Tangalooma, Queensland

Tangalooma Wrecks, QLD.© Brisbane Marketing

Tangalooma, Queensland

Tangalooma Island Resort terletak di Moreton Island, kira-kira 40 kilometer di pantai Brisbane.

Moreton Island National Park merangkumi kira-kira 98% keluasan pulau. Pantai putih berpasirnya yang menghiasi tepian laut pulau adalah sesuai untuk aktiviti berenang, menyelam dan memancing. Pinggir baratnya yang teduh adalah lebih tenang, dengan airnya yang jernih menampar pantai. Petempatan tiga pulau ini semuanya terletak di sebelah barat, Kooringal di selatan, Cowan di bahagian tengah dan utara Bulwer.

Pemilik asal kawasan Moreton Bay adalah kaum Ngugi. Nama Orang Asli untuk Tangalooma bermakna 'tempat ikan bertemu'. Moreton Island dipanggil ‘Moorgumpin’ yang bermaksud ‘tempat bukit pasir’. Kapten James Cook menamakan ‘Morton Bay’ pada tahun 1770 sempena Earl of Morton Scotland, yang kemudiannya tersalah eja menjadi ‘Moreton Bay’ dalam terjemahan daripada jurnal beliau.

Dalam tahun-tahun 1950-an, Tangalooma menjadi lokasi antara stesen perikanan ikan paus terbesar di hemisfera selatan. Kini semasa musim penghijrahan ikan paus setiap tahun dari bulan Jun hingga Oktober, anda boleh melihat sendiri ikan besar yang lemah-lembut ini dari dekat dari atas katamaran mewah yang dibina khusus untuk tujuan ini. Moreton Island Lighthouse juga memberikan sudut pandangan yang baik. Untuk mengetahui sejarah pulau tersebut, lawatilah Moreton Island National Park Information Centre yang terletak berdekatan dengan rumah api di salah sebuah kotej penjaga rumah api lama.

Tarikan utama di Tangalooma adalah peluang untuk memberi sendiri makanan kepada ikan lumba-lumba bottlenose liar yang melawati pantai ini pada setiap petang. Tangalooma Island Resort mempunyai program memberi makan berlesen dan merupakan satu-satunya tempat di pantai tersebut yang membenarkan aktiviti memberi makanan kepada ikan lumba-lumba. Ketahui semua perkara tentang haiwan comel ini daripada ahli biologi marin di Dolphin Education Centre.

Sebagai pulau berpasir ketiga terbesar di dunia, Pulau Moreton Island terbentuk daripada pasir semata-mata. Ia merupakan lokasi gumuk pasir pantai tertinggi di dunia, Mount Tempest. Sertailah safari pacuan empat roda ke padang pasir dan naiki toboggan yang menyeronokkan atau menunggang motor kuad di gumuk pasir.

Tangalooma Wrecks merupakan tapak menyelam dan snorkel untuk kawasan kapal karam buatan manusia yang menakjubkan. Kawasan kapal karam ini terletak tidak jauh dari pantai jadi mudah untuk berenang ke sana. Ia juga merupakan tapak yang sesuai untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang indah di Moreton Bay, banjaran gunung tanah besar dan Glass House Mountains.

Moreton Island mempunyai banyak laluan pejalan kaki dan kembara yang membolehkan aktiviti bersiar-siar dalam masa yang singkat hinggalah ke kembara separuh hari. Berjalan kaki adalah antara cara terbaik untuk menghayati keindahan alam sekitar di pulau dan untuk meneroka beberapa habitat hidupan liar yang pelbagai.

Moreton Bay Marine Park terbentang sejauh 125 kilometer di sepanjang pinggir pantai dari Gold Coast ke Caloundra. Taman ini disenaraikan di peringkat antarabangsa sebagai tanah lembap RAMSAR dan menjadi tapak yang sangat penting untuk burung-burung yang berhijrah. Lebih daripada 180 spesies burung berlainan telah direkodkan di Pulau Moreton. Sertailah pelayaran ekologi hidupan liar dan anda mungkin juga dapat melihat dugong liar serta penyu.

Perjalanan ke Tangalooma memakan masa kira-kira sejam dari Brisbane. Anda boleh menaiki pelayaran sehari untuk lawatan, membawa kereta menaik feri harian, atau datang dengan bergayanya sambil menaiki helikopter.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia