Tasmania

Tasmania

Selami sejarah di dermaga dengan jalan batu buntar di Hobart dan pergi ke kilang wain beriklim dingin di Coal Valley. Nikmati pemandangan yang mengagumkan di Wineglass Bay dan terokai bangkai kapal dan berlian di Flinders Island. Terokai Cataract Gorge iaitu hutan belantara dramatik di pusat Launceston atau kunjung hutan belantara yang tersenarai dalam Warisan Dunia yang merangkumi 20 peratus pulau ini. Lihat Dove Lake yang sangat jernih dan lalui Overland Track di Cradle-Mountain-Lake St Clair National Park. Bersiar-siar di Southwest National Park, serta melihat dua batang sungai semulajadi turun menjunam melalui lembah yang bergabung menjadi satu di Franklin-Gordon Wild Rivers National Park. Terokai Tarkine Reserve iaitu kawasan luas dipenuhi dengan hutan hujan bersuhu sederhana, bukit pasir dan kawasan pokok renik di persisiran pantai. Terokai budaya kreatif yang berkembang maju dan melawat ke Museum of Old and New Art (MONA) yang baru sahaja dibuka. Galeri ini mempunyai koleksi kesenian peribadi negara yang terbesar dan dengan koleksi terkini yang bernilai lebih daripada $100 juta. Tempat ini telah menjadi tempat keutaaman yang dikunjungi oleh setiap pelawat Australia.

Belayar atau berkayak di sungai Derwent, hirup kopi di bawah payung matahari di Salamanca Square atau selami suasana pelautan di subbandar pertama Hobart iaitu Battery Point. Hanya 20 minit dari gudang batu pasir abad ke-19 di Hobart, letaknya hutan belantara Mount Wellington yang terdedah kepada angin. Di timur laut Hobart terletaknya Coal River Valley yang mempunyai ladang wain beriklim sejuk dan bandar sejarah Richmond. Jika anda menuju ke arah yang bertentangan iaitu sedikit ke barat daya, Huon Valley akan membawa anda ke satu lagi bandar bersejarah Huonville. Di perkampungan desa tepi pantai di Kettering, anda boleh naik feri kenderaan menuju ke Bruny Island atau belayar sambil melihat hidupan liar melepasi batuan berceracak, gua dan cenuram laut. Dari Cockle Creek yang berbentuk bulan sabit, anda boleh hayati hutan belantara yang tersenarai dalam Warisan Dunia di Southwest National Park walaupun anda tidak menjejak keluar dari pantai. Ketahui tentang kehidupan seorang banduan pertengahan abad ke-19 di Port Arthur Historic Site di Tasman Peninsula. Kemudian menginap di Woodbridge, berjalan di pantai yang luas di Tasman National Park dan makan dengan mewah di Peppermint Bay. Lihat pokok oak yang berusia 200 tahun dan kotej batu pasir di Oatlands atau ikut laluan peneroka di Heritage Highway dari Launceston ke Hobart. Berkunjung ke bandar yang cintakan barang antik di New Norfolk dan Hamilton yang indah di Clyde River. Untuk merasai suasana di tanah tinggi (high country) dan wiski malta, kunjungi Bothwell di tepi selatan Central Plateau.

Dari Triabunna, anda boleh naik feri ke Maria Island yang kaya dengan sejarah dan bebas kereta yang juga merupakan syurga hutan belukar dan kayak laut. Menginap di syurga percutian di Coles Bay dan dari sini anda dapat melihat Oyster Bay yang jernih airnya di pintu masuk ke Freycinet National Park. Berjalan ke Wineglass Bay yang mempesonakan dan kemudian berenang, naik bot, memancing, bersnorkel dan menyelam skuba dari pantai putih yang cantik. Di Mount William National Park yang berdekatan, anda boleh berjalan di Bay of Fires melepasi kanggaru forrester, tinggalan cangkerang (middens) Orang asli, hutan kayu dan pantai yang putih. Kemudian pergi memancing (game fishing) atau menyelam di pelabuhan St Helens yang indah pemandangannya yang terletak di pesisir Georges Bay. Rasa keju dari ladang di Pyengana yang berdekatan atau kunjungi ladang anggur serta beri di sekitar bandar tepi laut di Bicheno dan Swansea. Kemudian pergi ke Douglas-Apsley National Park di mana anda boleh berjalan serta berkhemah di sungai yang sunyi, air terjun, hutan hujan dan pokok eucalypt serta pokok pain yang tinggi. Di hujung utara pantai anda akan lihat Flinders Island, tempat untuk menyelam dan melihat bangkai kapal, mendaki hingga ke puncak cenuram berwarna merah jambu serta kelabu di Mount Strzelecki dan mencari berlian di Killiecrankie.

