Barossa Valley

Barossa, SA. © SATC & Mike Annese

Barossa Valley

Barossa Valley di Australia Selatan merupakan wilayah penghasil wain tertua di Australia dan terbaik di dunia. Walaupun ia pertama sekali didiami oleh pendatang Eropah pada tahun 1842, ia masih mengekalkan gaya lamanya yang menawan. Terdapat kira-kira 150 buah kilang wain dan bilik simpanan wain bawah tanah di Barossa Valley. Barossa Valley juga terkenal dengan hasil tani bermusim yang segar, pengeluar makanan artisan dan restoran pemenang anugerah. Ikuti laluan makanan dan wain Barossa dengan memandu sendiri atau teroka kawasan desa dengan menunggang basikal. Anda juga boleh melawati wilayah ini dengan motosikal, kereta vintaj, belon udara panas atau helikopter. Berehat di spa penjagaan diri atau bermain golf di salah sebuah padang golf kejohanan.

Barossa Valley di Australia Selatan merupakan antara wilayah penghasil wain terbaik di dunia. Walaupun ia pertama sekali didiami oleh pendatang Eropah pada tahun 1842, ia masih mengekalkan gaya lamanya yang menawan. Terdapat kira-kira 150 buah kilang wain dan lebih daripada 70 buah tempat simpanan wain bawah tanah di Barossa Valley. Sesetengah tempat simpanan wain bawah tanah dibuka kepada orang ramai, kebanyakan yang lain pula buka kepada orang ramai tetapi berdasarkan temu janji. Banyak antaranya yang mengadakan lawatan di estet dan kemudahan membuat wain mereka.

Keistimewaan wain Barossa Valley yang diakui antarabangsa terletak pada kepelbagaian keadaan penanaman anggur. Eden Valley mengeluarkan jenis wain iklim dingin yang nyata ketara, manakala wain shiraz yang merupakan kemegahan bagi wilayah ini ditanam di kawasan rendah yang lebih hangat. Barossa Valley juga terkenal dengan hasil tani bermusim yang segar, pengeluar makanan artisan dan restoran pemenang anugerah.

Jacob’s Creek ialah ladang anggur komersial yang pertama di Barossa Valley dan merupakan salah satu yang tertua di wilayah ini. Penfolds dan Seppeltsfield ialah nama wain Australia lain yang ikonik dan boleh ditemui di Barossa Valley. The Louise menawarkan kemudahan mewah di tengah-tengah ladang anggur di samping pengalaman makan malam mewah wilayah yang terbaik di Australia di Appellation Restaurant.

Ikuti laluan makanan dan wain Barossa yang direka bentuk dengan terperinci dengan memandu sendiri atau teroka kawasan desa dengan menunggang basikal. Rasa roti buatan tangan yang lazat, daging salai dan pelbagai hasil tani wilayah ini pada jejak laluan Butcher, Baker dan Winemaker Trail. Atau cuba keju buatan tangan di sepanjang Barossa Cheese and Wine Trail. Laluan Barossa Heritage Trail menghubungkan banyak tempat bersejarah dan tempat simpanan wain bawah tanah yang terletak di dalam bangunan bersejarah. Lawati kota warisan yang menawan dan temui hasil kerja anak seni tempatan di galeri, kedai barang antik dan kraf tangan. Ketahui lebih lanjut tentang sejarah Barossa Valley yang kaya pada jejak warisan yang terbentang dari Kapunda di utara hingga ke Mt Pleasant di selatan. Jejak warisan Tanunda Heritage Trail menunjukkan gambar dan kisah bersejarah hari-hari awal terdirinya Barossa Valley dan menawarkan peluang yang jarang didapati untuk melihat bahagian Australia yang unik ini.

Syarikat tempatan menawarkan serangkaian lawatan dari lawatan dengan bas persiaran hingga pengalaman lebih tersendiri seperti dengan motosikal, kereta vintaj, menaiki belon udara panas dan helikopter.

Barossa Valley juga amat sesuai untuk melayani selera dan berehat menghilangkan ketegangan. Main permainan golf di antara pokok gam di salah satu padang golf kejohanan Barossa Valley atau berehat di spa penjagaan diri.

Anda boleh merasakan berbagai pilihan wain Barossa Valley semasa pesta wain tahunan Cellar Door Wine Festival di Adelaide dalam bulan Februari atau Aussie Wine Month dalam bulan April. Acara utama wilayah ini, Barossa Gourmet Weekend, diadakan dalam bulan Ogos.

Barossa Valley terletak kira-kira 70 kilometer dari Adelaide.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia