.  Pergi berjalan ditemani pemandu di laluan tradisional di sepanjang Mossman Gorge.  Ketahui cara mereka menggunakan hutan hujan untuk dijadikan makanan, ubat, tempat perlindungan dan kekuatan kerohanian selama lebih daripada 9,000 tahun.  Mengail ikan barramundi dan makan makanan tradisional.  Kunjungi air terjun yang mempunyai kuasa penyembuh suci dan ketahui lima musim berlainan bagi Kuku Yalanji.  Musim bunga bermula pada akhir musim sejuk Buluriji pada bulan September dan berakhir sepanjang musim panas Wungariji pada bulan November. 
 
Kejadian alam semula jadi ini berterusan seperti yang telah dialami berjuta-juta tahun di Daintree.   Musim bunga berulang lagi dan setiap tahun ia makin menyegarkan.

Idea Australia selanjutnya