Di Launceston, anda akan temui bangunan Edwardian yang elegan dan hutan yang menakjubkan di Cataract Gorge. Bersiar-siar di cerang yang dipenuhi pokok pakis atau menakik, memanjat batuan atau terbang meluncur di dinding dramatik gaung dan sekitarnya. Anda juga boleh menaiki lif kerusi (chairlift) untuk merentasi gaung. Lihat burung di habitatnya sendiri di tanah lembap Tamar Island yang berdekatan atau bertemu kanggaru, walabi dan wombat di Narawntapu National Park. Ke timur laut anda akan nampak kawasan tanaman yang teratur dan Forest EcoCentre di Scottsdale. Bersebelahan Bridport, anda boleh memancing, bermain golf merentasi Bass Strait di Barnbougle Dunes serta bersiar-siar melalui padang lavender yang tersusun rapi di Nabowla. Lihat penguin kecil di Low Head dan naik bot untuk melihat kawanan anjing laut berbulu di Tenth Island. Kemudian berski, berjalan atau mendaki batuan di kemuncak yang berceranggah di Ben Lomond National Park. Apabila anda terasa lapar, makan dan minum di di kilang wain yang beriklim dingin di Tamar Valley seperti di Ninth Island, Pipers Brook dan Jansz yang terletak di Tamar Valley Touring Route. Semasa dalam perjalanan, anda boleh berhenti di muzium perlombongan emas di Beaconsfield dan mendulang untuk mendapatkan batu nilam berdekatan bandar perlombongan timah di Derby. Di selatan Launceston, selamilah suasana perkampungan abad ke-19 di Longford dan lihat pesta kraf terbesar di Australia di perkampungan indah tepi sungai di Deloraine. Melihat-lihat di galeri antik, kedai kraf dan pasar di perkampungan Georgian di Evandale dan seberangi Ross River dengan jambatan batu buntar di Ross.

The Nut, Stanley, Di North West Coast, TAS
The Nut, Stanley, TAS

Di North West Coast

Tiba di Devonport dengan salah sebuah kapal Spirit of Tasmania yang telah menjadi mercu tanda pelabuhan cantik ini. Dari sini anda boleh berjalan atau berbasikal di sepanjang pinggir laut Devonport dan lihat mural di Sheffield serta lihatlah kedai barangan antik di LaTrobe. Pergi berski air, berkayak di laut atau memancing dari pontun terapung di Port Sorrel dan berjalan-jalan di pasar yang menarik dan pantai yang indah di Penguin. Terokai gua batu kapur di Mole Creek Karst National Park yang terletak di bawah Great Western Tiers dan dikenali oleh Orang asli sebagai Kooparoona Niara. Menginap di pelabuhan Burnie yang sibuk atau di bandar bersejarah Stanley di mana anda boleh lihat merentasi palam gunung berapi yang curam yang dikenali sebagai ‘The Nut’. Lihat hamparan berwarna-warni bunga tulip musim bunga di Table Cape dan berjalan di sepanjang cenuram laut di Rocky Cape. Jauh ke barat laut, menginap di 22,000 hektar hartanah bersejarah di Woolnorth di Cape Grim. Menyusur di sepanjang Arthur River melepasi helang laut menuju ke hutan hujan yang beriklim sederhana, gumuk pasir dan tapak Orang asli di hutan belantara di Tarkine. Lagi terpencil ialah King Island dan di sini anda boleh menangkap ikan besar (game fishing), merasa keju dari King Island Dairies yang terkenal serta menyelam melihat lebih daripada 70 buah tapak bangkai kapal.

Menyusuri Gordon River yang menakjubkan dari perkampungan nelayan pantai barat di Strahan. Lihat titik ia bertemu Franklin River yang deras arusnya dan menjunam turun ke lembah berhutan menjadi satu di Franklin-Gordon Wild Rivers National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia. Pulang ke Strahan dan anda boleh berkayak di Macquarie Harbour, berjalan-jalan di Ocean Beach dan terokai hutan pokok pain dan mirtel dengan memandu kenderaan pacuan empat roda. Cari Huon Pine yang berusia seribu tahun dari tingkap kapal terbang laut atau beristirehat dan nikmati makanan lazat dan wain yang hebat. Naik kereta api berlandasan rak-dan-pinan dari sini ke Queenstown bersejarah yang suatu masa dahulu adalah lombong emas dan tembaga yang terkaya di dunia, atau masuk ke kawasan ini dengan melalui jalan yang berliku-liku dengan lebih daripada 90 selekoh. Jelajahi perlombongan masa lampau cukup hebat di Zeehan yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah bandar logam perak yang kaya. Kemudian naik barj ke Corinna dan menginap di kotej pelombong yang dipulihkan semula di tebing Pieman River yang mengagungkan. Dari bandar Rosebery yang aman damai, anda boleh melawat Pasminco Mine atau berjalan ke Montezuma Fall iaitu air terjun tertinggi di Tasmania. Kemudian terokai puncak berceranggah dan tasik bercermin di Cradle Mountain-Lake St Clair National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia. Jejaki semua atau sebahagian daripada 65 kilometer Overland Track yang terkenal serta lihat Mount Ossa iaitu gunung tertinggi di Tasmania.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Anda boleh mendapat maklumat lanjut tentang wilayah ini dengan mengunjungi laman web Tourism Tasmania