Australia Selatan

Australia Selatan

Kenali Australia Selatan melalui festival Adelaide atau lawati Adelaide Hills. Temui haiwan liar asli di Kangaroo Island dan berenang dengan singa laut di Eyre Peninsula. Terokai kilang wain di Barossa, Clare Valley dan McLaren Vale di Fleurieu Peninsula. Pedalaman Australia Selatan menempatkan Flinders Ranges, Simpson Desert dan Lake Eyre yang sering gersang.

Kagumi seni bina kolonial yang elegan serta melihat-lihat muzium dan perpustakaan di sepanjang North Terrace. Berbelanja semahu-mahunya di Rundle Mall atau cuba tanaman segar dari Adelaide Central Market. Selami suasana makan di luar di Rundle Street di East End atau jelajahi dewan makan eksotik yang sibuk di Chinatown. Berenang dengan dolfin di Glenelg yang ceria dan memancing dari jeti di Henley. Berbasikal di Elder Park dan berdayung melepasi taman ros di Rymill Park. Berkelah di Botanic Park yang terbentang luas dan di sinilah festival muzik WOMADelaide diadakan. Jelajahi muzium, pasar dan pelabuhan bersejarah Port Adelaide atau lihat bangunan warisan dan pertunjukan sampingan musim panas yang berwarna-warni di Semaphore yang mesra keluarga. Melihat-lihat koleksi barangan antik Orang asli terbesar di dunia di Aboriginal Cultures Gallery atau sertai lawatan budaya di Adelaide Botanic Gardens dengan pemandu pelancong Kaurna tempatan.

Adelaide Hills, SA
Adelaide Hills, SA

Adelaide Hills

Memandu ke Adelaide Hills dan di sini tanah ladang yang cantik dan perkampungan indah telah memberikan inspirasi kepada banyak generasi artis. Menginap di chalet yang diinspirasikan dari Bavaria dan melihat-lihat kedai roti, kedai kraf dan galeri di Hahndorf iaitu perkampungan Jerman tertua yang masih ada di Australia. Kunjungi The Cedars yang pada suatu masa dahulu merupakan rumah lama mewah dan studio bagi artis lanskap terkenal iaitu Sir Hans Heysen. Cuba rasa jam, jeruk, cutni, mustard, sos perap dan sos lain di Beerenberg Strawberry Farm. Atau beli buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari gerai di tepi jalan. Kemudian pergi ke pasar Lobethal, pekan umpama dalam cerita dongeng yang meraikan Krismas dengan lampu berwarna-warni yang bermeter-meter panjangnya.

Berkunjung ke ladang anggur yang terkenal di dunia seperti Yalumba, Seppelts, Penfolds dan Two Hands dan cuba rasa hasil keluaran tempatan yang berkualiti di Butcher, Baker, WineMaker Trail. Di pekan warisan Gawler yang berdekatan, anda akan temui gereja batu, galeri serta muzium berlatar belakangkan bukit-bukau yang beralun dan ladang anggur yang tersusun rapi. Sertai lawatan ke kilang wain bersejarah dan kilang bir butik. Lihat artisan bekerja di salah satu studio yang banyak di sini atau beli kraf tangan terkenal kawasan ini. Sudah tentu tiada yang lebih baik daripada makan tengah hari yang lama di bawah pokok gam dengan sebotol wain kemegahan kawasan ini iaitu Barossa Shiraz atau Eden Valley Riesling.

Berjalan atau berbasikal di Riesling Trail sepanjang 25 kilometer di antara ladang anggur dan restoran, melepasi bukit yang menghijau, gereja dan bangunan batu yang klasik. Rasa wain kudus yang dibuat oleh paderi Jesuit di pintu bilik simpanan wain di Sevenhill. Memandu di Heartland Heritage Trail menuju ke pekan warisan cantik yang dibaikpulih semula seperti Burra, Kapunda dan Mintaro dan di sini anda boleh melawat rumah agam Georgian di Martindale Hall. Ketahui tentang sejarah pastoral kawasan ini dengan menginap di Bungaree Station di Clare. Jelajahi sejarah Orang asli di Two Wells atau lihat keretapi stim lama di Gawler, pekan tertua di Australia Selatan. Terokai restoran, kafe dan pub di syurga gourmet Auburn. Beli hasil keluaran bandar desa ini dari pasar yang berwarna-warni di Sevenhill atau belajar memasak di Thorn Park.

