Pulau Bruny, Tasmania

Pulau Bruny, Tasmania, Australia

Cergaskan jiwa anda di Bruny Island yang liar, terletak di D'Entrecasteaux Channel, pemanduan pendek dan perjalanan feri dari Hobart.   Pergi berjalan kaki dan terokai pinggir pantai berbatu, pantai yang sunyi, hutan yang tinggi, ombak hebat dan bukit hijau yang mendamaikan. Lihat himpunan hidupan liar, daripada wombat dan walabi kepada penguin kecil, melalui lawatan  atau pelayaran ekologi. Jejaki sejarah, dapatkan produk gourmet dan tinggal di penginapan butik di tengah-tengah hutan belantara. 

Ia sejauh 35 minit pemanduan arah selatan dari Hobart ke bandar tepi pantai Kettering yang mendamaikan, di mana semua kenderaan menuju ke Bruny Island.  Bruny sebenarnya dua buah pulau, dihubungkan dengan genting tanah sempit yang dikenali sebagai ‘The Neck’. Domba banyak kelihatan di kawasan desa North Bruny yang hijau zamrud, sementara South Bruny lebih berbukit, dengan cenuram laut yang menjunam, hutan dihiasi paku-pakis  dan kawasan semak heath.  Kedua-dua pulau memiliki pemandangan yang mendamaikan, dengan trek berjalan kaki hebat dan pantai indah di mana anda boleh berenang, menaiki bot, berkayak, meluncur dan memancing. 

Daki The Neck untuk melihat pandangan panorama atau temui pinggir pantai dramatik di South Bruny National Park.  Pergi berjalan kaki dari bandar cantik Lunawanna ke Adventure Bay, yang pertama kali dilihat oleh Abel Tasman pada tahun 1642. Dari sini jalan pinggir pantai menuju ke Penguin Island dan Fluted Cape. Berjalan sepanjang pantai putih Cloudy Bay, di mana peluncur bertanding di Bruny Island Classic pada setiap bulan Januari.  Snorkel berdekatan Cloudy Lagoon, di mana airnya sememangnya sejernih kristal.  Terdapat juga lawatan hebat sepanjang hari mengelilingi Labillardiere Peninsula, di hujung paling selatan taman.

Lihat kekayaan burung pulau dan kehidupan haiwan melepasi anda, atau cuba dekati mereka melalui lawatan atau pelayaran ekologi.  Antara bulan September dan Februari, anda boleh melihat shearwater ekor pendek dan penguin kecil terkedek-kedek pulang pada waktu senja diThe Neck Game Reserve.  Belayar melewati dolfin, ikan paus migrasi dan koloni besar anjing laut Australia di Friar Rocks.  Bersiar-siar melewati walabi bennet, pademelon, belut laut Echidna dan wombat dan lihat burung laut berpusing-pusing di udara.  Sebanyak 40 ekor pardalot berbintik terancam hidup di kawasan semula jadi white-gums, sementara walabi putih yang sukar ditemui berlari-lari melompat sepanjang trek ke Grassy Point pada waktu senja. 

Di muzium  Adventure Bay, anda boleh pelajari tentang suku kaum Orang Asli and pelayar, pemburu paus dan penjelajah yang telah memainkan peranan dalam sejarah Bruny Island.  Ketahui lebih lanjut tentang orang yang senama dengan pulau ini iaitu Kapten Joseph Bruni d'Entrecasteaux, dan Kapten William Bligh, yang telah menanam pokok epal pertama Tasmania di Adventure Bay pada 1788.  Setelah itu lawati rumah api pulau tersebut yang dibina menggunakan buruh banduan antara 1836 dan 1838.  

Di samping sejarah dramatik dan lanskap, Bruny Island memiliki budaya menyihatkan iaitu menanam sendiri tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan untuk dijadikan makanan dan wain.   Lawati pub dan ladang wain paling selatan di Tasmania dan rasai wain tempatan, tiram, fudge dan keju yang terbaik di restoran butik café yang mesra.   Terdapat juga deretan pelbagai jenis penginapan, supaya setelah seharian menjelajah anda boleh berehat di inap-sarapan, kotej spa, apartmen berkuasa solar atau penginapan di hutan hujan.  Pemandangan tapak perkhemahan cantik termasuk Cloudy Corner, berdekatan Cloudy Bay, dan Jetty Beach. 

Temui Bruny Island  dan nikmati pengembaraan alam semula jadi. 

Idea Australia selanjutnya