Townsville, Queensland

Townsville, Tropika Pertengahan, QLD. © Tourism Queensland & Chris McLennan

Townsville, Queensland

Townsville adalah bandar terbesar di Queensland Utara serta merupakan satu lagi pintu gerbang ke pulau-pulau di Great Barrier Reef. Dengan lebih daripada 320 hari panas setiap tahun, taman negara yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia dan pekan kerubut emas bersejarah, wilayah Townsville menempatkan beberapa landskap semula jadi dan tarikan yang menakjubkan.

Kaum orang asli Bindal dan Wulgurukaba adalah pemilik asal serta penjaga bagi wilayah Townsville ini. Kapten James Cook berlayar melepasi wilayah Townsville dalam pelayaran pertamanya ke Australia pada tahun 1770 dan memberi nama kepada Cape Cleveland dan Magnetic Island.

Granit monolit merah yang dipanggil Castle Hill mendominasi pusat bandar. Berjalan kaki ke puncaknya untuk menikmati pemandangan bandar serta kepulauan sekitar. Ross River, yang mengalir menerusi bandar ini sering digunakan oleh penduduk tempatan untuk berski air, memancing serta berkayak. Bersiar-siarlah di The Strand, sisiran tepian air Townville, yang memiliki pemandangan Coral Sea yang menakjubkan. Kompleks Riverway menawarkan kemudahan rekreasi untuk semua peringkat usia.

Lawati Reef HQ, akuarium terumbu karang terbesar di dunia serta merupakan pusat pendidikan untuk Great Barrier Reef Marine Park Authority. Ia merupakan tempat tinggal ribuan ikan dan terumbu karang serta menjadi hospital khas untuk penyu di Queensland. Di Museum of Tropical Queensland, anda boleh melihat tinggalan HMS Pandora, sebuah kapal perang British.

Ketahui tentang kisah mereka serta lihat hasil karya asli dari kaum Bindal dan Wulgurukaba di Townsville Aboriginal and Torres Strait Islander Cultural Centre.

Tiga taman yang berasingan membentuk Townsville Botanic Gardens. Palmetum, Anderson Gardens di Mundingburra dan Queens Gardens di North Ward. Palmetum memaparkan salah satu koleksi pokok palma yang terbesar di dunia. Anda boleh berbasikal di antara taman dan sungai di Ross River Bikeway.

Para penyelam skuba pastinya tidak mahu terlepas menyaksikan SS Yongala, salah satu tapak selaman kapal karam terbesar di dunia. Peminat aktiviti memancing perlu menuju ke Burdekin yang terletak sejam perjalanan ke utara Townsville untuk memancing barramundi dan menangkap ketam lumpur di sungai-sungai dan kawasan muara. Burdekin turut terkenal sebagai ibu negara gula bagi Australia.
Dua pekan Burdekin yang terkenal, Ayr dan Home Hill dihubungkan oleh Burdekin Bridge.

Townsville adalah pintu gerbang utama untuk ke wilayah tengah Great Barrier Reef, Wet Tropics dan Queensland Outback.

Memeluk koala, memegang wombat dan berjalan santai di antara kanggaru dan walabi adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan di Billabong Sanctuary. Cubalah nasib anda mencari emas di pekan Charters Towers yang terletak di pedalaman.

Magnetic Island terletak kira-kira 20 minit dengan menaiki feri dari Townsville. Naiki perjalanan helikopter singkat ke Orpheus Island, sebuah pulau benua yang dilingkungi taman negara. Hinchinbrook Island adalah sebahagian daripada Wet Tropics World Heritage Area serta merupakan pulau taman negara terbesar di Australia. Di sini terdapat Thorsborne Trail, laluan berbukit sepanjang 32 kilometer merentasi kawasan liar yang mengagumkan.

Kira-kira 90 kilometer ke utara Townsville terletak Paluma Range National Park. Dengan dipinggiri hutan hujan, taman ni menawarkan kawasan yang cantik untuk berehat, berkhemah, bersiar-siar melihat burung, rama-rama serta hidupan liar asli kawasan ini.

Townsville terletak kira-kira 350 kilometer ke selatan Cairns dan 1350 kilometer ke utara Brisbane.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia