Taman yang mekar di Tasmania

Taman yang mekar di Tasmania

Berkunjung ke Tasmania dari bulan September hingga November ketika taman yang dipenuhi bunga membentuk latar belakang kepada pemandangan dan tarikan sejarah yang menakjubkan. Nikmati pelbagai budaya dan ratusan bunga tulip di pesta Spring Community di Hobart dan bersiar-siar di taman indah di Huonville dan Richmond. Lihat pokok elm dan oak yang ditanam oleh banduan di Port Arthur Historic Site. Berjalan di sekeliling dafodil di Cataract Gorge di Launceston dan bersiar-siar di antara taman-taman indah di timur laut Tasmania. Sertai pesta tulip di Wynyard dan saksikan perkembangan bunga tulip yang menakjubkan di Table Cape.

Mulakan perjalanan melihat bunga di pesta Spring Community yang diadakan di Royal Tasmanian Botanical Garden di Hobart pada hujung minggu bulan Oktober. Ia merupakan perayaan musim bunga dan pelbagai budaya Tasmania.  Di antara hamparan bunga tulip yang berwarna-warni, anda akan lihat karnival makanan, tarian dan muzik pelbagai budaya. Nikmati keharuman musim bunga ini sambil merasa pelbagai hidangan.  Selepas itu, sertai lawatan melalui taman yang berhias indah dan taman bertema atau sertai kelas perkebunan komuniti yang dikendalikan oleh pakar  penanaman, 

Ikut bau harum bunga yang mekar dengan memandu sebentar ke selatan menuju ke Huonville yang terletak di Huon River yang penuh kedamaian.  Lebih daripada separuh epal   Tasmania ditanam di sini bersama-sama buah aprikot, plum, ceri dan pear.  Pandu melalui dusun yang dilitupi bunga mekar, jelajah taman persendirian yang menakjubkan dan makan tengah hari di  Huon River.  Ke utara bandar Richmond yang bersejarah, anda boleh menyertai lawatan ke taman dengan pemandu pelancong sebelum berjalan merentasi jambatan tertua dan berdiri di dalam sel penjara tertua di Australia. 

Anda mungkin lebih terfikirkan tentang era penjenayah dan bukannya tentang bunga apabila bercakap tentang Port Arthur, tetapi sebenarnya taman-tamannya merupakan antara beberapa tempat tarikan pelancong di sini.  Banyak bangunan batu telah usang tetapi pokok oak, elm dan konifer yang ditanam oleh penjenayah masih hidup lagi.  Bersiar-siar melalui Government Garden yang teratur dan melangkah masuk ke Garden Commandant yang dibina semula pada tahun 1850-an dan lihat taman bunga dan sayur-sayuran awal abad ke 20 di Trentham Cottage.  Carilah secebis sejarah anda sendiri di tapak semaian biji-benih, di mana benih dari tumbuhan abad ke 19 di jual antara bulan November dan Januari.  Selepas Port Arthur, pergi ke Highcroft yang berdekatan dan di sini anda boleh berjalan-jalan melalui berekar-ekar bunga peony yang mekar.
 
Bunga yang berkembang pada musim bunga ini bukan bertempat di sebelah pulau ini sahaja, malah anda akan dapat lihat lebih banyak taman bunga di Launceston dan sekitarnya di utara-barat negeri ini.  Di belantara bandar raya dalam Cataract Gorge di Launceston, taman yang dibina pada tahun 1896 ini mempunyai laluan yang dipenuhi bunga dafodil, tempat berkelah, astaka muzik, laluan untuk bersiar di puncak cenuram dan pokok gergasi eksotik.
 
Ke arah timur laut, denai pencinta taman akan membawa anda ke taman terbuka dari  Scottsdale ke Branxholm.  Pergi berjalan meredah belukar, lawati tapak semaian pakar dan lihat taman bunga ros yang berdekatan antara satu sama lain dan taman desa yang terbentang luas.  Tidak jauh dari situ, kunjungi Nabowla tempat terletaknya ladang lavender terbesar dan tertua di dunia serta lihat 4,000 kuntum bunga ros di dalam taman bunga ros di Longford. 

Anda akan jumpa lebih banyak perayaan bunga tulip di Wynyard ke barat lautt Launceston.  Festival Tulip di Bloomin diadakan selama tiga minggu pada akhir bulan September hingga awal bulan Oktober, bertemakan bunga dan keseronokan.  Bersiar-siar di taman senduduk dan lihatlah persembahan bunga api yang cantik di waktu malam merentasi Inglis River serta sertailah parti koktel, Tulips at Twilight.   Lihatlah tulip musim bunga menikmati statusnya sebagai tetamu kehormat di Table Cape yang tidak jauh dari sini.  Kunjungi Railton iaitu bandar tempat pokok renek digubah dan anda akan tersesat di dalam tanaman pagar pokok renek berdekatan Sheffield. 

Dari selatan ke utara pulau ini, anda akan jatuh cinta dengan taman musim bunga yang mekar di Tasmania yang mewarnai tempat ini yang sememangnya kaya dengan persekitaran indah.

 

Idea Australia selanjutnya