Berjalan di hutan belantara Tasmania

Berjalan di hutan belantara Tasmania

Dari bersiar-siar hingga pengembaraan epik, cara paling baik untuk mengalami hutan belantara Tasmania ialah dengan berjalan kaki.

Jika anda berjalan terlalu lama anda mungkin terlupa tempat asal anda. Tetapi anda tentu tidak terasa begitu jika anda pergi ke hutan belantara epik purba yang berubah-ubah yang telah menjadikan Tasmania syurga bagi pejalan kaki dari seluruh dunia. Hampir separuh daripada negeri kecil dan indah ini dilindungi dan berada dalam taman negara dan hutan simpanan serta 20 peratus daripada kawasan ini tersenarai dalam Warisan Dunia. 17 buah taman negara ini bersimpang siur dengan beribu-ribu kilometer denai dari denai yang lasak hingga denai yang mengasyikkan. Jauh dan dekat, kecil dan besar, inilah antara beberapa laluan yang indah di Tasmania yang akan membuat anda lupa akan masalah anda.

Dari Hobart
Dari Hobart, perjalanan mengambil masa 20 minit untuk ke Mount Wellington yang berceranggah dan di sini perjalanan selama tiga hingga empat jam di Organ Pipes Walk akan membawa anda merentasi cenuram batu igneus yang tinggi dan sama namanya. Ke timur Hobart berhampiran Bruny Island, anda boleh berjalan di tepi pantai menuju ke Penguin Island dari Adventure Bay atau mendaki anak tangga kayu menuju ke Neck Lookout untuk melihat pemandangan laut yang menggayatkan. Anda akan tahu sebab pengarah filem Baz Lurhmann mengesyorkan tempat ini. Jauh ke pantai timur ialah Tasman National Park, di mana anda boleh menghabiskan beberapa hari meneroka cenuram laut yang berjejalur dan batuan gergasi. Jika anda cuma ada masa sehari, luangkan sejam berjalan di cenuram menuju ke Waterfall Bay atau ikut tiga hingga empat laluan untuk sampai ke Bivouac yang indah dan terpencil atau ke Fortescue Bay. Ke barat Hobart letaknya Taman Negara South West dengan hutan liar yang luas terbentang. Berjalan pada waktu siang di Lake Judd yang bertatah ais atau uji kecekalan anda di Port Davey Track sejauh 70km dan South Coast Track sejauh 85 km menuju ke Melaleuca yang terpencil. Dari sini anda perlu dijemput dengan bot atau pesawat atau pulang dengan melalui jalan dan jarak yang sama sekali lagi.

Di sepanjang Pantai Timur
Cara terbaik untuk menyelami keindahan dan kesegaran pantai timur Tasmania ialah dengan berjalan kaki. Pergi ke timur dari Hobart ke Triabunna, di mana anda boleh menaiki feri ke Maria Island. Di sini ialah syurga perjalanan dalam belukar kerana keadaannya yang tenteram disebabkan tiada kereta atau kedai. Berjalan sambil bersiar-siar menuju ke Fossil Cliffs atau berjalan selama empat jam di sepanjang puncak cenuram yang mencabar. Kembali ke tanah besar, pergi ke utara menuju ke Coles Bay. Dari sini anda boleh berjalan melalui laluan jarak dekat merentasi Hazards di Taman Negara Freycinet. Laluan ini curam tetapi anda akan berpuas hati apabila melihat Wineglass Bay yang begitu mempesonakan. Luangkan lima minit atau lima jam berjalan di Friendly Beaches atau mengembara di sekitar Hazard Mountains menuju ke Hazards Beach di Freycinet Peninsula Circuit sejauh 30 kilometer. Jauh di sepanjang Taman Negara Douglas-Apsley, perjalanan tidak kira jarak akan membawa anda menerusi sungai, air terjun, hutan hujan, pokok eucalypt dan pokok pain. Dari St Marys, anda boleh mendaki hingga ke puncak St Patrick’s Head atau South Sister Peak yang lebih senang untuk sampai ke puncaknya. Hentian seterusnya ialah St Helens yang terletak di pintu masuk Bay of Fires. Dari sini anda boleh berjalan selama dua hari melepasi pantai terbiar, longgokan tinggalan Orang Asli dan batu tongkol yang dilitupi liken. Berkhemah dan bermalam di gumuk pasir dan berkunjung ke Eddystone Lighhouse sebelum tiba di rumah persinggahan eko yang terpencil dengan pemandangan laut. Anda memang patut berehat setelah berjalan begitu jauh hingga ke Launceston.

Dari Launceston dan North West
Dari Launceston, tempat cantik untuk berjalan kaki iaitu di Cradle-Mountain-Taman Negara Lake St Clair dekat sahaja jaraknya. Berjalan di Enchanted Walk selama 20 minit melepasi hutan hujan dengan tumbuhan tua atau bersiar-siar selama sejam atau dua jam di sekitar Dove Lake ke Cradle Mountain. Pergi ke puncak Cradle Mountain dengan berjalan pergi balik selama lapan jam atau kuatkan semangat anda dan berjalan selama enam hari di Overland Track. Anda akan mengembara melalui gunung batu igneus dan air terjun di selatan menuju ke Lake St Clair yang merupakan tasik asli paling dalam di Australia. Jauh ke selatan di Taman Negara Franklin-Gordon Wild Rivers berjalan pergi balik sebentar ke Donaghys Lookout atau luangkan beberapa hari untuk perjalanan yang berbaloi menuju ke Lake Tahune yang terletak di bawah puncak Frenchmans Cap. Dari Queenstown yang berdekatan, anda akan temui sisa peninggalan pekan Pillinger di tengah-tengah hutan pakis yang subur di hujung landasan kereta api lama.

Tak sabar untuk berjalan masuk ke hutan belantara dan lupakan segala yang lain? Tasmania – dengan rupa buminya yang berceranggah dan alam semula jadi yang menakjubkan menunggu anda.

 

 

 

 

Idea Australia selanjutnya