Berenang dengan singa laut di Baird Bay dan snorkel dengan sotong katak gergasi berdekatan Whyalla. Untuk pacuan adrenalin yang sebenar, pergi menyelam di dalam sangkar dengan Great White Shark di selatan Port Lincoln. Lihat Southern Right Whale di Great Australian Bight Marine Park antara bulan Mei dan Oktober dan lihat singa laut di atas batu di Point Labatt Conservation Park sepanjang tahun. Berkunjung ke tasik garam asli di Lake Newland Conservation Park yang merupakan syurga bagi ratusan burung tanah lembap. Melawat ladang tiram di Cowell, memancing dari Ceduna dan Coffin Bay atau sertai carter lawatan memancing di laut dalam dari Whyalla. Pergi ke pedalaman untuk melihat batu gunung berapi yang berwarna-warni, tasik garam yang berkilau-kilauan, bunga liar dan hidupan liar asli di Gawler Ranges. Memandu kenderaan pacuan empat roda jauh ke Nullarbor Plain – dataran luas dan tiada pokok ini nescaya mempesonakan sesiapapun dengan semangat penjelajah.

Fleurieu Peninsula, SA
Fleurieu Peninsula, SA

Fleurieu Peninsula

Menyelam atau snorkel dengan naga laut berupa daun dari jeti di Rapid Bay. Berenang melalui bilik enjin dan menara kecil bekas HMAS Hobart yang sudah tenggelam, ketika menyelam di Yankalilla Bay. Lihat ikan paus berhijrah dan penguin kecil berjalan terkedek-kedek di Victor Harbor. Berenang dan naik papan boogie dari Horseshoe Bay di Port Elliot di mana anda juga boleh berbasikal atau berjalan ke puncak cenuram. Dari Goolwa, anda boleh naik bot menyusuri Murray River atau berkanu melepasi burung tanah lembap di lagun cetek yang berkilau-kilauan di Coorong. Berjalan di atas pasir putih Goolwa, Cape Jervis, Christies dan Middleton Beach, tempat untuk memancing dan menunggang pecahan (break) ombak. Berkunjung ke kilang wain, dusun badam dan galeri seni dan kraf di kawasan wain McLaren Vale.

Menginap di pekan pedalaman Hawker dan luangkan hari anda menjelajah Flinders Ranges yang berceranggah dan menakjubkan. Berjalan hingga ke lereng Wilpena Pound iaitu amfiteater semula jadi yang besar atau merentasinya dengan pesawat dalam penerbangan yang nescaya mengagungkan. Berjalan ke puncak Parachilna Gorge yang merupakan sebahagian daripada Heysen Trail. Lihat fosil di dasar laut purba di Brachina Gorge dan seni Orang asli di Arkaroo Rock. Jelajahi pastoral lampau kawasan ini di Wilpena Pound Station. Lebih ke dalam di kawasan gurun, anda boleh mencari baiduri di bandar bawah tanah yang aneh di Coober Pedy atau bandar Andamooka. Memandu kenderaan pacuan empat roda di Oodnadatta Track di sepanjang laluan perdagangan Orang asli tradisional dan landasan lama Ghan ke Lake Eyre yang masin. Atau ikut Strzelecki Track melepasi lanskap gurun yang menakjubkan dan tanah lembap yang mempesonakan seperti Coongie Lake dan Dalhousie Springs. Adakah kami patut menyertakan nota perjalanan yang mengatakan bahawa tempat ini jauh di pedalaman dan hanya boleh dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda serta persediaan rapi diperlukan?

