Barossa Valley, Australia Selatan

Barossa Valley, Australia Selatan

Barossa Valley ialah wilayah pembuatan wain bertaraf dunia. Mereka telah menghasilkan wain di sini sejak turun-temurun. Terletak dalam jarak satu jam perjalanan dari Adelaide, kawasan cantik ini dijajah pada tahun 1843 oleh peneroka Eropah dan masih mengekalkan sifat bandar lama yang menawan. Lawati bandar warisan yang mesra, bilik bawah tanah berabad lama dan antara ladang anggur shiraz yang tertua di dunia. Ikuti jejak makanan dan wain di antara pengeluar butik atau memandu mengikut jalan raya dengan pemandangan indah merentasi kawasan desa yang melandai. Di sebalik gereja batu dan kawasan pembuatan wain yang terkemuka di seluruh dunia terdapat aktiviti seni yang berkembang maju dan spa untuk bersantai.

Untuk sampai ke Barossa Valley dari Adelaide, anda boleh pandu sendiri, ambil perkhidmatan bas harian atau sertai salah satu dari pelbagai lawatan yang boleh didapati. Syarikat-syarikat tempatan menawarkan semua jenis lawatan, dari lawatan bas kepada pengalaman yang lebih peribadi dengan menaiki motorsikal, kereta antik dan juga di dalam belon udara panas dan helikopter. Jadual perjalanan harian dan semalaman menggabungkan aktiviti merasa wain di bilik bawah tanah dengan pengalaman merasa makanan, tarikan warisan dan melawat tempat-tempat menarik.

Dengan 150 tempat membuat wain dan lebih daripada 70 bilik bawah tanah, memang terdapat banyak untuk dilihat, minum dan rasa di Barossa Valley. Sekitar setengah daripada semua bilik bawah tanah di sini mengalu-alukan kunjungan orang awam, tetapi kebanyakan yang lain juga gembira menerima pengunjung dengan temujanji. Keajaiban wilayah Barossa terletak pada kepelbagaian keadaan penanamannya. Eden Valley menghasilkan jenis wain iklim sejuk yang tersendiri, sementara shiraz kebanggaan wilayah ditanam di kawasan Barossa Valley yang lebih panas dan terletak di kawasan tanah rendah. Pengeluaran bermusim yang amat banyak, pengeluar makanan khas dan restoran yang mendapat anugerah menjadikan Barossa sebagai destinasi impian pencinta makanan.

Jika anda memandu, anda boleh mengikuti laluan makanan dan wain Barossa yang dicipta khas. Rasai roti yang sedap, daging salai dan keluaran wilayah pada Butcher, Baker dan Winemaker Trail. Atau kutip esky anda dengan keju buatan tangan dan mula memadankannya di kawasan membuat wain sepanjang Barossa Cheese and Wine Trail. Susuri Seppeltsfield Road yang dibarisi pokok palma merentasi 11 bilik bawah tanah dan pengeluar makanan dan wain tempatan. Jika anda lebih suka berjalan, laluan Para Road Wine membawa anda kepada empat bilik bawah tanah sepanjang sungai di Tanunda yang bersejarah.

Ketahui lebih lanjut mengenai sejarah Barossa yang kaya di atas laluan warisan yang menjangkau dari Kapunda di utara ke Mt Pleasant di selatan. Ia melingkar melalui kampung- kampung Barossa, memaparkan muzium, bangunan peneroka dan antara kawasan membuat wain tertua di Australia. Terokai taman ros di chateau hebat dan muzium Tanunda, terletak di dalam pejabat pos asal bandar ini dari tahun 1865. Di sini, perabot gereja, tembikar dan relik yang lain boleh membantu anda untuk membayangkan kehidupan peneroka wilayah terawal berbangsa Jerman. Seni masih merupakan sebahagian daripada warisan penting Barossa, di mana anda akan menemui galeri seni, studio, kedai kraftangan dan kedai antik di mana-mana jua. Kawasan membuat wain, kafe dan restoran seringkali berfungsi sebagai galeri untuk artis tempatan.

Ikuti Barossa Scenic Heritage Route melalui kampung menawan seperti Bethany, Angaton, Nuriootpa, Greenock, Seppeltsfield, Maranaga dan Tanunda. Memandu melalui Barossa Sculpture Park ke atas puncak Mengler Hill Drive untuk pemandangan panoramik lembah Barossa yang subur.

Jika anda mempunyai banyak masa, Barossa ialah tempat yang sesuai untuk bersantai dan melepaskan segala kerisauan. Bermain golf di antara pokok gam di salah satu padang golf bertaraf kejuaraan Barossa atau berjalan melalui ladang bunga lavender yang harum. Lengkapkan percutian Barossa anda dengan melawat spa harian, percutian penyembuhan atau tempat peranginan ladang anggur yang mewah.

Seperti wain yang bagus, nampaknya Barossa hanya menjadi lebih bagus mengikut masa.

Idea Australia selanjutnya