Hayati kehidupan di hutan belantara Cradle Mountain

Hayati kehidupan di hutan belantara Cradle Mountain

Rasa teruja di dalam hutan belantara purba kala di Taman Negara Cradle Mountain-Lake St Clair yang luas.
Sekilas pandang puncak dolerit berceranggah Cradle Mountain di seberang perairan tenang Tasik Dove, anda pasti berasa terpisah berjuta batu dari kehidupan moden. Visi hutan belantara inilah yang sentiasa menjadi penarik utama para pengembara ke Taman Negara Cradle Mountain-Lake St Clair yang tersenarai sebagai Warisan Dunia ini.

Terbentuk oleh tenaga glasiar dalam Zaman Ais, taman ini mempunyai tumbuhan yang tidak menyamai tumbuhan di mana-mana tempat lain di tanah besar Australia. Berjalan mengelilingi Dove Lake yang bening dan sunyi, melewati pepohon bic mirtel dan pain pensil di Hutan Ballroom. Atau luangkan antara satu hingga lima jam untuk berjalan kaki melalui laluan popular termasuk Hanson’s Peak, Lake Twisted, Lake Rodway dan Lake Lila.

Laluan jalan kaki yang paling tersohor adalah laluan enam hari Overland Track ke Lake St Clair. Trek ini satu cabaran yang besar dan cara terbaik untuk menyelami pemandangan agung kawasan ini yang amat pantas berubah. Para pejalan kaki yang dibenarkan terhad atas sebab-sebab alam sekitar, jadi anda perlu membuat tempahan dengan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania terlebih dahulu. Apabila merancang, jangan lupa bahawa anda tidak harus mencuba trek ini pada bulan-bulan musim dingin, iaitu Jun, Julai dan Ogos di mana anda mungkin terperangkap oleh salji. Pada bulan April, anda boleh lihat perubahan warna pokok bic yang menarik ketika daunnya mula luruh.

Perjalanan bermula di Chalet Waldheim, sebuah Chalet di Cradle Valley, di mana anda akan melihat walabi dan wombat makan di pintu masuknya yang berumput. Lakukan treking hingga ke puncak Cradle Mountain melalui dataran rumput butang dan padang rumput herba. Dari puncaknya yang setinggi 1,545 meter, anda boleh melihat kawasan sekitar Tasik Dove dan Crater serta lembah, penara, belukar heath dan hutan mengunjur sejauh 80 kilometer. Pemandangan inilah yang telah memberi inspirasi kepada Gustav Weindorfer, seorang kelahiran Austria, untuk mula berkempen agar tempat ini dijadikan “taman negara untuk orang sepanjang zaman”. Ini berlaku pada tahun 1912 dan taman ini telah dianugerahi status Warisan Dunia pada tahun 1982.

Sambil anda menuruni tanah tinggi yang berceranggah ini, anda akan dapat melihat sebab Gustav begitu teruja. Ini merupakan hutan belantara yang sukar ditemui dan amat pelbagai, dan sebahagian besar masa anda di sana milik anda seorang. Mereka yang lalu di situ cumalah pejalan kaki, walabi, posum yang ingin tahu tapi malu dan wombat nokturnal. Setelah beberapa hari di atas laluan ini, politik tempat kerja dan buli jalan raya seperti berada di dunia lain. Tinggal semalaman di pondok, termasuk Pelion Hut yang dilengkapi kemudahan dan terletak di pertengahan jalan dan Du Cane, yang pernah satu ketika dulu menjadi kediaman pemburu Paddy Hartnett dan isteri beliau. Hutan Leatherwood yang mengelilingi kawasan ini dilitupi bunga putih bersaiz besar pada lewat musim bunga dan musim panas.

Daki Mt Ossa, gunung tertinggi di Tasmania dan kunjungi air terjun D'Alton, Fergusson dan Hartnett yang begitu indah seperti di alam pari-pari. Terokai hutan mirtel yang luar biasa dan lihat spesies pohon bic yang berusia lebih 60 juta tahun. Perjalanan anda berakhir dengan pelayaran dalam kapal pesiaran di Lake St Clair, tasik terdalam di Tasmania, dan dengan berjalan melewati tasik tanah tinggi dan sungai. Berenang juga boleh dilakukan sekiranya anda boleh menahan kedinginan air yang menyegarkan di sini.

Anda pasti berasa bersemangat sama ada anda berani merendam diri dalam air atau tidak. Lebih-lebih lagi, apabila anda kembali ke kehidupan moden, anda akan sentiasa membawa cebisan kedamaian Tasmania yang begitu istimewa ini bersama anda.

 

 

Idea Australia selanjutnya