Pengembaraan Gurun Australia Selatan

Pengembaraan Gurun Australia Selatan

Mahukan cabaran pada musim sejuk ini? Pemanduan kenderaan pacuan empat roda merentasi bahagian Australia Selatan di Gurun Simpson yang terbentang luas mungkin adalah pengembaraan yang anda dambakan. Memandu dari Adelaide di sepanjang Lebuh raya Stuart, kemudian ikut Denai Oodnadatta ke Oodnadatta yang kecil. Dari Wilayah Utara, anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda ke Mt Dare atau Poeppel Corner, yang juga merupakan pintu masuk dari Queensland. Walau apapun laluan yang anda ikuti, anda tetap perlukan kenderaan pacuan empat roda, pas taman gurun dan bekalan yang banyak. Bersantai di mata air panas artois semula jadi di Taman Negara Witjira. Temui tasik berkerak garam di Hutan Simpan Wilayah Gurun Simpson. Lihat Lone Gum di Taman Pemuliharaan Gurun Simpson. Perjalanan melalui Gurun Simpson adalah dunia sebenar Pemandiri dunia nyata. Ia tidak boleh ditakluki semasa musim panas kerana suhu yang berbahaya, dan ia memerlukan perancangan yang teratur. Namun begitu, ganjarannya adalah sebesar gurun itu sendiri.

Adalah disyorkan untuk anda melintasi gurun dari barat ke timur. Oleh itu, Taman Negara Witjira di sebelah barat menjadi tempat yang baik sekali untuk bermula. Berenang atau berendam dalam air Mata Air Panas Dalhousie yang nyaman dan terapeutik, di mana lebih daripada 70 guar mengalirkannya terus dari Lembangan Great Artesian. Seperti juga Ernest Giles, orang Eropah yang pertama sampai ke sini pada tahun 1894, anda pasti menyukai tasik ladam panas yang besar ini dalam persekitaran semula jadi. Duduk diam-diam dan lihat sekumpulan ikan kecil berenang-renang di sekeliling anda. Berjalan-jalan di sekitar mata air panas utama, melewati pohon mensiang, bulrush dan paperback. Di tempat perkhemahan popular yang berdekatan, anda boleh dirikan khemah anda di bawah pokok kurma yang ditanam oleh penternak unta Afghan. Atau berkhemah di Purni Bore, di mana aliran menghasilkan kawasan tanah lembap yang dipenuhi burung-burung dan didatangi kawanan unta, anjing liar dingo dan arnab. Jelajahi tinggalan Rumah Ladang Dalhousie dan tinjau telaga minyak Macumba yang terbiar.

Dari sini, anda boleh memandu menyusuri French Line atau Rig Road bertanah liat ke Taman Pemuliharaan Gurun Simpson, terus ke tengah gurun. Ikuti Rig Road ke Lone Gum, pokok Coolabah yang tegar untuk hidup, meski pun tumbuh jauh beratus-ratus kilometer dari punca air yang terdekat. Kunjungi tiga buah negeri dalam dua langkah di Poeppel Corner. Lawati dua bukit berpuncak rata Approdinna Attora Knolls, yang pernah merupakan puncak gumuk yang tertinggi di kawasan tersebut. Nikmati pemandangan Simpson yang kudus: gumuk pasir yang menakjubkan, dataran rumput Spinifex, hutan jarang gidgi dan bunga-bunga liar yang mekar berkembang selepas hujan.

Percutian di tempat asing diteruskan dalam Hutan Simpan Wilayah Gurun Simpson, yang meliputi lebih daripada dua juta hektar di dataran paling kering di Australia. Lihat tasik playa berkerak garam putih dan gumuk pasir merah yang terbentang ke ufuk dalam baris simetri yang cantik beralun. Kagumi makhluk tegap yang mendiami rumput spinifeks. Terdapat ren rumput eyerean, ciak belang, bustard Australia, tikus kasturi yang terloncat-loncat dan mole marsupial, serta lebih daripada 150 spesies burung.

Untuk membantu merancang pengembaraan yang selamat dengan kesan alam sekitar yang minimum, hubungi Jabatan Alam Sekitar dan Warisan Australia. Atau, biarkan orang lain menganjurkannya, dan sertai lawatan dengan kenderaan pacuan empat roda dari Adelaide ke Pelabuhan Augusta. Anda juga boleh melakukan penerbangan melintasi Gurun Simpson yang mengagumkan dari William Creek. Cipta pengalaman anda sendiri, tetapi bersedialah untuk pengembaran musim sejuk yang sebenar.

Idea Australia selanjutnya