Melarikan diri ke Bass Strait

Melarikan diri ke Bass Strait

Tukar tekanan hidup di tanah besar dengan udara bersih, pantai yang lengang, bangkai kapal bersejarah dan haiwan liar yang banyak di Tasmania’s Flinders dan King Islands.
Ingin larikan diri daripada kesibukan kerja? Jika suasana di Tasmania kurang sibuk berbanding tanah besar Australia, di pulau Bass Strait anda boleh bersantai lebih lagi.

Tidak banyak perubahan dari segi geologi di Flinders Island sejak sebelum Zaman Ais yang lalu, ketika pulau itu merupakan sebahagian daripada sebuah jambatan tanah yang menghubungkan Tasmania ke tanah besar Australia. Sehinggalah tahun 1773 iaitu 12,000 tahun kemudiannya, Tobias Furneaux mula-mula menemui Flinders dan 51 buah pulau di sekitarnya. Dia terpisah dari Endeavour dalam kabus tebal tetapi telah terjumpa sesuatu yang lebih baik.

Hari ini anda akan dapat melihat pemandangan permata pulau kecil ini dengan lebih jelas. Panjang pulau ini hanya 64 kilometer dan lebarnya 29 kilometer. Perhatikan cenuram granit berwarna merah jambu dan kelabu di Mount Strzelecki dan Mount Killiecrankie serta anak sungai yang kecil, gumuk pasir pantai dan tanah ladang yang hijau dan kecil. Naik pesawat dari Launceston atau naik feri dari Bridport. Jika anda tiba dari Victoria, anda boleh naik pesawat dari Moorabbin atau naik bot dari Port Welshpool.

Hanya 900 orang tinggal di Flinders Island dan selalunya anda boleh anggap seolah-olah mereka tiada di sana. Anda lebih berkemungkinan terserempak penduduk yang berbulu dan berpelepah iaitu walabi dan wombat; burung ren yang kecil dan burung albatros rayauan gergasi. Berjalan ke timur lagun dan serokan dan di sini ribuan burung migrasi berehat daripada penerbangan jarak jauh ke Arctic Circle. Dalam laut anda boleh menyelam untuk mendapatkan ketam gergasi dan udang getak serta melihat anjing laut, dolfin dan ikan paus yang melawat ke sini.

Bass dan Flinders meneroka Flinders Island dengan bot dan berjalan kaki pada tahun 1798 dan 1799 dan hari ini pun berjalan kaki seperti dulu masih merupakan cara terbaik untuk pergi ke mana sahaja di sini. Mendaki hingga ke puncak Mount Strzelecki di Taman Negara Strzelecki. Berjalan di pantai yang panjang dan tidak tercemar yang dipenuhi dengan batu tongkol gergasi yang dilitupi liken berwarna jingga dan mencari topaz yang mereka panggil ‘berlian’ Killiecrankie. Peneroka sebenar selalu meninggalkan sesuatu tempat dengan membawa pulang harta karun.

Menginap di pekan kecil Whitemark dan Lady Barron atau penempatan Emita dan Killiecrankie. Tinggal di kotej yang terletak di tepi pantai, pub dengan layanan mesra, inap dan sarapan atau manjakan diri anda di spa kesihatan. Selepas terpaksa mencatu makanan dan makan di dapur yang bergoyang, Captain Cook dan anak kapalnya tentu suka jika mereka dapat makan makanan organik dan dapat berurut.

Untuk beristirehat cara lama, anda tentu akan suka King Island. Ia terletak 80 kilometer ke timur laut Tasmania dalam laluan angin baratan yang kencang yang dinamakan Roaring Forties. Anda akan rasa tenang setiap kali anda menghirup udara bersih yang menyegarkan.

Ditemui pada tahun 1797, pulau ini pada suatu masa dahulu terkenal kerana anjing lautnya yang begitu banyak tapi haiwan ini telah diburu sehingga hampir pupus. Hujan lebat, padang rumput yang subur dan mendapan logam juga menarik peladang, pelombong dan peneroka lain yang berharap mendapat rezeki. Hari ini, pantai yang lengang, terumbu di luar pesisir, rumah api, bangkai kapal, makanan laut dan hasil tenusu yang menarik pelancong ke komuniti yang bangga seramai 1,000 orang ini.

Selami sejarah maritim pulau ini di lebih daripada 70 tapak bangkai kapal. Pergi memancing ikan rekreasi dan lihat nelayan udang getak dan penyelam abalone membawa tangkapan yang banyak ke tepi pantai. Berkunjung ke King Island Dairies yang terkenal dan di sini anda boleh merasa keju brie yang berkualiti dan berkrim pekat yang menjadi kemegahan tempat ini sambil belajar tentang cara membuat keju buatan tangan dan sejarahnya.

Melawat Lavinia Nature Reserve dan lihat walabi, platipus yang sukar ditangkap dan hidupan burung dari burung nuri berperut jingga yang jarang ditemui hingga helang laut besar. Anda akan lebih teruja berbanding ahli botani abad ke-18 apabila melihat hidupan liar yang banyak di sini. Kemudian, pergi ke Currie iaitu pusat perdagangan tepi pelabuhan di pulau ini. Lihat bot nelayan berlabuh sambil anda makan udang getak yang baru ditangkap dengan isinya mengandungi banyak air. Kehidupan di pulau yang hampir terbiar sememangnya sungguh tenang dan santai.


 

Idea Australia selanjutnya