Prison Break di Port Arthur

Prison Break di Port Arthur

Selami diri anda dalam sejarah menakjubkan iaitu tentang ‘penjara yang tidak dapat ditembusi’ di Tasmania.
Jika Prison Break difilemkan pada pertengahan abad ke 19 di Australia, lokasinya sudah tentulah di tapak bersejarah Port Arthur di Tasmania. Terpisah dari Tasmania oleh genting yang dikelilingi perairan yang penuh dengan ikan yu, Port Arthur dikenali sebagai ‘penjara yang tidak dapat ditembusi’. Tetapi tidak seperti pengawasan kamera yang digunakan pada hari ini, pengawal dan anjing pemburu yang hampir kelaparan mengawal satu-satunya jalan keluar.

Bersiar-siar di taman Victoria berlandskap dan anda akan dapati amat susah untuk membayangkan bahawa suatu masa dahulu tempat ini merupakan sebuah penjara yang dicerca dan mempunyai 1,100 banduan ketika ia penuh. Port Arthur bermula pada tahun 1830 sebagai sebuah ladang kayu balak kecil dan dari tahun 1833 hingga tahun 1850-an beberapa orang penjenayah tegar datang ke sini untuk bekerja. Hari ini anda boleh memeriksa kerja tangan berkontrak mereka di banyak tapak bangunan, puing dan rumah yang diubahsuai semasa lawatan berjalan bersama-sama pemandu pelancong selama empat puluh minit.

Ikut Laluan Bekalan Air Banduan melepasi kawasan takungan, akueduk, kilang tepung dan kincir air yang masih tinggal dari kilang tepung yang dibina pada tahun 1843. Terokai bilik hostel, bilik mess, perpustakaan dan gereja kecil Katolik dari penjara yang telah diubah pada tahun 1857. Bayangkan perusahaan pembinaan bot laut di limbungan, yang menggaji 70 orang penjenayah pada masa kemuncaknya. Berjalan melalui wad, dapur, bilik pembakaran, bilik dobi dan bilik mayat di hospital yang dibina antara tahun 1841 dan 1842. Lihat 80 buah bilik sel di Separate Prison dan di sinilah banduan dikurung dan memakai hud serta diasingkan bersendirian. Bermula pada tahun 1848, ia melambangkan sesuatu yang dilihat sebagai pendekatan baru yang lebih lembut kerana hukuman sebatan kini diganti dengan hukuman secara psikologi. Tapi hakikatnya, Port Arthur sama zalimnya dengan penempatan hukuman lain dan ramai antara penjenayah ini mempunyai penyakit mental disebabkan pengasingan. Pada 1864 rumah sakit otak dibina untuk menempatkan pesakit-pesakit ini.

Anda akan lihat sebabnya ramai banduan di sini cuba melarikan diri. Pada tahun 1842 penjenayah renjer tanah belukar Martin Cash dan dua rakannya melarikan diri dengan berenang merentasi perairan yang dipenuhi ikan yu dengan pakaian mereka dibungkus dan diikat di atas kepala. Cash menceritakan kisah ini dalam autobiografinya yang paling laris dijual pada tahun 1870 yang berjudul The Adventures of Martin Cash. Tetapi nasib tidak menyebelahi George ‘Billy’ Hunt yang cuba melarikan diri merentasi Neck dengan menyamar memakai kulit kanggaru. Pengawal yang kelaparan menembaknya dengan harapan dapat makan daging kanggaru untuk makan malam. Dan ketika inilah Hunt membuang samarannya dan menyerah diri. Dia disebat sebanyak 150 kali sebagai hukuman.

Untuk kebanyakan banduan, hanya kematian dapat melepaskan diri mereka dari penjara ini. Hari ini, anda boleh belayar di Isle of the Dead tempat setiap orang yang meninggal di penjara ini dikebumikan. Sertai lawatan dengan pemandu pelancong dan belajar tentang penjenayah, askar dan orang awam yang merupakan sebahagian daripada Port Arthur. Sebanyak 1,646 buah kubur di sini menjadi ingatan kepada kehidupan mereka. Atau dengar tentang jelmaan hantu yang menyeramkan semasa lawatan hantu dengan bercahayakan lampu gantung. Legenda menerangkan tentang jeritan berhantu yang datang dari sel serta kerusi goyang yang kosong bergerak dengan sendirinya.

Lakukan perjalanan ke Penjara Budak Lelaki Point Buer, penjara budak lelaki pertama Empayar British. Lebih kurang 3,000 budak lelaki berusia di antara 9 dan 16 tahun telah dipenjarakan dan dikenakan disiplin yang ketat dan hukuman yang berat di penjara Puer ini. Hari ini anda boleh berjalan di tengah-tengah tinggalan bangunan yang mereka bina, kesemuanya dalam landskap belukar yang hampir tidak berubah sejak abad ke-19.

Menjelang 1870an, bilangan banduan berkurangan secara dramatik, dan yang tinggal sudah terlalu tua, uzur atau tidak siuman untuk digunakan sebagai tenaga buruh. Banduan terakhir dihantar pada tahun 1877 dan tapak ini dinamakan semula sebagai Carnarvon. Pada tahun 1880an, individu di sini membeli tanah dan membina komuniti baru di tapak lama ini serta di sekitarnya. Pada tahun 1895 dan 1897, kebakaran yang besar telah memusnahkan kawasan ini, dan menghancurkan banyak bangunan lama. Meskipun ini berlaku, pekan ini terus berkembang, menarik ramai pelancong yang kagum dengan sejarah kawasan ini.

Hari ini, anda boleh menjadi salah seorang daripada mereka, berjalan di celah-celah memori penjara di mana kebebasan ialah satu impian yang hampir mustahil dicapai. Dengan memandu di atas Laluan Banduan dan perkhidmatan gerabak berjadual di antara Port Arthur dan Hobart, anda ada banyak peluang untuk membebaskan diri.

 

 

 

 

Idea Australia selanjutnya