Kanggaru, koala, walabi, burung penguin, belut laut dan kehidupan burung semuanya tinggal di pulau ini. Jelajahi Seal Bay, habitat singa laut Australia yang terancam. Lihatlah koala yang kelihatan mengantuk bergayut di pohon. Beli hasil keluaran segar – dari madu Ligurian hingga ke ayam yang diternak secara lepas bebas dan telurnya – dan wain yang dihasilkan oleh 30 orang penanam dari Cape Willoughby hingga ke Kingscote. Pulau ini juga mempunyai banyak pemandangan yang menakjubkan. Cenuram pinggir laut yang berceranggah, teluk berteduh di antara tanjung tinggi yang curam, tanah belukar asli yang luas, bukit bercerun di tanah ladang merupakan hanya sesetengah landskap yang amat menakjubkan di sini. Remarkable Rocks dan Admirals Arch ialah antara dua tanda tempat pinggir laut Australia yang paling mempesonakan. Cubalah berenang di pantai terpencil di Stokes Bay, meluncur air di Vivonne Bay dan memancing ikan dari Emu Bay. Terokai gua bawah tanah di Kelly Hill Conservation Park dan selami diri anda di belantara Flinders Chase National Park. Dengan pelbagai tempat penginapan seperti resort atas cenuram yang bertaraf lima bintang dan juga tempat penginapan yang ringkas, 'KI' (Kangaroo Island) merupakan pulau yang mampu memenuhi segala keperluan setiap pelancong.

Limestone Coast, SA
Limestone Coast, SA

Limestone Coast

Kagumi Blue Lake di Mount Gambier yang akan bertukar warna dari kelabu keluli menjadi biru firus terang pada bulan November. Temui deposit fosil dan pemandangan indah di Naracoorte Cave yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan di sini anda boleh lihat gua kelawar di bawah cahaya infra-merah. Lihat dari jarak dekat ratusan burung tanah lembap dan belajar sejarah Orang asli sambil anda berkanu atau belayar di sepanjang lagun dan laluan air di Coorong. Snorkel dan menyelam masuk ke gua di dalam kolam batu kapur yang berpunca dari anak air di Ewens Ponds Conservation Park atau di Piccaninnie Ponds Conservation Park yang jernih airnya umpama kristal. Berjalan menyusuri jeti terpanjang di Australia dan terapung di dalam Pool of Siloam yang masin di pelabuhan Beachport yang cantik. Anda boleh memancing, menyelam, meluncur angin dan belayar dari Kingston, pekan cantik menangkap udang mantis dan di syurga percutian di Robe.

Sewa sebuah bot rumah yang bergerak perlahan dari Mannum atau Renmark. Atau lihat cenuram batu pasir, pokok gam merah gergasi dan pokok willow dari atas kruiser mewah atau bot dayung stim yang bersejarah. Berhenti untuk berkelah di Sturt Reserve di Murray Bridge atau makan di pub di Tailem Bend atau Swan Reach. Pergi berski air, berski jet, berkanu dan belayar di Lake Bonney berdekatan Barmera. Di Murray River National Park, anda boleh menginap di Berri atau Lyrup dan berkanu melalui air buri yang penuh dengan burung di Loch Luna, Chowilla/Ral dan Katarapko Creek. Berbasikal di sepanjang East Front Road yang indah pemandangannya dan ikut Rail and River Walk dari Murray Bridge. Memandu kenderaan pacuan empat roda dan lihat burung maleefowl yang terancam di Ngarkat Conservation Park. Lawati Loxton Historical Village dan intai masa silam di Morgan Wharf atau lihat tempat lahir Black Duck Dreaming dengan pemandu pelancong Orang asli Nganguraku.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Anda boleh mendapat maklumat lanjut tentang Australia Selatan dengan berkunjung ke laman web South Australian Tourism Commission.